Selasa, 10 Ogos 2010

Pihak Yang Kaitkan Sultan Johor Dengan Politik Perlu Segera Mohon Ampun - Muhyiddin

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa pihak yang bertanggungjawab mengheret Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar ke kancah politik agar segera memohon ampun kepada baginda.

Beliau berkata pihak yang terlibat perlulah memahami tentang kedudukan Raja-Raja sebagai payung negara dan menyifatkan perkara tersebut tidak seharusnya berlaku.

"Jadi ini tidak harus dipermain-mainkan atau pun disalahgunakan...yang pastinya mengundang murka Sultan Johor...tidak harus dieksploitasi kedudukan Raja-Raja yang boleh menjatuhkan maruah dan martabat Raja. Kita harus sanjung dan harus hormati.

"Jadi mana-mana pihak, parti politik ke bukan politik ke harus faham tentang perkara itu (kedudukan Raja-Raja). Walau apa pun, mereka sepatutnya memohon ampun daripada raja dan jangan ulangi hal-hal sebegitu lagi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku bertajuk "Najib Tun Razak-Melakar Transformasi Malaysia" di sini.

Beliau mengulas perbuatan sebuah parti politik yang menggunakan poster gambar Sultan Ibrahim di dalam kempen parti itu di Batu Pahat, Johor baru-baru ini.

Semalam, Sultan Ibrahim ketika bertitah pada majlis penutup Kembara Mahkota Johor Bermotosikal 2010 di Kota Tinggi, melahirkan rasa murka terhadap tindakan sebuah parti politik yang menggunakan gambar baginda pada kain rentang di majlis ceramah di Batu Pahat itu.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata adalah menjadi kesalahan jika menyebabkan seseorang sultan itu murka dan pihak yang dimurkai perlu tampil untuk memohon keampunan.

Ditanya pemberita sama ada perbuatan itu mempamerkan tindakan yang terdesak parti itu, beliau berkata perkara itu tidak seharusnya berlaku dan berpendapat ada pihak yang cuba mengeksploitasi institusi raja.

-- BERNAMA

Noh Omar, Khir Toyo Dan Ezam Tidak Ada Pergeseran



Dakwaan pembangkang bahawa pergeseran berlaku antara Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Noh Omar, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dan Senator Ezam Mohamad Nor adalah tidak benar.

Ini dibuktikan apabila ketiga-tiga mereka berada di atas pentas yang sama untuk berceramah sempena "Roadshow Gelombang Selamatkan Selangor Darul Ehsan" di Kampung Jalan Kebun di sini yang merupakan acara penutup kempen UMNO yang berakhir awal pagi Isnin.

Dalam ceramah masing-masing, Noh dan Dr Khir menjelaskan mereka tidak ada masalah sesama sendiri apatah lagi mereka adalah dari kampung yang sama dan dakwaan pembangkang itu adalah untuk mengadu dombakan mereka berdua.

Ezam pula berkata ramai yang tidak mengetahui bahawa beliau memang rapat dengan Noh dan Dr Khir sejak dahulu lagi semasa beliau menjadi Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

"Mereka tidak boleh pecah-pecahkan semangat kami," katanya di hadapan lebih 300 hadirin, termasuk penyokong parti komponen Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata Noh dan Dr Khir adalah antara pemimpin-pemimpin UMNO yang memujuknya pulang ke pangkuan UMNO selepas beliau meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Laporan satu portal berita sebelum ini berkata terdapat desas-desus persaingan antara Dr Khir dan Noh dalam merebut jawatan Menteri Besar jika Barisan Nasional (BN) menawan semula Selangor pada pilihan raya umum ke-13 ini dan pada masa yang sama Ezam diberikan tugas utama untuk mengetuai kempen Selamatkan Selangor ini.

Noh berkata kehadiran mereka bertiga menunjukkan mereka bertiga mempunyai matlamat dan perjuangan yang sama tidak seperti yang digembar-gemburkan dalam fitnah pembangkang.

Beliau berkata kempen ceramah UMNO yang bermula sejak 23 Julai lepas mendapat ambutan bukan sahaja daripada penyokong BN tetapi rakyat Selangor pada keseluruhannya.

Noh berkata kempen itu akan diberhentikan sempena bulan Ramadan ini dan disambung semula selepas Hari Raya Aidilfitri.

Semasa Ramadan ini bahagian-bahagian UMNO telah diarah untuk mengadakan aktiviti-aktiviti pengisian pada bulan puasa bagi mendekatkan diri dengan masyarakat setempat.

BERNAMA

Jentera Penerangan Umno Setuju Perpaduan Umno-PAS, Kata Ahmad Maslan



Jentera penerangan Umno rata-rata menyatakan sokongan terhadap perpaduan antara Umno dan PAS yang dilihat bukan sahaja menguntungkan orang Melayu tetapi turut memberi manfaat kepada semua kaum di negara ini, kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata majoriti orang Melayu di negara ini juga sudah tentu bersetuju tentang cadangan perpaduan itu kerana ia tidak akan merugikan sesiapa.

Sehubungan itu, beliau berkata usaha perpaduan itu perlu difikirkan secara serius oleh kedua-dua pihak sempena kedatangan bulan Ramadan dalam masa dua hari lagi.

"Alangkah eloknya sempena bulan Ramadan ini kita memikirkan secara serius tentang perkara-perkara yang ada hubung kait untuk kebaikan umat dan kalau ada usaha-usaha ke arah perpaduan itu, semua rakyat di Malaysia ini untung, itu yang penting.

"Bulan Ramadan ini juga bulan yang amat baik untuk kita membuat genjatan senjata, jangan mengata orang, jangan memfitnah dan jangan menimbulkan isu-isu sensitif.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi taklimat mengenai isu-isu semasa kepada 457 ketua penerangan Umno bahagian dari seluruh negara oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini.

Ahmad berkata jika bangsa terbesar itu berpadu dan berpakat untuk tidak lagi berselisih seperti yang telah berlaku, seluruh negara ini akan menjadi lebih maju dari sekarang.

"Perpaduan ini bukan hanya dilihat dari sudut untung bangsa Melayu tetapi untung seluruh rakyat Malaysia, yang rugi hanya beberapa pemimpin DAP dan beberapa pemimpin PKR (Parti Keadilan Rakyat)," katanya.

Salam Ramadan...



Sempena hari yang baik, bulan yang baik ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Salam menyambut ramadan buat semua sahabat handai,rakan dan taulan dan umat Islam keseluruhanya.

Mudahan Ramadan tahun di berikan kita kekuatan untuk beribadat dan mengerjakan rukun Islam ini dengan pernah keberkatan.

Kesempatan ini juga ingin memaklumkan bahawa agak lama juga saya tidak muncul di ruangan ini kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizikan di samping kesebokan tugas harian. Insallah mudah mudahan saya kembali muncul seperti biasa mulai hari ini.

Jumaat, 2 Julai 2010

AKhirnya Anwar kena melutut...


Salam 2 all.

Saya tertarik dengan lapuran mengenai komen YB Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju)* yang disiarkan oleh agendadaily.com mengenai DSAI yang terpaksa menuntut maaf kepada Yahudi Amerika baru-baru ini.

Saya lampirkan dibawah lapuran tersebut untuk renungan bersama:

Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
20 Rejab 1431
02 Julai 2010


"YB Wee Choo Keong-Akhirnya Anwar kena melutut…

Sepatah kata Ahli Parlimen Wangsa Maju Wee Chee Keong, “Macam cacing kepanasan…” Mengulas lanjut tindakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ‘terpaksa’ terbang ke Amerika Syarikat untuk ‘melutut’ kepada ‘kawan-kawan’nya bagi memperjelaskan beberapa kenyataan lantangnya yang dilihat anti Yahudi, Chee Keong berkata, “bukankah ini namanya politik dua alam atau cakap tak serupa bikin”.

Menurut Chee Keong, beliau (Anwar) bercakap lantang di Parlimen tapi akhirnya turun melutut meminta maaf pada Zionis, apa yang diperkatakan itu semata-mata untuk tujuan politik ke Putrajaya sahaja. Soal kepentingan negara dan bangsa tidak penting. Chee Keong berharap rakyat jelata membuat penilaian terhadap Anwar yang dianggapnya hanya mahu mempertahankan kepentingan dirinya sahaja.

“Saya harap dari sudut dan tingkahlaku Anwar ini, rakyat mesti tahu dengan pasti apakah tujuan politik Ketua Pembangkang itu,” tegasnya.

Anwar dilaporkan ke Amerika Syarikat (AS) pada 23 hingga 26 Jun lalu bertemu beberapa tokoh Parti Demokrat seperti bekas Setiausaha Pertahanan, Sir William Cohen, Ahli Kongres AS, Keith Maurice Ellison dan Timbalan Setiausaha Untuk Negara Asia Timur dan Pasifik, Kurt Campbell.

Pada Mac lalu, Anwar dilaporkan pernah meminta pertolongan Campbell supaya kerajaan AS campur tangan dalam kes liwatnya. Ketika diminta mengulas kenapa Anwar mesti memperjelaskan kenyataan itu kepada pihak tertentu di AS, Chee Keong berkata, “sebab dari dulu Anwar ramai kawan dan konco-konco yang banyak memberi bantuan, jadi beliau kena bagi penjelasan dan meminta maaf terhadap kenyataan lantangnya terhadap Zionis.”

Katanya, “Anwar masih mengharapkan sokongan dari AS untuk perjuangannya menjadi Perdana Menteri”. “Kita jadi ahli parlimen adalah untuk mempertahankan hak negara kita, seperti saya tidak perlu ke AS atau Singapura atau ke mana saja untuk mendapatkan sokongan, saya hanya perlu mendapat sokongan dari rakyat kita, itu yang kita bersumpah jadi ahli parlimen untuk pertahankan lambang negara kita dan Yang DiPertuan Agong serta Perlembagaan Negara bukannya jadi ahli parlimen untuk menjaga kepentingan yahudi atau AS,” tambahnya.

Chee Keong menganggap Anwar kini sudah semakin terdesak terutama melihat tingkahlakunya yang membangkitkan pelbagai isu dalam kes liwatnya sedangkan ianya jelas isu yang dibangkitkan itu bukan isu perundangan tetapi isu yang cuba dipolitikkan semata-mata untuk mengelirukan rakyat kononnya kes itu merupakan ‘pendakwaan politik’ semata-mata.

Bagaimanapun, Chee Keong menjangkakan Anwar semakin sukar untuk memutarbelit isu ini di dalam negara dan cuba untuk mendapatkan bantuan dari pihak-pihak di AS seperti dahulu.

Menurut Chee Keong, Anwar juga dilihat semakin menggelabah selepas menghentam Zionis dalam isu APCO dan penggunaan istilah ‘pencerobohan Zionis’ di mana Anwar telah dikecam dan diserang oleh kolumnis serta media AS yang mana tidak dapat diterima oleh Anwar.

Mengenai kenyataan Anwar yang kecewa dengan pentadbiran Presiden Barrack Obama yang tidak bersungguh-sungguh membantunya, Chee Keong berkata, “Anwar anggap seperti Presiden sekarang macam George W. Bush di mana boleh diputarbelit hingga beliau boleh dapat bantuan”.

Berdasarkan tindakan terbaru Anwar itu, Chee Keong berpendapat Anwar sedang cuba mendapatkan pengaruh AS untuk memberi tekanan antarabangsa kepada Malaysia supaya mempengaruhi mahkamah berhubung kes liwatnya.

Katanya, “kenapa nak gunakan taktik ini, pergi ke AS untuk mendapatkan sokongan dan tekanan kepada Malaysia bagi mencapai satu keputusan yang beliau mahu. Ini sikapnya cakap dan serupa bikin atau politik dua alam hanya untuk satu tujuan saja ke Putrajaya menjadi Perdana Menteri ‘at all cost’.

“Kalau kita nak jadi PM pun kita perlu dapat sokongan rakyat bukan kerana kita nak jadi PM, dapatkan keyakinan daripada rakyat, sokongan dari rakyat bukan guna puterbelit, nanti terbelit diri kerana setinggi-tinggi tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga,” ujarnya".

*YB Wee Choo Keong adalah peguam kanan lulusan Britain dan bekas Ketua Penerangan DAP dan Ahli Parlimen Bukit Bintang sejak 1995. Pada tahun 2008 beliau dipujuk Anwar untuk bertanding kerusi Parlimen Wangsa Maju dibawah tiket PKR. Pada bulan Jun 2010, YB Wee memilih untuk "berhijrah" menjadi Ahli Parlimen Bebas baru-baru ini setelah menyedari terlalu banyak politiking "cakap tak serupa bikin" didalam Pakatan Rakyat dan perjuangan PKR adalah sekadar untuk menabalkan Anwar menjadi Perdana Menteri "at all cost!".

Petikan: Zulkifli nordin

Pemimpin UMNO perlu transformasi


Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengajak para pemimpin melakukan transformasi dengan menjiwai permasalahan rakyat dan mengambil inisiatif turun ke bawah seiring dengan langkah yang dibuat oleh Perdana Menteri.

Katanya, pembaharuan dan perubahan yang dilaungkan Datuk Seri Najib Tun Razak masih belum sampai kepada matlamatnya dan ia perlu dilakukan oleh semua pringkat.

“UMNO sepatutnya sudah berubah, tetapi lambat. Masih tidur lagikah kita? Kita tidak dilihat sehebat dulu dalam perjuangan, kenapa kita dilihat lesu sampai ada orang Melayu sendiri yang meminggirkan UMNO sedangkan parti inilah yang mendukung perjuangan sebenar,” soal beliau kepada para perwakilan semasa merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Putrajaya, malam tadi.

Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri mengingatkan tempoh yang ada sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-13 terlalu singkat, justeru perubahan segera perlu dilakukan dengan memahami dan menghayati kemahuan serta cita rasa rakyat supaya terus menyokong parti.

Seru beliau lagi, ahli-ahli UMNO khususnya para pemimpin perlu berubah selaras dengan perubahan yang radikal dan luar biasa yang dibuat oleh Datuk Najib iaitu memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuklah Gagasan 1Malaysia, Program Transformasi Kerajaan dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

“Kalau kita tidak berubah, bersikap seperti kita masih menang maka ada orang lain yang akan mengubah kita. Mereka akan ambil alih peranan kita dan kuasa yang ada dalam tangan kita boleh hilang,” katanya.

Tegasnya lagi, tuntutan rakyat kini sudah berubah dan mereka mahu melihat kesediaan pemimpin UMNO dan BN membuat perubahan dalam mentadbir negara pada masa depan.

“UMNO sebagai wadah perjuangan orang Melayu tidak harus rasa takut untuk perjuangkan hak dan kepentingan bangsa kita sendiri. Saya tidak takut kalau dikata ultra Melayu tetapi jangan sampai kita nafikan hak kaum lain yang ada di negara ini,” katanya.

Muhyiddin berkata UMNO perlu lantang dalam perjuangan dengan terus membela bangsa Melayu dan agama Islam di Malaysia terutamanya hal-hal membabitkan kepentingan dan kebajikan, pencapaian ekonomi dan soal pendidikan.

“Sekarang saya nampak badan bukan kerajaan (NGO) yang lebih berperanan memperjuangkan hak orang Melayu sedangkan itu agenda UMNO. Ini adalah satu kesilapan. UMNO mesti ke depan untuk tangani masalah rakyat dan selami jiwa mereka.”

Beliau berkata jangan ambil mudah hal-hal yang menimpa rakyat kerana ia akan dimanipulasi oleh pihak pembangkang sebagai kegagalan UMNO dan BN.

“Kita perlu berjaga-jaga dengan keadaan di sekeliling kita kerana sekiranya kita tidak berwaspada maka kuasa kita akan hilang. Sedarlah, perjuangan yang kita dukung tidak ada batas dan sempadannya.” – MediaUMNO

Anwar tokoh lidah bercabang- Zahid



Tokoh 'lidah bercabang!', reaksi spontan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengenai tindakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengunjungi Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini bagi 'menjernihkan' hubungannya dengan beberapa tokoh Yahudi.

Menteri Pertahanan berkata, Anwar memang terkenal bersifat demikian kerana apabila berjumpa orang India, beliaulah pejuang kaum itu; bagi orang Cina, beliaulah hero dan di kalangan orang Islam, beliaulah 'pejuang Islam' sejati.

"Saya masih ingat nasihat Anwar semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO dahulu bahawa antara kepentingan negara dan parti, harus utamakan negara. Walau berbeza pendapat daripada segi politik, apabila berkaitan soal negara, kita perlu pertahankan negara, bukan burukkan negara.

"Ini yang beliau ajar saya dahulu yang saya pegang sehingga kini. Tetapi apabila berada di luar kerajaan, beliau lupa dan telan nasihatnya sendiri.

"Bagi saya, sesiapa sahaja termasuk pembangkang apabila berada di luar negara kena pertahankan negara bukan sebaliknya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melepaskan konvoi pasukan Ekspedisi Merdeka 1Malaysia (EM1M) KL - London 'Demi Anak Yatim' di Kompleks Percetakan Sri Utusan di sini hari ini.

Anwar dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan beberapa tokoh Yahudi selepas disahkan mengunjungi AS pada 23 hingga 26 Jun lalu bagi 'menjernihkan' hubungan dengan kelompok tersebut selepas dikatakan membuat kenyataan dilihat beliau anti-Yahudi dalam isu Apco Worldwide, baru-baru ini.

Kunjungan itu didedahkan oleh kolumnis terkenal berbangsa Yahudi, Jackson Diehl dalam tulisannya di akhbar The Washington Post, kelmarin.

Diehl dalam tulisannya Flirting with zealotry in Malaysia (Bermain dengan kefanatikan di Malaysia) menyatakan Anwar meluangkan banyak masa untuk memberi penjelasan kepada rakan-rakan lama beliau termasuk Pengerusi Jawatankuasa Luar Negeri, Howard Berman dan beberapa pemimpin Yahudi.

Anwar dalam tulisan itu dikatakan menyesal menggunakan istilah "pencerobohan Zionis," yang biasanya digunakan oleh Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan Anwar Ibrahim sebagai pemimpin 'talam dua muka' apabila mengunjungi Amerika Syarikat (AS) untuk 'menjernihkan' hubungannya dengan rakan-rakan Yahudi selepas membuat kenyataan yang dilihat anti-Zionis.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, beliau tidak faham kenapa Anwar secara tiba-tiba menyesal dengan tindakannya itu dan minta maaf.

''Ini salah dan dia hipokrit. Mula-mula dia sertai perhimpunan anti-Zionis di depan Kedutaan AS di sini dan sekarang dia kata kepada AS dia menyesal dengan apa yang dibuat," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Khairy berkata, Anwar perlu memperjelaskan tindakannya itu kepada rakyat Malaysia yang sebelum ini pernah menyertai perhimpunan mengutuk Israel bersamanya di depan Kedutaan AS di sini.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, beliau tidak terkejut dengan tindakan Anwar itu.

"Ia sesuatu yang bukan mengejutkan sebab kita sudah tahu dia ini bagaimana. Dia bercakap lain di sini dan bila di sana dia cakap lain pula," katanya. - UTUSAN.

(Renungan Rimau : Jaga-jaga ada harimau di belakang.)