Jumaat, 2 Julai 2010

Pemimpin UMNO perlu transformasi


Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengajak para pemimpin melakukan transformasi dengan menjiwai permasalahan rakyat dan mengambil inisiatif turun ke bawah seiring dengan langkah yang dibuat oleh Perdana Menteri.

Katanya, pembaharuan dan perubahan yang dilaungkan Datuk Seri Najib Tun Razak masih belum sampai kepada matlamatnya dan ia perlu dilakukan oleh semua pringkat.

“UMNO sepatutnya sudah berubah, tetapi lambat. Masih tidur lagikah kita? Kita tidak dilihat sehebat dulu dalam perjuangan, kenapa kita dilihat lesu sampai ada orang Melayu sendiri yang meminggirkan UMNO sedangkan parti inilah yang mendukung perjuangan sebenar,” soal beliau kepada para perwakilan semasa merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Putrajaya, malam tadi.

Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri mengingatkan tempoh yang ada sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-13 terlalu singkat, justeru perubahan segera perlu dilakukan dengan memahami dan menghayati kemahuan serta cita rasa rakyat supaya terus menyokong parti.

Seru beliau lagi, ahli-ahli UMNO khususnya para pemimpin perlu berubah selaras dengan perubahan yang radikal dan luar biasa yang dibuat oleh Datuk Najib iaitu memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuklah Gagasan 1Malaysia, Program Transformasi Kerajaan dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

“Kalau kita tidak berubah, bersikap seperti kita masih menang maka ada orang lain yang akan mengubah kita. Mereka akan ambil alih peranan kita dan kuasa yang ada dalam tangan kita boleh hilang,” katanya.

Tegasnya lagi, tuntutan rakyat kini sudah berubah dan mereka mahu melihat kesediaan pemimpin UMNO dan BN membuat perubahan dalam mentadbir negara pada masa depan.

“UMNO sebagai wadah perjuangan orang Melayu tidak harus rasa takut untuk perjuangkan hak dan kepentingan bangsa kita sendiri. Saya tidak takut kalau dikata ultra Melayu tetapi jangan sampai kita nafikan hak kaum lain yang ada di negara ini,” katanya.

Muhyiddin berkata UMNO perlu lantang dalam perjuangan dengan terus membela bangsa Melayu dan agama Islam di Malaysia terutamanya hal-hal membabitkan kepentingan dan kebajikan, pencapaian ekonomi dan soal pendidikan.

“Sekarang saya nampak badan bukan kerajaan (NGO) yang lebih berperanan memperjuangkan hak orang Melayu sedangkan itu agenda UMNO. Ini adalah satu kesilapan. UMNO mesti ke depan untuk tangani masalah rakyat dan selami jiwa mereka.”

Beliau berkata jangan ambil mudah hal-hal yang menimpa rakyat kerana ia akan dimanipulasi oleh pihak pembangkang sebagai kegagalan UMNO dan BN.

“Kita perlu berjaga-jaga dengan keadaan di sekeliling kita kerana sekiranya kita tidak berwaspada maka kuasa kita akan hilang. Sedarlah, perjuangan yang kita dukung tidak ada batas dan sempadannya.” – MediaUMNO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan