Rabu, 9 Mac 2016

Usul undi tidak percaya tidak wajar dibuat secara serang hendap

S
ebarang usul undi tidak percaya tidak wajar dibuat secara "serang hendap", sebaliknya harus dimaklumkan melalui notis kepada dewan terlebih dahulu, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Merujuk kepada kes "usul" undi tidak percaya yang dicadangkan terhadap Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu semalam, beliau berkata ia tidak sepatutnya berlaku dalam negara demokrasi moden seperti Malaysia. "Untuk buat undi tidak percaya, tidaklah sesiapa sahaja apatah lagi seseorang yang cukup berpengalaman berdiri dan selepas itu bawa usul. "Seolah-olah itu adalah serang hendap, tengok kalau ada pihak sebelah sana yang tidak hadir dan anda terus berdiri. Dalam demokrasi tiada tipu menipu," katanya dalam ucapan ketika merasmikan Menara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di sini, hari ini. Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal Datuk Seri Ahmad Said, yang juga bekas Menteri Besar Terengganu, semalam mencadangkan usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif sebelum mengakhiri perbahasannya pada sesi perbahasan atas titah ucapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin merasmikan persidangan DUN ke-13. Bagaimanapun, speaker DUN Terengganu Datuk Mohd Zubir Embong menolak "usul" itu. ADUN Kijal itu mengemukakan alasan bahawa terdapat konspirasi untuk memburukkan nama beliau dalam politik dan sebagai wakil rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan