Isnin, 7 Mac 2016

Deklarasi Mahathir kesempatan untuk bebaskan Anwar

Pakatan Harapan kini jelas menggunakan platform 'Deklarasi Mahathir' untuk membawa agenda pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara kerana kesalahan meliwat. Agenda ini tidak terkandung dalam deklarasi asal yang ditandatangani dan diumumkan Jumaat lepas. Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata agenda itu akan menjadi agenda utama dalam perhimpunan mansuh Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan Perhimpunan Muafakat Selamat Malaysia pada 2 April ini. "Pakatan Harapan hari ini menetapkan bahawa agenda pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi agenda utama yang akan dibawa bersama agenda reformasi yang lain," katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, di sini hari ini. Jumaat lepas, bekas perdana menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mengetuai kumpulan lebih 50 orang menandatangani deklarasi itu, menyokong penyingkiran Najib daripada jawatan perdana menteri. Termasuk dalam kumpulan itu bekas timbalan presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir, bekas Presiden MCA Tun Dr. Ling Liong Sik, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan veteran DAP Lim Kit Siang. Dr Wan Azizah juga mendakwa Dr Mahathir sebenarnya memerlukan sokongan pembangkang dalam membawa agenda menyingkirkan Najib berbanding persepsi bahawa pembangkang menumpang pengaruh bekas perdana menteri itu. "Dr Mahathir tidak kuat dan beliau memerlukan bantuan kami," katanya.BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan