Rabu, 9 Mac 2016

PEMIMPIN TERENGGANU MAMPU SELESAIKAN ISU NEGERI-IDRIS

Bekas menteri besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh yakin kepimpinan negeri itu mampu menyelesaikan kontroversi politik susulan cadangan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, semalam. "Saya fikir mereka tahu selesaikannya. Speaker memang berhak membuat keputusan (menolak usul undi tersebut). "Saya tidak ada di sana semalam. Saya tak tahu apa sebenarnya berlaku. Saya hanya Naib ketua, bukan Ketua UMNO Bahagian pun sekarang," katanya ringkas sebagai mengulas tindakan bekas menteri besar Datuk Seri Ahmad Said yang mencadangkan usul undi berkenaan. Idris, yang juga Menteri Pendidikan Tinggi ditemui media di lobi Parlimen, di sini. Ahmad yang juga ADUN Kijal mencadangkan usul itu sebelum mengakhiri perbahasannya pada sesi perbahasan atas titah Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin. Ahmad memberi alasan bahawa ada konspirasi untuk memburukkan nama beliau dalam politik dan sebagai wakil rakyat. Cadangan usul itu bagaimanapun diketepikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Mohd Zubir Embong yang memutuskan bahawa ia dibuat tanpa notis dan melanggar peraturan DUN. Idris menyandang jawatan menteri besar Terengganu dari tahun 2004 hingga 2008, manakala Ahmad memegang jawatan itu dari 23 Mac 2008 sehingga 12 Mei 2014.BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan