Khamis, 20 November 2014

Perhimpunan Agung sebagai medan mengukuhkan perjuangan parti-Ahmad Maslan

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Ahmad Maslan berharap agar lebih banyak idea-idea yang membantu mengukuhkan kembali perjuangan parti UMNO di hati rakyat di negara ini, khususnya terhadap bangsa Melayu dapat dilontarkan melalui perbahasan di sepanjang perhimpunan Agung UMNO 2014 yang akan bermula pada 25 November ini. Menurut beliau, Perhimpunan Agung UMNO merupakan acara tahunan yang terpenting pada setiap tahun di mana perhimpunan ini akan mengumpulkan semua pemimpin dan pendokong-pendokong parti ke PWTC. “Jadi kita berharap agar perhimpunan kali ini dapat mencetuskan idea-idea yang baik agar ianya menjadi titik tolak kepada kebangkitan gerakan perjuangan UMNO untuk kita bersedia bagi menghadapi PRU yang ke 14 akan datang. “Jika kita tidak melakukan sesuatu, maka trend seterusnya adalah trend kekalahan yang akan melanda parti kita ini. Pembangkang sememangnya sudah sedia maklum akan perkara ini dan trend ini bukanlah satu realiti yang perlu kita sembunyikan. “Perkara ini perlu diketahui umum khususnya kepada ahli-ahli UMNO dan orang Melayu agar kita dapat menyedari bahawa betapa bahayanya trend menurun ini dan oleh itu, sesuatu yang drastik perlu dilakukan untuk kita mengubah trend menurun ini kepada trend yang meningkat pada masa yang akan datang,” tegasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini. Jelas beliau lagi, ahli-ahli dan pendokong parti perlu menyedari setahun setengah telah berlalu setelah PRU 13 di mana selepas ini UMNO dan BN akan menghadapi PRU 14 yang teramat penting. “PRU 13 merupakan satu sejarah apabila undi popular pembangkang telah melebihi kita sedikit. Saya ingin berikan contoh undi popular di Johor negeri yang merupakan kubu kuat UMNO.Pada PRU 11 kita memperolehi 82 peratus undi popular. PadaPRU 12 pula, undi popular kita merosot kepada 64 peratus dan pada PRU ke 13 ianya terus merosot kepada 53 peratus. Kit Kelengkapan Perwakilan “Ini yang disebut oleh Perdana Menteri sebagai realiti check. Biarpun kita menang di Johor dengan kerusi 2/3 namun 2/3 yang kita perolehi itu hanya berbeza dengan satu kerusi saja. Kalau kita kalah lagi satu kerusi maka kita akan kehilangan 2/3 majoriti di Johor. “Jika perkara ini berterusan maka parti kita akan menjadi semakin lemah dan akhirnya akan menuju ke trend kekalahan dan untuk memastikan perkara ini tidak berlaku, maka kita mesti bangkit daripada trend yang menurun kepada trend yang meningkat dan mampu untuk meraih sokongan rakyat,” ujarnya. Justeru itu, beliau mengesyorkan kepada pembahas-pembahas agar mengkaji dan meneliti ucapan-ucapan Presiden ketika merasmikan konvensyen negeri Selangor, negeri Johor dan juga Wilayah Persekutuan. “Saya yakin pada konvensyen itu banyak perkara-perkara yang boleh dijadikan hujah-hujah yang baik oleh pembahas-pembahas samada pembahas pemuda, wanita, puteri dan juga ketika perhimpunan . “Pembahas juga perlu melontarkan pandangan dan idea-idea bernas berhubung soal apa lagi yang kita perlu lakukan untuk memperbaiki UMNO merapatkan UMNO kepada rakyat terbanyak dan menjadikan UMNO sebagai parti teras dalam negara kita yang bukan hanya memperjuangkan nasib Melayu Islam tetapi juga nasib kaum bumiputera dan seluruh rakyat di negara ini,” akhiri beliau.-MediaUMNO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan