Khamis, 20 November 2014

Isu Akta Hasutan dijangka memanaskan Perhimpunan Agung UMNO kali ini

Akta Hasutan 1948 adalah antara isu yang akan dibahaskan pada Perhimpunan Agung Umno yang akan berlangsung minggu depan. Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, perhimpunan selama lima hari bermula 25 November itu akan memberi ruang kepada perwakilan untuk melontarkan pendapat serta cadangan konstruktif berkaitan akta berkenaan. "Banyak usul yang dikemukakan oleh bahagian dan cawangan. Jawatankuasa usul telah menapis usul-usul yang boleh dibahaskan dan tidak ada sekatan, tetapi masih ada penapisan kerana tidak semua usul kita terima. Akta Hasutan ini merupakan satu akta yang kita sedar dan tahu ada beberapa pandangan dan kita harus lihat dari beberapa pilihan yang dilontarkan," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pelaburan Mara Berhad (PMB) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam pembangunan 'Teaching Factory dan Program 'Industrialmanship' untuk meneroka potensi dalam industri kejuruteraan perkapalan di sini, hari ini. Mohd Shafie berkata, terdapat pandangan bahawa akta itu perlu dihapuskan dan ada juga yang berpendapat ia perlu dikekalkan dengan beberapa pindaan. "Kita perlu ada keterbukaan dan perlu menerima pandangan daripada akar umbi untuk memperkasakan (akta itu) supaya tidak timbul kecelaruan," katanya. Beliau berkata penambahbaikan perlu dilakukan terhadap akta itu kerana zaman sudah berubah seperti penggunaan media sosial yang mungkin tidak terkandung dalam akta sedia ada. "Media sosial antara faktor yang boleh melahirkan keadaan kacau bilau, hasutan, fitnah dan penyampaian maklumat yang tidak betul," katanya. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan