Khamis, 20 November 2014

106 agensi media akan membuat liputan Perhimpunan Agung UMNO minggu depan

Sebanyak 106 agensi media yang terdiri daripada dalam dan luar negara akan berkampung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sempena Perhimpunan Agung UMNO 2014 yang akan bermula minggu depan. Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata daripada jumlah itu, 96 melibatkan agensi tempatan dan 10 lagi adalah agensi luar yang membabitkan kira-kira 1,452 warga media yang akan ditempatkan di Laman Media Aras 2, PWTC sebagai satu perkampungan dengan infrastruktur dan kemudahan elektronik bagi memudahkan liputan dibuat sepanjang perhimpunan ini. “Sebelum berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO 2014, kita akan ada Pra Perhimpunan iaitu Persidangan kepimpinan Mahasiswa Nasional (PEMANAS) yang akan diadakan pada 22 hingga 23 Nov manakala Forum Antarabangsa pada 24 hingga 25 November. “Untuk tahun ini, tajuk Forum adalah “A Hyperconnected World : Challenges In nation Building”. Turut diadakan juga Pidato Piala Presiden peringkat akhir pada 25 Nov yang membabitkan 12 peserta. “Perhimpunan Agung UMNO 2014 akan bermula dari 25 hingga 29 Nov iaitu dimulakan dengan Majlis Taklimat Presiden (tertutup), seterusnya perasmian serentak Perhimpunan Agung sayap UMNO oleh Timbalan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada malam hari berkenaan. “Keesokannya akan berlangsung perhimpunan sayap-sayap parti dan Mesyuarat Majlis Tertinggi khas pula akan berlangsung sejurus perhimpunan agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO berakhir,” katanya. DSC_2590 Kata beliau lagi Upacara menaikkan bendera dan ucapan dasar Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak akan berlangsung pada hari Khamis dan sesi perbahasan akan berlangsung selama tiga hari sehingga Sabtu. Sebanyak empat usul akan dibahaskan iaitu usul Ucapan dasar Presiden, Ekonomi, Agama dan Pendidikan. “Anggaran jumlah perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO 2014 seramai 5,739 orang iaitu 2,763 (Perhimpunan Agung UMNO), 993 ( Wanita), 992 (Pemuda) dan 991 (Puteri),” “Dan sebanyak 95 delegasi yang mewakli 27 parti dari 19 buah negara serta 84 perwakilan kelab UMNO Luar Negara turut mengesahkan kehadiran mereka ke Perhimpunan Agung UMNO tahun ini,” katanya. Tambah Tengku Adnan lagi sidang akhbar serentak Naib Presiden, Ketua-Ketua Sayap serta Ketua Penerangan akan diadakan pada 27 Nov, Khamis. Jadual sepanjang Perhimpunan Agung UMNO boleh dilihat menerusi laman web rasmi www.umno-online.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan