Rabu, 19 November 2014

Kerajaan belum membuat keputusan menaikkan kadar tol tahun depan

Kerajaan belum membuat keputusan sama ada akan menaikkan kadar tol pada tahun depan, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof. Beliau berkata bagaimanapun kementerian itu telah memohon peruntukan berjumlah RM558.69 juta di bawah Bajet 2015 untuk bayaran pampasan kepada 20 syarikat konsesi lebuh raya sekiranya kerajaan memutuskan untuk tidak menaikkan kadar tersebut pada tahun depan. "Ini adalah prosedur biasa untuk permohonan bajet supaya peruntukan tersedia sekiranya kerajaan membuat keputusan untuk tidak menaikkan tol," katanya kepada pemberita di ruang legar bangunan Parlimen di sini Rabu. Beliau memberi penjelasan tersebut berikutan laporan media Rabu yang menyebut tiada sebarang kenaikan tol pada tahun depan. Selasa, dalam ucapan penggulungan Bajet 2015 peringkat jawatankuasa pada persidangan Dewan Rakyat, timbalan beliau, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menyatakan kerajaan dijangka membayar sebanyak RM558.69 juta dalam bentuk pampasan kepada syarikat konsesi jika kerajaan memutuskan untuk tidak menaikkan kadar tol di 20 lebuh raya tahun depan. Fadillah menjelaskan, dalam jawapan penggulungan oleh timbalannya itu, tidak ada disebut tentang sama ada kadar tol dinaikkan pada tahun depan, dan keputusan untuk menaikkan kadar tol bergantung kepada laporan Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hidup yang akan dibentangkan kepada Kabinet. "Setelah keputusan dicapai, maka barulah kerajaan akan umumkan sama ada tol naik atau tidak," katanya. Beliau berkata sekiranya berlaku kenaikan tol, maka syarikat konsesi lebuh raya tidak perlu dibayar pampasan dan kementerian itu bercadang menggunakan peruntukan yang diluluskan itu untuk projek pembangunan yang lain di bawah kementerian tersebut. "Bagaimanapun kita perlu mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan untuk menggunakan peruntukan itu untuk tujuan lain kerana ia diluluskan untuk membayar pampasan kepada syarikat konsesi lebuh raya. "Jika ia diluluskan oleh Kementerian Kewangan, maka barulah kita boleh menggunakan peruntukan itu untuk projek lain termasuk membina jalan raya, atau menyelenggara jalan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan