Rabu, 19 November 2014

PKR Sarawak sokong usaha Ketua Menteri hapuskan rasuah

Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) Sarawak pada Rabu menyatakan penghargaan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri yang memberi sokongan penuh terhadap inisiatif Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem untuk menghapus rasuah di negeri ini. Pengerusi BNBBC Sarawak, Abdullah Saidol berkata walaupun PKR Sarawak mempunyai pendirian politik yang berbeza, mereka wajar diberi penghargaan kerana bersependapat dengan Ketua Menteri untuk melihat Sarawak bebas rasuah. "Sokongan mereka kepada Ketua Menteri (dalam hal rasuah) memberi faedah kepada rakyat secara keseluruhannya," kata beliau pada sidang akhbar di luar persidangan Dewan Undangan Negeri di sini. Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian, yang turut hadir di sidang akhbar itu berkata mereka memberi sokongan kerana perbuatan tidak bermoral seperti rasuah merupakan "barah" dalam masyarakat. "Rasuah adalah penyebab yang melemahkan institusi sosial dan penguatkuasaan terhadap kegiatan haram di negeri kita tidak akan berkesan kerana rasuah," ujar beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan