Rabu, 19 November 2014

Penubuhan mahkamah khas GST sedang dibincang

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sedang mengadakan perbincangan lanjut dengan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia bagi mengkaji penstrukturan penubuhan mahkamah khas Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP), Dewan Rakyat diberitahu Rabu. Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata mahkamah khas itu akan mendengar kes pengguna terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya berikutan pelaksanaan CBP yang akan bermula 1 April tahun depan. "Selain dari kewujudan mahkamah ini, langkah penguatkuasaan juga akan diperhebatkan bagi mengesan peniaga atau pihak yang cuba mengambil kesempatan daripada pelaksanaan GST," katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 di sini. Beliau berkata sebanyak 2,200 pegawai penguat kuasa ditugaskan memantau harga barangan susulan pelaksanaan CBP. Sementara itu, katanya kementerian juga tidak akan berkompromi dengan anggota penguat kuasannya yang didapati terlibat dengan gejala rasuah semasa menjalankan tugas mereka. Katanya setakat ini seramai enam anggota penguat kuasa telah dikenakan tindakan kerana didapati terlibat dengan rasuah. Ahmad Bashah juga berkata pihaknya juga akan bekerjasama dengan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi memantau pemaju perumahan bagi mengelak mereka menaikkan harga rumah sewenang-wenangnya selepas pelaksanaan cukai berkenaan. Mengulas cadangan Teo Nie Ching (DAP-Kulai) yang mencadangkan agar meningkatkan hukuman denda terhadap syarikat yang terlibat dengan kegiatan penipuan gores dan menang, katanya pihaknya akan mengkaji cadangan berkenaan. Katanya sejak 2005 hingga Oktober lalu sebanyak 505 kes diambil tindakan melibatkan nilai RM15.46 juta. "Dari jumlah berkenaan 168 telah dikenakan kompaun dan denda melibatkan jumlah RM1.85 juta, ini menunjukan KPDNKK mengambil serius dalam memerangi kegiatan secara haram ini," katanya. Katanya, KPDNKK akan terus melaksanakan tindakan tegas terhadap sindiket gores dan menang di seluruh negara termasuk menjalankan program-program kesedaran kepada orang ramai agar tidak tertipu dengan sindiket berkenaan.BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan