Jumaat, 14 November 2014

PAS mahu DAP tutup mulut

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Mohd Khairuddin Aman Razali memberi amaran kepada rakan komponen PR supaya tutup mulut dan berpuasa daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan kerjasama politik parti pembangkang. Beliau menegaskan, tindakan menegur dan mengkritik Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara terbuka tidak menguntungkan PR, lebih-lebih lagi yang dibuat oleh pimpinan DAP. "Pimpinan parti mesti ambil sikap berpuasa daripada kenyataan yang tidak baik. Berpuasa lebih baik dari membuat kenyataan yang tidak baik. "Saya suka memperingatkan bahawa PR tiada lagi langkah untuk memerintah Malaysia, syaratnya ialah perpaduan mestilah diperkukuhkan. "Isu-isu yang bersifat sampingan, yang tidak menguntungkan PR yang dibangkitkan oleh mana-mana pimpinan parti perlu dielakkan," katanya kepada pemberita di lobi bangunan Parlimen, semalam. Dalam pada itu, beliau juga menyifatkan kritikan terbuka terhadap Abdul Hadi sebagai satu siri serangan yang sedang giat digerakkan sejak akhir-akhir ini bukan sahaja oleh pimpinan DAP bahkan dilakukan oleh pimpinan Pas sendiri. Beliau menegaskan tindakan mempertikaikan kewibawaan Abdul Hadi itu kini menjadi satu trend yang disyaki mempunyai agenda peribadi pihak tertentu termasuk mahu Ahli Parlimen Marang itu berundur. "Saya rasa kenapa isu ini dibangkit sejak akhir-akhir ini adalah satu siri serangan kepada Presiden bukan hanya Lim Guan Eng, bahkan juga beberapa ahli Parlimen selain ahli Pas. "Saya rasa ia satu agenda yang tidak membantu dalam usaha kita untuk mengukuhkan PR," ujarnya. Beliau berkata demikian mengulas gesaan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang sebulat suara supaya Abdul Hadi dapat hadir ke mesyuarat Majlis Pimpinan PR pada masa akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan