Jumaat, 14 November 2014

Kejayaan UMNO perlu diterjemahkan menerusi peti undi

Umno mesti berjaya bukan sahaja dalam konteks sebuah parti politik tetapi kejayaan itu perlu diterjemahkan menerusi peti undi dalam pilihan raya umum, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Presiden Umno itu berkata kayu pengukur yang paling penting bagi Umno sebagai sebuah parti politik adalah kejayaannya mengekalkan kuasa pemerintahan negara. "Ujian yang paling muktamad adalah kekuasaan kita, yang harus diterjemahkan melalui peti undi pada pilihan raya kerana ia merupakan kayu pengukur yang paling penting," katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Umno Negeri Johor, di sini, pada Jumaat. Sebagai presiden parti terbesar dalam Barisan Nasional (BN), katanya beliau mahu melihat Umno yang ditubuhkan di Istana Besar, Johor Baharu, berjaya dan terus mengekalkan kuasanya.
Konvensyen dua hari itu di Hotel Berjaya Waterfront di sini, dihadiri lebih 700 ahli Umno negeri mewakili 26 bahagian. Selain Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pemimpin parti pusat yang hadir pada majlis perasmian itu ialah Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Penerangan Datuk Ahmad Maslan. Menyentuh mengenai ucapannya yang menyebut mengenai pengislahan parti, Najib mengulangi pendiriannya bahawa ia perlu bermula dengan anggota dan pemimpin parti itu sendiri. "Ia mesti terbit daripada kita sendiri, bermula daripada cinta kepada parti. Ia perlu dipegang oleh semua anggota Umno dengan semangat daya juang berhabis-habisan tanpa mengira ganjaran, kedudukan dan kepentingan," katanya. Apa yang penting menurutnya adalah Umno berjaya dan terus berkuasa. Mengenai nasihatnya supaya kepimpinan muda diberi tempat dalam parti, beliau berkata, ia mesti bersandarkan kepada kedudukan di sesuatu kawasan itu. Pemimpin-pemimpin muda dalam Umno perlu dibimbing dan diberikan peluang untuk menyumbang kepada parti, katanya. -- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan