Jumaat, 14 November 2014

UMNO Johor komited berjuang lebih giigih untuk PRU 14

Umno Johor pada Jumaat ini menzahirkan komitmennya untuk berjuang dengan gigih bagi memastikan parti itu dan Barisan Nasional (BN) memenangi kesemua kerusi di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). "Saya dan Umno Johor nekad bersama-sama dengan rakan-rakan dalam BN dan akan berusaha dengan lebih gigih, bekerja dengan lebih keras, untuk memastikan Umno dan BN menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14, Insya-Allah," kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Konvensyen Umno Johor di sini, pada Jumaat. Konvensyen dua hari itu yang dihadiri pemimpin dan anggota daripada 26 bahagian Umno di negeri ini, dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden Umno. Mohamed Khaled yang juga Menteri Besar Johor berkata Umno negeri yakin ia akan menjadi benteng paling kukuh bagi BN di Semenanjung Malaysia pada PRU14. Malah, katanya Umno Johor akan membantu BN membentuk kerajaan dengan majoriti yang lebih besar dan diyakini. Mohamed Khaled berkata kehilangan 18 kerusi pada pilihan raya umum ke-13 merupakan pengalaman yang membingungkan dan pahit bagi Uno Johor tetapi pada masa sama, menghasilkan kesedaran yang mendalam. Sehubungan itu, katanya Umno Johor akan meneruskan usaha bagi mengukuhkan kedudukan, pengaruh dan kuasa orang Melayu sebagai sebahagian daripada strategi transformasi untuk mengukuhkan parti. "Parti ini tidak akan sama sekali lupa terhadap tanggungjawabnya untuk bangsa Melayu," kata Mohamed Khaled. Beliau berkata Umno Johor juga akan memperkukuhkan BN yang telah berjaya menjadikan Malaysia antara negara paling moden, selamat, mempunyai ekonomi berdaya saing, harmoni dari segi sosial dan politiknya stabil. Mohamed Khaled berkata Umno Johor tidak akan menjadi "parti senja" atau "parti di hujung usia" sebaliknya menjadi pilihan golongan muda, yang dipimpin oleh gabungan mereka yang bijak dan progresif. Sehubungan dengan itu, beliau mengumumkan penubuhan badan pemikir Umno Johor yang dinamakan "Johor Institute For Strategy, Economic Advancement and Democracy" (JISEAD). JISEAD berperanan sebagai pusat pengumpulan dan penyebaran idea besar dan pemikiran luar biasa yang dapat memberi manfaat kepada parti, bangsa dan tanah air, katanya. -- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan