Rabu, 5 November 2014

UMNO Kedah fokus usul agama pada Perhimpunan Agung kali ini

Umno Kedah akan memberi penekanan kepada usul agama berbanding usul ekonomi yang sering dibawa sebelum ini, pada Perhimpunan Agung Umno 2014 yang akan berlangsung dari 25 hingga 29 November ini. Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, ada mesej yang perlu disampaikan kepada semua pihak berhubung isu agama dan ia perlu ditekankan pada perhimpunan akan datang. "Seperti biasa perhimpunan ini memberi kesempatan untuk kita berbincang perkara rumit yang memerlukan ketetapan untuk menggerakkan seluruh jentera parti, untuk mendekatkan kita dengan rakyat dan akhirnya akan diterjemahkan dalam bentuk undi dalam pilihan raya nanti. "Selain isu agama, isu panas seperti soal pendidikan dan Akta Hasutan, saya ingat akan dibangkitkan dalam perhimpunan agung kali ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini hari ini. Sementara itu beliau berkata, dalam perbentangan Belanjawan Negeri Kedah 2014 pada 17 Nov ini, secara umumnya ia adalah bajet yang mesra rakyat. "Ada unsur galakan pertumbuhan ekonomi negeri, nak ada pertumbuhan untuk diagihkan secara adil untuk dimanfaatkan oleh semua rakyat," katanya. Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan negeri telah bersetuju memperuntukkan bantuan bagi meringankan beban golongan penoreh yang pendapatan mereka terjejas teruk akibat penurunan harga getah. "Kita akan bekalkan bahan makanan asas bagi penoreh yang dalam keadaan terlalu daif. Ini akan disampaikan kepada semua yang penoreh yang layak di semua Dewan Undangan Negeri dan saya harap kita akan dapat uruskan dalam masa terdekat," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan