Selasa, 28 Oktober 2014

GST-Syarikat akan didaftar secara paksaan

Syarikat yang tidak mendaftar untuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) sebelum 31 Dis ini, akan 'didaftar secara paksaan', kata Pengarah CBP Jabatan Kastam Diraja Malaysia Datuk T. Subromaniam. Sehubungan itu, beliau menggesa syarikat yang belum berdaftar untuk CBP supaya berbuat demikian dengan segera. "Saya minta semua pemilik syarikat segera daftar dengan Kastam dan jangan tunggu hingga saat akhir. Sehingga semalam, hanya 107,511 syarikat telah mendaftar. Kita ada rekod, lebih 300,000 syarikat yang perlu berdaftar dengan kita. "Sekiranya tidak berdaftar sebelum hujung tahun ini, maka Kastam akan membuat pendaftaran secara paksaan kerana kita ada maklumat syarikat-syarikat yang belum mendaftar, apa perniagaan mereka, berapa jualan mereka dan sebagainya," kata beliau. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat pelaksanaan CBP kepada lebih 100 kakitangan dan Ketua Biro Radio Televisyen Malaysia (RTM) dari seluruh negara di Angkasapuri, di sini pada Selasa. Subromaniam berkata syarikat yang gagal mendaftar boleh didakwa mengikut Seksyen 96 Akta GST 2014, di mana syarikat perniagaan atau orang perseorangan boleh didenda tidak melebihi RM30,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. "Kita juga ada kuasa untuk kompaun mereka sehingga RM15,000. Kita nak bantu mereka melalui program sokongan dan latihan, hanya syarikat yang berdaftar akan dipanggil untuk diberi maklumat mengenai pelaksanaan GST," katanya. Pendaftaran CBP wajib bagi syarikat dan orang perseorangan yang menjalankan perniagaan dan telah mencapai nilai pembekalan bercukai bagi tempoh 12 bulan melebihi RM500,000. Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Datuk Zainul Abidin Taib berkata pemilik syarikat mahupun orang ramai yang masih keliru dengan pelaksanaan CBP boleh menghubungi agensi berkenaan untuk keterangan lanjut. "Kita ada menyediakan kiosk Kastam di seluruh negara untuk membantu rakyat mendapatkan segala informasi mengenai pelaksanaan GST pada setiap masa," katanya. Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat melalui laman sesawang rasmi CBP iaitu www.gst.customs.gov.my atau menghubungi talian bebas tol 1-300-888-500.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan