Selasa, 28 Oktober 2014

Pentadbir universiti perlu berani untuk perubahan-KSN

Pentadbir universiti perlu punya keberanian dan imaginasi untuk melakukan pembaharuan dan menggubal dasar sesuai dengan persekitaran yang sering berubah. Menggesa demikian, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, ini harus dilakukan jika terdapat ruang untuk penambahbaikan dari segi amalan tadbir urus yang baik. Beliau berkata dengan fokus yang begitu bersungguh terhadap sektor pendidikan, pentadbir dalam bidang pendidikan tinggi perlu menyedari bahawa mereka bertanggungjawab dan akauntabel kepada pemegang kepentingan mereka, pelajar dan akhirnya, rakyat. Oleh itu, pentadbir mesti mengamalkan tadbir urus yang baik bagi mencapai matlamat, kata beliau dalam ucaptama merasmikan Persidangan Para Pentadbir Universiti Antarabangsa di Pusat Konvensyen Persada di sini Selasa malam. "Saya menggesa anda semua, pentadbir universiti dalam bidang pendidikan tinggi, melihat secara jujur kepada institusi anda sendiri dan amalan semasanya, serta tingkah laku individu anda sendiri dalam hal tadbir urus yang baik. "Adakah wujud amalan yang boleh anda banggakan? Atau adakah bidang-bidang yang seharusnya perlu lebih baik?. "Pemimpin dan pentadbir hari ini menghadapi cabaran dari semua kelompok dan tuntutan pula datang daripada pemegang kepentingan. "Oleh itu kita perlu kreatif dan inovatif dalam mencari jawapan dan melakukan pembaharuan dalam bidang pendidikan tinggi," kata Ali. Ketika menegaskan perlunya tadbir urus yang baik dalam bidang pendidikan tinggi dan perkhidmatan awam secara keseluruhannya, Ali juga menarik perhatian bahawa tadbir urus bukan setakat peraturan dan struktur formal tetapi ia jauh menyentuh teras nilai etika. "Sektor awam di seluruh dunia telah membuktikan bahawa amalan yang tidak berprinsip dan rasuah membawa kepada reputasi yang tercemar, kehakisan kepercayaan orang ramai dan paling teruk, tumbangnya sebuah kerajaan," tambah beliau. Oleh itu, tadir urus yang baik mesti diterap dan dibina dalam setiap agensi kerajaan, kata Ali. Beliau berkata tindakan tegas dan hukuman berat mesti dikenakan ke atas mereka yang sabit salah laku, dan tingkah laku buruk mesti dihapuskan. "Ketika anda mengasuh pemimpin masa depan di pusat-pusat pendidikan tinggi anda, anda perlu menerap prinsip tadbir urus yang baik seperti amanah, integriti dan akauntibiliti," kata beliau. Untuk memastikan amalan tadbir urus yang berjaya, ia mesti bermula di peringkat paling tinggi dalam organisasi. Persidangan itu yang bermula pada Selasa disertai oleh lebih 350 pentadbir dari universiti awam dan swasta dan institusi pendidikan tinggi tempatan dan dari negara-negara Asean. Dengan tema "Nexus of Administrators: Past, Present and Future", persidangan itu yang dianjurkan oleh Universiti Teknologi Mara, menjadi platform bagi pentadbir bertukar-tukar pandangan dan amalan terbaik dalam usaha melahirkan pemimpin masa depan yang lebih baik. Persidangan itu berakhir Jumaat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan