Isnin, 27 Oktober 2014

JAKIM jumpa penganjur pesta sentuh anjing November depan

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengadakan pertemuan dengan penganjur 'I Want To Touch A Dog' pada 6 Nov depan bagi mendapatkan penjelasan sebenar mengenai penganjuran program itu. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pertemuan di Putrajaya itu turut disertai oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). "Dalam pertemuan itu nanti, kita nak memahami penganjuran program tersebut. Apakah ada agenda terselindung atau agenda selain daripada kebiasaan kerana lazimnya semua masyarakat pun memahami bahawa menyentuh anjing secara sengaja tidak dibenarkan dalam Islam. "Islam dilihat sebagai agama yang menyantuni semua makhluk termasuk haiwan seperti anjing, namun, menyayangi haiwan ini ada tahapnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Rumahku Syurgaku 2014 di sini, Isnin. Jamil Khir berkata Jakim tidak mempunyai kuasa untuk menentukan sebarang tindakan undang-undang memandangkan jabatan itu hanya bertindak sebagai perantara. "Dalam konteks undang-undang, tidak ada yang menyebut tidak boleh memegang anjing, tetapi peruntukan lain ialah menjaga fatwa yang dikeluarkan oleh mufti di setiap negeri (mengenai hukum menyentuh anjing). Itu yang harus kita ambil kira," katanya. Beliau juga meminta majlis dan jabatan agama Islam di seluruh negara supaya peka dengan setiap penganjuran program supaya tidak wujud unsur melanggari batasan agama. Program 'I Want To Touch A Dog' pada 19 Okt itu di Central Park, One Utama, Petaling Jaya mencetuskan perdebatan hangat khususnya dalam kalangan umat Islam kerana ia dikatakan bercanggah dengan mazhab Shafie dan adat di negara ini. Sabtu lepas, penganjur program Syed Azmi Alhabshi memohon maaf atas perasaan tidak senang yang timbul akibat perbuatan segelintir peserta memeluk dan mencium anjing semasa program berlangsung. Terdahulu, Jamil Khir turut melancarkan Pusat Khidmat Keluarga, Sosial dan Komuniti (PKKSK) yang akan dibuka di Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) bagi memudahkan orang ramai mendapatkan khidmat nasihat berkenaan kekeluargaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan