Isnin, 27 Oktober 2014

Isu bible-Peguam Negara tidak akan dakwa Ibrahim Ali

Jabatan Peguam Negara tidak akan mendakwa Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali mengikut Akta Hasutan 1948 berhubung kenyataannya menyeru umat Islam merampas dan membakar salinan bible Al-Kitab yang mengandungi perkataan Allah. Ini kerana kenyataan beliau tidak dalam lingkungan definisi kecenderungan menghasut mengikut Akta Hasutan 1948, kata Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin. Jabatan itu merujuk kepada kenyataan Ibrahim pada sidang media selepas tamatnya Konvensyen Perkasa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang pada Januari 2013. Ibrahim membuat kenyataan itu bagi mengulas kejadian pengedaran Bible di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelutong, Pulau Pinang pada 17 Jan 2013, di mana tiga lelaki Cina dikatakan mengedar sejumlah Bible kepada pelajar sekolah itu termasuk pelajar Islam di hadapan sekolah berkenaan. Menurut kenyataan itu lagi yang setelah dikaji keseluruhan kenyataan Ibrahim, Jabatan Peguam Negara mendapati ia tidak tergolong sebagai kecenderungan menghasut. "Kata-kata Ibrahim ditujukan kepada kejadian sekumpulan individu yang telah mengedar naskhah Bible yang mengandungi kalimah Allah dengan tulisan jawi kepada pelajar di SMK Jelutong termasuk pelajar Melayu," kata jabatan itu. Menurut Jabatan Peguam Negara, Ibrahim jelas tidak berniat menimbulkan kekecohan keagamaan tetapi hanya mempertahankan kesucian agama Islam. "Kenyataannya itu tidak tergolong di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana Presiden Perkasa itu tidak mempunyai niat untuk menghina dan menimbulkan provokasi yang membolehkan ketenteraman awam tergugat. "Selain itu, tiada kesalahan yang dibuat Ibrahim di bawah Seksyen 298 atau 298A Kanun Keseksaan kerana apa yang dilakukan Ibrahim jelas mempertahankan kesucian agama Islam," kata Jabatan Peguam Negara. Menurut jabatan itu, tindakan pengedaran Bible secara percuma dan terbuka di luar perkarangan SMK Jelutong boleh menggugat akidah pelajar-pelajar Islam yang kurang pengetahuan agama jika mereka membaca Bible itu, lebih-lebih lagi ia mengandungi tulisan jawi. "Setelah mengambil kira fakta dan keterangan kes-kes ini, Peguam Negara berpendapat bahawa adalah tidak wajar untuk kes-kes ini dibawa ke mahkamah," menurut jabatan itu.BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan