Isnin, 27 Oktober 2014

UM anggap program pidato Anwar sebagai menceroboh

Universiti Malaya (UM) menegaskan bahawa tindakan mana-mana pihak menganjurkan sebarang aktiviti di dalam kawasan kampusnya malam ini tanpa kebenaran pihak pengurusan, akan dianggap sebagai menceroboh. Pengarah Pejabat Hubungan Antarabangsa dan Korporat UM, Zarina Zainol Abidin berkata, universiti berkenaan sebagai pemilik berdaftar lot tanah di dalam kampusnya, berhak mengambil tindakan terhadap mana-mana individu atau pertubuhan yang melakukan kesalahan itu. Menurut beliau, adalah menjadi amalan kebiasaan bagi mana-mana pihak, sama ada penganjur dari dalam atau luar yang ingin menganjurkan sebarang aktiviti di dalam kampus UM, untuk mendapat kebenaran daripada pengurusan universiti terlebih dahulu. “Walau bagaimanapun, sehingga hari ini. pihak pengurusan UM tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak untuk menganjurkan aktiviti malam ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Malam ini, Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) merancang untuk menganjurkan Program Pidato Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim: 40 Tahun Dari Universiti Malaya ke Penjara di Dataran Dewan Tunku Canselor, UM. Dalam perkembangan berkaitan, Zarina memberitahu, pihak pengurusan UM telah membuat laporan polis berhubung penyebaran surat palsu yang menyatakan kawasan kampus universiti tersebut akan ditutup hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan