Jumaat, 24 Oktober 2014

Semangat Hijrah dijadikan tunjang transformasi negara-PM Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia sentiasa mencontohi serta menjiwai roh dan semangat peristiwa hebat Hijrah sebagai tunjang kepada transformasi dan pembangunan negara yang realitinya mempunyai masyarakat berbilang kaum. Beliau berkata ini selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang progresif. "Justeru dengan berwahanakan Gagasan 1Malaysia, kita menggarap semangat Hijrah ini ke dalam agenda transformasi nasional," katanya dalam perutusan sempena sambutan Maal Hijrah 1436H. Najib berkata prinsip penerimaan, kenegaraan dan keadilan sosial perlu dijadikan asas bermasyarakat melatari landskap kehidupan rakyat Malaysia yang harmoni. Beliau berkata berpandukan semangat Hijrah, beliau membentangkan Bajet 2015 bertema 'Ekonomi Keperluan Rakyat' baru-baru ini untuk terus memperkukuh kemapanan ekonomi negara, memperkasa transformasi dan mendahulukan keperluan rakyat. "Harapan kita ialah Malaysia akan terus berkembang melalui pelaksanaan program transformasi ekonomi yang telah kita rancang," katanya. Perdana Menteri turut merujuk kejayaan Malaysia baru-baru ini menjadi anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi tempoh 2015-2016. "Ini adalah bukti pengiktirafan dunia kepada kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia. Malah ini juga perlu dilihat sebagai satu penerimaan dunia kepada pendekataan wasatiyyah (bersederhana) berpaksikan Maqasid Syariah dalam pentadbiran negara," katanya. Dalam pada itu, Najib berkata tarikh 1436 Hijrah mengingatkan umat Islam kepada penetapan takwim Islami oleh Saidina Umar Al-Khattab yang merupakan satu bentuk inovasi dalam tadbir urus terbaik semasa pemerintahan Khilafah Islamiah. Peristiwa Hijrah merujuk kepada perpindahan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dari Kota Makkah ke Yathrib (Madinah) pada 622 Masihi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan