Jumaat, 24 Oktober 2014

Pulau Pinang larang tukang masak warga asing tahun depan

Kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP akan melarang warga asing daripada bekerja sebagai tukang masak utama di gerai penjaja mulai 1 Jan 2015. Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata majlis eksekutif negeri membuat keputusan itu selepas 86 peratus daripada responden dalam satu kaji selidik menyokong cadangan berkenaan. Beliau berkata syarat penjaja jalanan hanya menggunakan tukang masak tempatan akan menjadi antara kriteria dalam permohonan lesen penjaja. "Penjaja akan diberi tempoh peralihan setahun mulai 1 Jan tahun depan untuk membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan peraturan baharu ini, yang akan dilaksanakan secara berperingkat, bukan serta-merta," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat. Lim berkata keputusan itu terpakai bagi semua penjaja jalanan, kedai kopi, kompleks penjaja dan medan selera pusat beli-belah. "Warga asing boleh membantu tukang masak atau menjadi pembantu dapur di kedai tetapi tukang masak utama mestilah rakyat tempatan untuk memelihara warisan masakan," katanya sambil menjelaskan bahawa peraturan itu tidak terpakai bagi restoran. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow berkata semua penjaja perlu mematuhi peraturan itu menjelang 1 Jan 2016. "Penjaja yang tidak mematuhinya akan dikenakan tindakan, termasuk dibatalkan lesen perniagaan," katanya. Chow berkata menurut kaji selidik berkenaan, 86.02 peratus bersetuju Majlis Perbandaran Pulau Pinang menarik balik lesen penjaja yang menggunakan khidmat tukang masak asing manakala 13.98 peratus menolaknya. Beliau berkata pelekat bertulis 'Penang Food is the Best' akan diberi kepada kedai yang mematuhi peraturan itu.BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan