Jumaat, 24 Oktober 2014

PR bangkitkan pelbagai isu untuk tutup kelemahan sendiri

Pakatan Rakyat (PR) membangkitkan pelbagai isu kebelakangan ini supaya rakyat lupa tentang krisis Selangor yang menyaksikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melepaskan jawatan sebagai menteri besar, kata Datuk Ibrahim Ali. Presiden Perkasa itu berkata, apa sahaja peluang yang boleh dijadikan isu akan digunakan sebagai modal, terutamanya DAP yang dilihat paling ghairah mengaburi mata rakyat. "Apa-apa sahaja isu, mereka akan jadikan modal. Tambahan lagi PR cedera baru-baru ini. Jika main bola antara BN dan PKR, pemain PKR kena buang padang seorang dalam isu menteri besar Selangor. "Sekarang PR, terutama DAP, ghairah cuba hendak baiki kecederaan ini yang dikira parah dengan membangkitkan lain-lain isu, hendak selindung dan bagi rakyat lupa apa yang berlaku di Selangor. Itu permainan mereka sekarang,” katanya dalam satu temubual bersama The Malaysian Insider. PKR pada Ogos memecat Khalid kerana enggan mematuhi keputusan parti memberi laluan kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor yang baru. Krisis Selangor yang berlarutan selama lapan bulan menyaksikan Mohamed Azmin Ali berjaya dilantik sebagai menteri besar walaupun PKR dan DAP hanya menamakan Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal kepada pihak istana. Pencalonan Dr Wan Azizah kurang disenangi PAS, terutama presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang tidak bersetuju wanita menjawat jawatan nombor satu pentadbiran kerajaan negeri terkaya di Malaysia itu. Ibrahim berkata Putrajaya tidak perlu mengulas sebarang kenyataan atau dakwaan yang dilemparkan pemimpin PR kerana ia akan mengeruhkan lagi keadaan. Katanya, apa yang perlu diberi perhatian Barisan Nasional (BN) ialah bagaimana mengatasi kos sara hidup dan mengurangkan beban kehidupan rakyat. "Pada pandangan saya, strategi BN tidak perlu respon kepada isu. Lagi respon, lagi mengada-ngada dan dibesarkan. "Yang penting bagi BN, jangan buang masa, fokus bagaimana menjadikan rakyat gembira,” katanya. Ketika diminta mengulas desakan pelbagai pihak yang mahu beliau disiasat mengikut Akta Hasutan, Ibrahim berkata: "Saya sudah dinasihatkan tidak boleh komen. Saya sudah terangkan dulu. Jadi tidak payah saya ulang. Isu ini sudah tidak berbangkit.” Sementara itu, bekas ahli Parlimen Pasir Mas itu turut diminta mengulas keputusan kes Liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan diumumkan Selasa ini. Katanya, menjadi harapannya agar Saiful Bukhari Azlan diberikan pembelaan sewajarnya apabila Mahkamah Persekutuan membuat keputusan minggu hadapan. "Saya tidak mahu dahului keputusan mahkamah. Saya sentiasa berdoa supaya Saiful yang menjadi mangsa kepada tragedi ini diberi pembelaan sewajarnya. "Amat malang saya tengok salah seorang anak muda Malaysia dijadikan mangsa pemimpin. Orang ramai memberi sokongan kepada Anwar atas dasar politik. “Yang menyokong mereka orang yang bercakap soal keadilan, moral, akhlak dan ketelusan. Tetapi Saiful hanya manusia biasa, dia tinggal seorang melawan kesnya,” katanya kepada The Malaysian Insider. Ibrahim berkata Saiful selama ini sudah cukup menanggung derita dan malu serta terpaksa menunggu jangka masa lama mendapatkan keadilan. "Saya bukan memihak kepada Saiful. Saya hanya memihak kepada keadilan. Keadilan bukan hanya dilaksana tetapi ia dapat dilihat. "Orang lain bila menerima penyeksaan, kita tengok cepat mereka dapat pengadilan bermakna perbicaraan dalam masa setahun boleh selesai. "Bagi Saiful, dia terpaksa menunggu begitu lama. Kalau ada orang yang membela Saiful, orang yang membela Saiful akan dituduh berkonspirasi,” katanya yang juga pernah menjalani hukuman Akta Keselamatan Dalam Negeri bersama Anwar pada 1974.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan