Isnin, 24 November 2014

Hasil forum antarabangsa UMNO harus dibawa ke PBB- Syed Hamid

Umno harus mencadangkan kepada Wakil Tetap Malaysia di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk membentangkan usul, hasil perbincangan topik Perubahan kepada Keseimbangan Kuasa Global bersempena Forum Antarabangsa Umno pada Isnin, kata bekas Menteri Luar Tan Sri Dr Syed Hamid Albar. Syed Hamid, selaku moderator, berkata majoriti penceramah antarabangsa membangkitkan kebimbangan mereka berhubung keselamatan siber dan perubahan yang dihadapi dalam dunia kesalinghubungan. "Semasa forum itu, semua delegasi bersetuju ruang siber tidak boleh dihentikan dan semua orang menyuarakan kebimbangan mereka mengenai keselamatan siber dan ruang siber tidak mempunyai kebertanggungjawapan dan tiada kekangan. "Bagaimana kita mahu mengawal ruang siber, pencerobohan peribadi, melindungi negara daripada serangan siber, saya berharap apa yang telah dibincangkan dalam forum hari ini tidak akan berakhir di sini, kami (Umno) akan mencadangkan apa yang dibincangkan dalam forum ini dibawa ke PBB," katanya di sini pada Isnin. Sementara itu, beberapa perwakilan asing menyatakan keperluan bagi Umno untuk membentangkan usul di PBB berhubung topik yang dibincangkan itu. Seorang penceramah Siti Sarifah M. Sutalaksana, yang juga Ketua Perwakilan Partai Gerakan Indonesia Raya di Malaysia, mencadangkan lima langkah kepada kerajaan untuk memerangi jenayah siber. Antaranya, meningkatkan kekerapan simulasi peperangan siber, mengenal pasti risiko serangan siber dan peraturan bagi penggodam siber. "Kerajaan juga boleh melaksanakan hukuman lebih berat kepada penggodam siber yang tidak bertanggungjawab dan meningkatkan dunia pendidikan siber di sekolah," katanya. Forum bertema Dunia Kesalinghubungan: Cabaran Dalam Pembinaan Negara, diadakan bersempena Perhimpunan Agung Umno 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra. Forum Antarabangsa Umno, yang berlangsung dua hari bermula Isnin, disertai 127 perwakilan asing daripada 34 parti mewakili 22 negara dan kor diplomatik hampir 70 negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan