Rabu, 15 Oktober 2014

Tamrin tinggalkan PAS kerana nasib dua "barua" parti itu

Kesabaran anak bekas timbalan perdana menteri, Mohd Tamrin Abdul Ghafar sampai ke kemuncak apabila melihat dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Selangor dikenakan tindakan disiplin semata-mata kerana menyokong Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi calon menteri besar. Tamrin berkata, tindakan PAS yang menggantung keahlian Adun Hulu Kelang Saari Sungib dan Hasnul Baharuddin (Morib) selama setahun menyebabkan beliau mengambil keputusan nekad menghantar surat letak jawatan ke Ibu Pejabat PAS semalam. "Pada saya, tindakan PAS itu amat salah. Apa yang mereka (Adun) buat adalah mempertahankan keputusan muktamar PAS, iaitu mesti bersama dengan Pakatan Rakyat (PR). "Tetapi PAS bertindak sebaliknya. Dua Adun ini mengambil keputusan menentukan PAS bersama PR, itu saja. Jadi apa salahnya?" katanya kepada pemberita selepas pelancaran kempen Gerakan Anti Perkauman (GAP) di Kelab Sunway Lagoon di Petaling Jaya, malam tadi. Saari dan Hasnul pada 12 Oktober lalu dikenakan tindakan mengikut Fasal 82(6) Perlembagaan PAS kerana melanggar arahan parti. Sepanjang tempoh penggantungan itu, mereka tidak boleh menyertai sebarang aktiviti parti, namun masih diberi ruang merayu dalam tempoh 15 hari. Tamrin berkata, bukan saja krisis Selangor tetapi beberapa pandangan mengenai isu lain juga pernah dikemukakannya kepada pemimpin PAS, termasuk Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tetapi tidak diambil perhatian. "Sebelum itu, masalah Pilihan Raya Umum (PRU) begitu juga. "Ada beberapa perkara yang gagal ditunaikan PAS semasa menabur janji PRU13 lalu. PAS mungkir janji. Itu bukan stail politik saya," katanya. Beliau berkata, dirinya juga kecewa kerana pemimpin PAS gagal menunjukkan contoh imej sebuah parti Islam yang baik. "Saya tidak ada masalah dengan PAS. Parti tidak tersasar daripada landasannya, cuma pemimpinnya saja yang lari daripada perjuangan asal. "Siapa pemimpin itu? Ianya jelas," katanya tersenyum. Katanya, hasrat untuk keluar parti dinyatakan kepada beberapa pemimpin tertinggi PAS, tetapi tidak ada pertemuan empat mata dengan Hadi atau Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Ditanya sama ada tindakannya itu seperti cuba mempengaruhi ahli PAS lain supaya mengikut jejak langkahnya, beliau menafikan. Katanya, keputusan itu adalah kehendaknya sendiri dan tidak dipengaruhi sesiapa. "Saya percaya ramai yang tidak gembira dengan apa yang terjadi dalam PAS, ia sangat ketara. "Mungkin (ramai ahli akan keluar parti) memandangkan ada pemimpin yang membuat ramalan itu tetapi saya tidak mempengaruhi sesiapa, terpulang kepada mereka," katanya yang tidak bercadang kembali semula kepada Umno mahupun parti lain dalam PR. Sebaliknya, beliau mahu fokus kepada GAP dan memerhatikan perjalanan dunia politik dan bebas bersuara sebagai rakyat awam. Anak Tun Ghafar Baba itu menghantar surat kepada Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali untuk menarik diri daripada menjadi ahli parti Islam itu berkuatkuasa semalam. Pada 2012, bekas Adun Ayer Molek dan Ahli Parlimen Batu Berendam Umno itu menyerahkan borang keahlian parti kepada Hadi dalam satu majlis di Gombak. GAP dilancarkan Ahli Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusof Rawa yang mensasarkan agenda utama, iaitu menyelamatkan Malaysia daripada kehancuran akibat perkauman demi kesejahteraan generasi akan datang. Menentang perkauman dan ekstremis agama, ahli jawatankuasa (AJK) PAS Pusat itu bagaimanapun menegaskan perjuangan GAP tidak menolak prinsip Perlembagaan Persekutuan. "Barah perkauman ini ada dalam semua budaya, dan perjuangan kami adalah agar semua dapat menyatakan ‘Kata Tak Nak Kepada Perkauman’," katanya.sumber: themalaysianinsider.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan