Rabu, 15 Oktober 2014

Pemuda UMNO memberi tumpuan menyelesaikan masalah golongan muda

Pergerakan Pemuda Umno tidak lagi bergantung kepada kekuatan bersuara sebaliknya menggunakan pendekatan sejauh mana sayap parti itu mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi golongan muda. Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata parti akan dianggap retorik jika hanya bersuara tanpa membawa solusi kepada masalah golongan muda seperti isu peluang pekerjaan, pemilikan rumah di kawasan bandar dan kenaikan kos sara hidup. "Hari ini kita hidup dalam persekitaran politik yang kompetitif, hari ini anak muda mempunyai minat, pandangan tak sama, pelbagai isu yang diperjuangkan. "Yang mana kita lihat dalam kepelbagaian minat, kita kena mencari apa yang mereka cari, bukan semua minat dalam politik, bagaimana kita dapat mencetus idea yang boleh memikat mereka," katanya dalam Forum Evolusi Politik Anak Muda Malaysia - Dulu, Kini dan Akan Datang di sini pada Rabu. Forum itu merupakan program pertama anjuran Akademi Kepimpinan Kapten Hussein (AKHI). Khairy, yang juga Menteri Belia dan Sukan, berkata Pemuda Umno sentiasa berusaha membantu golongan muda dengan mencadangkan beberapa solusi kepada kerajaan bagi menangani masalah mereka. "Kini apa isu besar yang diperlukan belia ialah rumah, dan Pemuda Umno turut bersama menyuarakan masalah itu kepada kerajaan, dan pelbagai langkah telah diambil termasuk Perumahan Rakyat 1Malaysia dan Rumah Transit bagi membantu golongan belia," katanya. Beliau berkata keadaan itu jelas menunjukkan peranan yang dimainkan Pemuda Umno dalam menyuarakan suara belia kepada kerajaan, dan kerajaan telah mengambil langkah penyelesaian tanpa membebankan fiskal negara. Katanya, jika pendekatan ini terus dilaksana, golongan muda akan melihat Umno sebagai solusi masalah mereka sekali gus menarik mereka memberi sokongan kepada parti itu. Khairy turut menegaskan meskipun Pemuda Umno cuba memenuhi kehendak generasi muda untuk kekal relevan namun ini tidak bermakna pergerakan itu mengorbankan perjuangan sebenar parti bagi mempertahan agama, bangsa dan negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan