Khamis, 16 Oktober 2014

Kerajaan kaji kelonggaran kemasukan sementara kenderaan dari Thailand

Kerajaan kini dalam proses mengkaji semula kelonggaran kemasukan sementara kenderaan asing dari Thailand tanpa Permit Peredaran Antarabangsa (ICP) dan insurans Dewan Rakyat diberitahu hari ini. Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi berkata, ini berikutan risiko kenderaan itu tidak mematuhi syarat ditetapkan, selain berkemungkinan terbabit dalam kegiatan penyeludupan serta pemerdagangan orang. "Kita akan melihat kembali kelonggaran yang diberi kepada kenderaan dari Thailand ini iaitu dua kilometer sempadan bagi Kedah, Perlis dan Kelantan, manakala tujuh kilometer bagi sempadan Perak, (kenderaan tanpa ICP dan insurans)," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini. Mahfuz ingin tahu sama ada kementerian akan mengkaji semula kelonggaran kemasukan sementara kenderaan asing dari Thailand yang menyalahgunakan kelonggaran yang diberi dan terbabit dengan kegiatan 'teksi sapu' di Kelantan serta membeli minyak subsidi di sempadan negara ini. Aziz berkata kelonggaran itu pada masa ini adalah sebagai timbal balas kerajaan Thailand yang memberi kelonggaran kepada Malaysia melalui persefahaman yang dipersetujui sejak tahun 1993. Beliau berkata kajian juga sedang dilakukan bagi mewujudkan mekanisme kawalan kenderaan yang lebih ketat dan sistematik agar penyeragaman dapat dilakukan di semua sempadan negara. Menjawab soalan asal Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) berkaitan jumlah dan pemantauan kenderaan asing ke negara ini, Aziz berkata sejak tahun 2011 hingga Ogos tahun ini, sebanyak 77, 456 pendaftaran kenderaan asing menggunakan ICP memasuki Malaysia. Daripada jumlah itu, 69,115 adalah kenderaan dari Thailand. Aziz berkata pemantauan kenderaan asing itu mengikut Seksyen 21 dan 25 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 serta Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Peredaran Antarabangsa) 1967 iaitu membenarkan kemasukan sementara kenderaan persendirian dari negara-negara asing dan dikawal melalui ICP oleh JPJ.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan