Selasa, 17 Jun 2014

Hentian R n R lebuh raya akan jadi zon larangan merokok

Semua kawasan tertutup di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) lebuh raya serta laluan pejalan kaki berbumbung sepanjang 23 kilometer dalam wilayah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan menjadi zon bebas rokok, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam. Beliau berkata pewartaan zon berkenaan akan dilaksanakan sebelum akhir tahun ini dengan melibatkan kawasan medan selera, tandas dan taman rekreasi di kedua-dua kawasan berkenaan. "Perbincangan dengan pihak konsesi lebuh raya dan DBKL sudah dijalankan dan mereka sudi serta sedia bekerjasama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia peringkat kebangsaan bertemakan "Jimat Wang! Berhenti Merokok! Selamatkan Nyawa" di sini Selasa. Katanya kementerian bercadang mewartakan lebih banyak zon larangan merokok di seluruh negara. Ia adalah sejajar dengan usaha yang mensasarkan penurunan peratusan penduduk dewasa merokok daripada 23.1 peratus atau 4.7 juta pada masa sekarang mengikut Tinjauan Global Adult Tobacco Survey Malaysia 2011, kepada 16 peratus pada tahun 2025, katanya. "Kita juga melihat umur bermulanya seorang perokok adalah lebih rendah iaitu antara 12 dan 15 tahun selain golongan wanita merokok juga bertambah," katanya. Terdahulu dalam ucapannya, Dr Subramaniam berkata dari segi percukaian, kementerian itu mensasarkan percukaian melebihi 70 peratus daripada harga runcit untuk semua jenis rokok. "Ini bersesuaian dengan saranan Perjanjian Rangka Kerja Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menurunkan kebolehdapatan rokok terutama dalam kalangan remaja," katanya. The World Health Report 2010 menyatakan bahawa peningkatan harga rokok adalah satu cara yang sangat efektif untuk menurunkan gejala merokok dan menghalang seseorang untuk mula merokok, katanya. "Kenaikan harga rokok sehingga 10 peratus dapat mengurangkan tabiat merokok sebanyak empat peratus bagi negara berpendapatan tinggi dan sehingga lapan peratus bagi kebanyakan negara berpendapatan sederhana dan rendah, secara tidak langsung ia dapat menjimatkan wang untuk digunakan kepada perkara lebih bermanfaat," katanya. Dr Subramaniam berkata kajian ekonomi kesihatan yang dilakukan di negara ini mendapati, kos rawatan tiga jenis penyakit utama akibat merokok melebihi RM3 bilion setahun. "Kos rawatan penyakit jantung koronari adalah RM545 juta setahun, kanser paru-paru RM133 juta setahun manakala penyakit paru-paru kronik RM2.2 bilion setahun, kos ketiga-tiga penyakit ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan," katanya. Ketika ditanya mengenai pemberian cuti sakit kepada individu yang tidak sakit kerana 'demam Piala Dunia', beliau berkata seorang doktor dan pegawai perubatan tahu bahawa mereka diberikan keyakinan oleh kerajaan serta rakyat untuk menjalankan tugas dengan benar dan betul. "Sama ada Piala Dunia atau tidak, sijil cuti sakit hanya diberikan kepada pesakit yang betul-betul sakit, jika diberikan kepada yang tidak sakit atau melalui ejen-ejen, pendaftaran pengamalan perubatan doktor terbabit boleh dibatalkan, maksudnya tidak boleh bekerja sebagai doktor lagi," katanya. Sementara itu, mengenai kejadian seorang ibu berusia 72 tahun yang mengalami jangkitan kuman di jari kiri sehingga terpaksa dipotong selepas dikatakan menerima suntikan seorang doktor di sebuah hospital kerajaan di sini, Dr Subramaniam berkata kementerian memandang serius kejadian seperti itu. "Kita adakan siasatan untuk mencari punca dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pegawai terbabit jika kesilapan, penyelewengan serta kecuaian berlaku. Keselamatan kesihatan pesakit akan agenda penting kita dari dia masuk sehingga dia keluar dari hospital," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan