Selasa, 17 Jun 2014

Jabatan Penyiaran guna kaedah SST dalam pembelian program RTM

Jabatan Penyiaran Malaysia telah menggunakan kaedah perolehan Surat Setuju Terima (SST) yang mengandungi terma dan syarat bagi menggantikan kontrak formal dalam pembelian program saluran TV Interaktif (TVi) RTM bagi tempoh 2011 hingga 2013. Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi berkata jabatan itu perlu ada penyelarasan dari segi pembelian program-program televisyen jika tidak mempunyai kontrak formal. "Jadi (penggunaan) SST walaupun tiadanya kontrak formal pada masa itu , ia telah mengandungi pelbagai terma kontrak yang mana perlu dipersetujui oleh pembekal program, antaranya ia telah menggariskan tempoh kontrak, tugas dan tanggungjawab setiap pembekal program televisyen. "Kami juga mengarahkan pegawai mendapatkan satu salinan SST sebagai dokumen yang mencatatkan pengesahan 'offer of acceptance'...tiada niat buruk kita laksanakan perjanjian melalui SST kerana ia sesuatu yang telah dirujuk dari segi perundangan," katanya pada sesi Townhall Tindakan Susulan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2012 dan 2013 (Siri 1 dan 2) di sini hari ini. Sesi itu merupakan yang pertama kali diadakan bagi membolehkan wakil media berinteraksi dan mendapat maklum balas lebih terperinci daripada kementerian dan agensi berkaitan berhubung Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 2 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam. Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan, Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang, ketua-ketua setiausaha kementerian, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan. Abdul Rahim berkata penggunaan dokumen rasmi ini dapat memberi jaminan tawaran yang diberikan oleh RTM kepada pembekal program boleh ditamatkan kontrak pembekalan sekiranya mereka gagal mematuhi syarat digariskan dalam SST. Beliau turut memaklumkan RTM tidak mengalami sebarang kerugian kerana perkhidmatan penggunaan SST tidak melibatkan pembayaran pendahuluan sehingga syarikat pembekalan program itu mematuhi syarat dan tempoh yang ditetapkan. Bagaimanapun, Abdul Rahim berkata kementerian telah melaksanakan penggunaan kontrak formal berserta dengan SST bagi perolehan bekalan filem RTM berdasarkan pematuhan Surat Pekeliling Perbendaharaan SPP Bil 5 tahun 2007 mulai bulan Mei tahun ini. "Oleh yang demikian, saya akan memastikan apa yang dilaksanakan tahun ini akan terus dipatuhi dalam pemberian kepada pembekalan program melalui dokumen formal," katanya. Menurut Laporan Ketua Audit Negara Siri-2, RTM telah meluluskan peruntukan sebanyak RM111.83 juta bagi perolehan 426 program untuk saluran TV Interaktif (TVi) dari tahun 2011 hingga 2013. Namun, 413 program daripadanya yang bernilai melebihi RM50,000 setiap satu tidak mempunyai kontrak formal antara kementerian dengan pembekal program. Jabatan Audit Negara turut menegur ketiadaan kontrak formal boleh menimbulkan perselisihan antara kedua-dua pihak dan penggunaan SST tidak menyatakan klausa yang menjaga kepentingan negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan