Isnin, 16 Jun 2014

Perarakan bot terbesar dunia di Kemaman September ini

Enam ribu nelayan dari Kuala Kerteh, Kemasik, Kijal, Telok Kalong dan Kuala Kemaman dengan 1,200 buah bot pelbagai jenis bakal mencipta sejarah apabila menyertai perarakan bot terbesar di dunia pada 13 September ini. Ketua Sekretariat program itu Mustafa Ab Rahman berkata ia juga sebagai percubaan untuk mengatasi rekod dalam Buku Rekod Dunia Guinness yang dibuat di Sungai Thames, London semasa sambutan Ulangtahun ke-60 pemerintahan Ratu Elizabeth pada tahun 2012. "Ketika ini, rekod perarakan bot terbesar dimiliki rakyat Britain dengan menggunakan 670 buah bot sempena sambutan itu dan kita yakin rekod itu bakal dipecahkan oleh 6,000 warga nelayan Terengganu pada 13 September ini. "Program ini bagi membuktikan kepada dunia bahawa rakyat Malaysia bersatu hati mampu mengatasi mana-mana bangsa dalam apa juga acara seterusnya Malaysia akan dikenali sebagai negara membangun yang disegani atas kemampuan mengatasi rekod dunia," katanya kepada Bernama di sini pada Isnin. Perarakan 70 kilometer dari Kuala Paka ke Kuala Kemaman itu bakal dirasmikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek merangkap Anggota Parlimen Kemaman serta wakil Buku Rekod Dunia Guinness yang akan mengesahkan kejayaan perarakan itu. Mustafa yang juga Pegawai Tugas-Tugas Khas Ahmad Shabery berkata perarakan itu adalah hasil gabungan tenaga dan idea daripada Persatuan Anak-Anak Kemaman dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, RELA, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Perikanan, petugas Pejabat Menteri Komunikasi Dan Multimedia dan Pejabat Parlimen Kemaman. "Sehingga kini, semuanya berjalan lancar dan Anggota Parlimen Kemaman juga akan turun padang melawat tapak pelepasan perarakan itu di Kuala Paka pada 27 Jun ini," katanya. Tahun lalu, Kemaman turut mencatat sejarah apabila program Jelajah Perahu Fiber Di Pesisiran Pantai Kemaman diiktiraf sebagai 'Konvoi Bot Terbesar' dan dicatat dalam Buku Rekod Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan