Jumaat, 22 April 2011

Bila Tun M bersuara..




Tun Dr. Mahathir menyatakan DAP telah membawa satu budaya asing ke Sarawak. Tun Dr. Mahathir berkata lagi, DAP berjaya di Sarawak kerana menggunakan sentimen perkauman sebagai modal pilihanraya mereka. Atau lebih tepat lagi DAP umpama Virus Ke Sarawak.

Dan seperti yang dijangka, kenyataan Tun Mahathir itu mengundang pelbagai kritikan dan kecaman daripada masyarakat berkenaan. Melayu dijadikan subjek yang paling mudah untuk dikecam. Tun Mahathir dikatakan RASIS dan membenci kaum Cina. Sedangkan perkara pokok yang menyebabkan Tun Mahathir mengeluarkan kenyataan tersebut, langsung tidak diperkatakan.

Antara kempen DAP di Sarawak dalam usaha untuk menawan kerusi DUN yang mereka tandingi ialah mempersoalkan mengapa kaum Cina tidak boleh menjadi Ketua Menteri. Violet Yong yang memenangi kerusi Pending terang-terangan mempersoalkan kaum Melanau dalam pentadbiran negeri.

DAP turut mempergiatkan sentimen agama bagi merangsang undi daripada masyarakat beragama Kristian yang merupakan pengundi majoriti di Sarawak. Selain mengaut sokongan daripada masyarakat Cina, DAP turut cuba mengais sokongan serta undi daripada masyarakat Bumiputera Sarawak yang menganut agama Katholik.

Seperti yang kerap dilakukan oleh DAP sebelum ini, mereka akan cuba mengambil kesempatan untuk melaga-lagakan setiap kaum di negara ini. Dan peranan ini tidak hanya dilakukan oleh para pemimpin, bahkan ahli-ahli dan simpatisan DAP juga akan memainkan peranan yang serupa.

Semua laporan tentang kenyataan Tun Mahathir dibuat dengan satu gambaran iaitu Melayu marah dan tidak berpuas hati kerana kaum Cina tidak mengundi BN. Bahkan cerita tentang orang Melayu yang meminta kerajaan agar tidak menghentikan semua bantuan kepada masyarakat Cina sebagai pengajaran, turut diperbesar-besarkan.

Alasan sebenar mengapa orang Melayu mulai resah dan marah dengan apa yang berlaku tidak disiarkan dan diperkatakan. Tidak ada laporan tentang segala macam bantuan yang telah diberikan oleh Najib Abdul Razak kepada Cina atas nama dan semangat 1Malaysia. Bahkan bantuan-bantuan yang diambil daripada hak Melayu dan diberikan kepada Cina, tidak langsung disentuh dan diperkatakan.

Protes senyap Melayu bagi memberi peluang Najib meraih sokongan orang Cina sudah bertukar menjadi protes terbuka. Bukan kepada Najib, tetapi kepada penyokong DAP yang tidak tahu menilai budi yang dihulur. Isu Bahasa Kebangsaan, pendidikan vernakular, Al-Kitab, peruntukan untuk masjid dan Sekolah Agama yang dipertikaikan oleh pemimpin-pemimpin DAP sebelum ini selain isu Melayu Pendatang, benar-benar mengguris hati orang Melayu.

Sangat ketara apabila Najib Abdul Razak terus ditipu dari semasa ke semasa. Semua bantuan yang diberikan, disapu dan disimpan. Tidak cukup dengan itu, lebih banyak tuntutan dan desakan dibuat demi kepentingan masyarakat Cina menerusi gelagat para pemimpin DAP.

DAP bijak menggunakan kesempatan untuk memerangkap setiap kaum di negara ini agar saling berlaga antara satu sama lain. Pun begitu, satu lagi kebijaksanaan DAP ialah dengan meletakkan semua kesalahan kepada UMNO. UMNO dikatakan rasis dan menggunakan sentimen perkauman sebagai senjata utama. DAP pula dikatakan sebagai parti yang terbuka buat semua kaum.

Sedangkan apa yang berlaku adalah sebaliknya. UMNO lebih bertoleransi dengan memberikan ruang yang sangat besar dan tiada had buat kaum lain di negara ini untuk sama-sama mentadbir, menikmati sosio budaya dan ekonomi secara bebas. Dan sepanjang tempoh UMNO mentadbir, tiada sejengkal harta orang bukan Melayu-Bumiputera yang telah dirampas oleh orang Melayu-Bumiputera.

Malangnya DAP tetap meneruskan hasutan dengan memberitahu para penyokong mereka bahawa Melayu adalah RASIS dan apa yang dilakukan oleh DAP adalah hak masyarakat bukan Melayu di negara ini. Dan dalam proses tersebut, DAP menyuakan pelbagai teori sehingga mampu menawan hati dan perasaan masyarakat Cina untuk mengundi mereka.

Hasilnya adalah apa yang dapat dilihat dalam keputusan Pilihanraya Negeri di Sarawak!

Dek kerana itulah, DAP jadi terlalu sensitif apabila kerenah dan taktik mereka didedahkan. Sama seperti apabila fakta sejarah tentang imigrannya mereka di negara ini diperkatakan, DAP akan sentiasa mengecop UMNO sebagai RASIS sekalipun DAP yang sebenarnya menggunakan perkauman sebagai senjata utama mereka untuk mendapatkan pengaruh dan undi di kalangan rakyat Malaysia.

Apabila berada di khalayak Melayu, mereka akan memperkatakan tentang pentadbiran bertunjangkan Melayu yang mengabaikan orang Melayu tetapi nada mereka akan berubah apabila berada di khalayak kaum bukan Melayu. DAP akan menggunakan sentimen Melayu cuba membodoh-bodohkan dan menjadikan masyarakat bukan Melayu sebagai kuli akan dikumandangkan… terutama apabila ceramah dibuat dalam Bahasa Mandarin!

This post was submitted by Hero Tua.

mykmu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan