Jumaat, 22 April 2011
HARI INI TDM BERCAKAP LAGI
Oleh Ibrahim Yahaya
Hari ini, Tun Dr Mahathir Mohamad (TDM) bercakap lagi. Kisah lama tetapi disampaikan dalam nada bersahaja tetapi serius. Mengingatkan mereka di dalam dewan Al-Bukhary jangan terikut-ikut dengan amalan dunia. Bukan semuanya amalan itu baik, apatah lagi dari negara maju.
Hari ini, TDM bersuara lagi. Kisah perang yang amat malang. Jutaan nyawa diragut tetapi kurang disebut. Mengingatkan mereka di dewan, jangan jadi pak turut tetapi sentiasa sanggup meredah lautan untuk satu perubahan. Bukan semua pemimpin dunia baik, apatah lagi mereka yang mengaku polis dunia tetapi bunuh manusia.
Hari ini, TDM buka cerita. Kisah orang yang bernama Soros menjawab suratnya. Mengingatkan mereka yang hadir hari ini bahawa orang yang bernama Soros yang menentang Bush kerana berperang pusing 360 darjah apabila diminta menyokong anti-peperangan, jangan jadi macam dia. Bukan semua yang Soros buat itu bagus, apatah lagi ramai yang tahu dia rakus.
Hari ini, TDM tetap bersemangat. Menceritakan kisah pemimpin yang membunuh ratusan ribu manusia diangkat dan dibina tugu. Mengingatkan pelajar UITM dan LimKokWing agar apabila menjadi pemimpin jangan tersilap langkah dengan budaya ini. Bukan semua pembinaan tugu itu baik, apatah lagi mengagungkan mereka yang tangan dilumuri darah.
Hari ini, TDM melancarkan satu lagi peperangan minda. Bukan peperangan untuk membunuh orang tetapi peperangan untuk menentang orang yang bunuh orang. Mengingatkan manusia di dalam dewan yang mulia itu, peperangan adalah satu jenayah. Keamanan adalah satu-satunya jalan penyelesaian.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan