Jumaat, 18 Jun 2010

Chua Jui Meng dakwa UMNO jadi dalang



Bekas naib presiden MCA Datuk Chua Jui Meng mengulangi bahawa Umno sebagai dalang di sebalik tindakan Istana Johor menarik balik pingat kebesaran yang membawa gelaran “Datuk”.

Bekas menteri kesihatan yang menyertai PKR Julai lalu menyifatkan ia sebagai tindakan intimidasi politik.

“Saya pasti sekarang Umno amat menyesal dengan perkiraan salah mereka mengintimidasi saya,” kata anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR ini.

Chua (gambar) berkata ini kerana dalam beberapa hari sahaja rakyat dari seluruh negara menyatakan sokongan moral bukan sahaja kepada beliau, juga kepada Pakatan Rakyat dalam isu terbaru ini.

Selain itu, Chua juga mendedahkan beliau telah diminta oleh Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli supaya mengembalikan Pingat Sultan Ibrahim (PIS) yang tidak membawa sebarang gelaran.

“Apabila Datuk Rahim menelefon saya, saya mengingatkan beliau bahawa saya mempunyai pingat ketiga, Pingat Ibrahim Sultan. Beliau juga meminta saya memulangkan pingat itu,” kata beliau pada sidang media di sini.

Pada 11 Jun lalu, Rahim mengesahkan penarikan balik dua darjah kebesaran yang membawa gelaran “Datuk” terhadap Chua tetapi menafikan ia berpunca daripada tekanan politik.

Rahim berkata kuasa Sultan Johor Sultan Ibrahim Ismail untuk menganugerahkan atau menarik balik darjah kebesaran adalah “melampaui politik.”

“Tidak wujud keadaan yang dikatakan sebagai tekanan politik untuk menganugerahkan atau menarik balik darjah kebesaran itu.

“Sultan Johor tidak mempunyai kaitan dengan politik. Ahli politik tidak mempunyai hak dalam perkara ini,” kata beliau.

Sultan Johor katanya, berkuasa penuh terhadap perkara itu di bawah Fasal 12 Undang-undang dan Peraturan bagi Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia dan Fasal 7(f) Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri 1895.

Ditanya mengenai sebab disebalik langkah penarikan balik darjah kebesaran yang dianugerahkan kepada Chua itu, Abdul Rahim berkata, Sultan Johor tidak perlu memberikan sebab kerana itu adalah kuasa baginda.

Chua berkata meskipun tiada alasan diberikan berhubung tindakan Istana Johor, beliau akan mengembalikan ketiga-tiga pingat.

Chua juga mengesahkan beliau menerima surat makluman rasmi dilucutkan gelaran “Datuk” Selasa lalu.

Diminta mengulas lanjut mengenai pembabitan Umno, Chua berkata, perkara itu sangat jelas.

“Tidak perlu tanya saya apa yang saya fikirkan, tanya rakyat, ia sangat ketara,” katanya.

NOTA KAKI: Dakwaan Bekas Menteri Kesihatan itu bahawa UMNO yang menjadi dalang disebalik penarikan balik pingat kebesarannya oleh KDYMM Sultan Johor boleh dilihat sebagai satu lagi penghinaan yang dibuat terhadap Institusi Raja raja Melayu itu.

Dalam keadaan kecewa kerana sudah tidak mendapat tempat dalam parti MCA dan masyarakat Cina khususnya beliau sanggup membakar jambatan dan bersokongkol dengan Anawar Ibrahim menyertai PKR dan mengeluarkan pelbagai tuduhan sehingga melukakan hati orang Melayu yang banyak membantu beliau sewaktu empat penggal berada dalam kerajaan dulu.

Hari ini kekecewaan beliau bertambah lagi, apabila segala pingat yang dianugerahkan oleh Sultan Johor ditarik balik.

Bagaimanapun dalam kekecewaan itu sepatutnya Chua tidak harus menghina institusi Raja raja Melayu Johor dengan membuat pelbagai dakwaan ekoran nasib malang yang menimpa beliau itu.

Sepetutnya Chua harus melihat pada diri sendiri, apa yang dilakukan beliau sehingga terpaksa menyerah kembali pingat kebesaran itu. Mengaitkan UMNO adalah satu tindakan yang tidak berasas dan menghina Sultan sendiri yang seolah-olah institusi mulia itu terpaksa tunduk terhadap mana mana desakan sedangkan kuasa penganugerahan pingat adalah kuasa mutlak Baginda.

Dalam keadaan ini adalah lebih bagi Chua "tidak bermain apa" walapun terlalu kecewa kerana sikap sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan