Jumaat, 18 Jun 2010

Bantuan ke Palestin perlu selaras-Razali


Pergerakan Pemuda Umno berharap semua usaha untuk menghantar bantuan kepada penduduk Palestin dapat diselaraskan supaya ia tidak dilihat sebagai satu usaha yang bersifat politik.

Naib Ketuanya Datuk Razali Ibrahim berkata ketika ini banyak pihak yang mahu membantu penduduk Palestin terutamanya di Gaza tetapi kerana dilakukan secara berasingan ia boleh membawa kepada tanggapan ada pihak lebih baik daripada pihak yang lain dan perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana perkara paling penting adalah untuk bantuan sampai kepada penduduk Palestin.

Katanya Pemuda Umno memang sentiasa menghantar wakil dalam usaha menghantar bantuan kemanusiaan dan tidak ada masalah untuk bergabung dengan mana-mana pihak termasuk dengan parti pembangkang.

"Saya tak nak lihat ada yang kata pihak itu lebih baik, pihak ini kurang (dalam menghantar bantuan). Sepatutnya kita bergabung untuk hantar bantuan. Kita hanya nak selesaikan kemelut di Gaza dan bukan kejayaan satu inisiatif politik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda Umno Bahagian Pokok Sena dekat sini.

Beliau berkata Pemuda Umno menyokong sebarang usaha membawa Israel ke Mahkamah Pengadilan Antarabangsa (ICJ) kerana tindakan Israel tergolong dalam kategori jenayah kemanusiaan.

Katanya mesyuarat pemuda Umno bahagian yang sedang berjalan sekarang turut diarahkan untuk menyatakan sokongan terhadap usaha membantah keganasan dan kezaliman Israel dan menyokong Palestin.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan