Selasa, 25 Mei 2010

UMNO tidak campur urusan parti komponen


MNO tidak pernah mencampuri urusan parti-parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) walaupun ketika mereka sedang bergelut dengan masalah dalaman masing-masing.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan, UMNO tidak pernah berniat untuk berbuat demikian apatah lagi memecahbelahkan parti-parti komponen kerana ia akan memberi kesan terhadap kekuatan BN sendiri.

Beliau yang berasa amat kesal apabila UMNO dituduh menggunakan ‘pembunuhan politik’ (political assassin) untuk memecahbelahkan MIC mahu tuduhan itu disertakan dengan bukti jika ia benar-benar berlaku.

“Saya kesal dan kecewa kerana adanya tuduhan seperti ini. Ia tidak sepatutnya berlaku dan tidak seharusnya UMNO dipersalahkan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan bangunan tambahan baru Institut Kemajuan Desa (Infra) di sini, hari ini.

Mohd Shafie diminta mengulas tuduhan S. Vell Paari iaitu anak Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu bahawa UMNO menggunakan ‘pembunuhan politik’ untuk memecahbelahkan parti komponen BN itu dalam wawancara dengan laman web Free Malaysia Today semalam.

Vell Paari yang merujuk kepada desas-desus mengenai kewujudan Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS) mendapat restu daripada pemimpin tertinggi UMNO turut menyelar parti orang Melayu itu kerana memulakan satu tindakan berbahaya.

Bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC, V Mugilan menubuhkan GAS yang akan dilancarkan pada 30 Mei ini selepas dipecat daripada parti itu berikutan desakannya supaya Samy Vellu segera berundur.

Mohd. Shafie berkata, kepimpinan UMNO tidak pernah berbincang atau bercakap mengenai sebarang usaha untuk masuk campur dalam masalah MIC.

“Apa yang kita ingin lihat ialah parti komponen BN diperkuatkan. Saya tidak tahu sehingga tahap ini kita dipersalahkan. Parti komponen lain juga ada masalah tetapi ini tidak berlaku,” katanya.

Beliau berkata, MCA yang mengalami kemelut dalaman tidak menyalahkan UMNO atas perkara yang berlaku sebaliknya berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan