Sabtu, 16 April 2016
POLIS BUKA KERTAS SIASATAN TERHADAP TUN MAHATHIR
Polis telah membuka empat kertas siasatan terhadap bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan sudah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan susulan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
"Dalam kes-kes tertentu, ucapan Dr Mahathir boleh dianggap melampaui batas kerana mengancam keselamatan dan menuduh seolah-olah tiada lagi demokrasi berparlimen di Malaysia.
"Tun Mahathir adalah negarawan yang dihormati. Kita minta dia menghormati perlembagaan Persekutuan dan jangan cuba menimbulkan persoalan-persoalan yang boleh ditakrif mengancam demokrasi berparlimen di Malaysia," katanya.
Khalid berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada perbincangan meja bulat dan bengkel permasalahan sempadan di Mess Pegawai Kanan Polis Perlis di sini, hari ini yang dihadiri pegawai kanan polis dari seluruh negara.
Program sehari itu dianjurkan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), dirasmikan oleh Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man.
Sebelum ini, beberapa laporan polis dibuat pihak tertentu terhadap Dr Mahathir yang sering mengkritik kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk berhubung isu sumbangan RM2.6 bilion dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
PENGUNDI SARAWAK DIGESA TOLAK CALON KELAWAR PADA MUSIM BUAH
Rakyat Sarawak diminta menyokong Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sentiasa turun padang bagi menyelesaikan pelbagai masalah penduduk tanpa mengira waktu, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata penduduk memerlukan wakil rakyat yang mampu menyelami keperluan dan melihat nasib 'anak buah' di kawasan tanpa mengira sama ada musim pilihan raya atau tidak.
Katanya rata-rata pemimpin pembangkang bersikap bagaikan 'kelawar pada musim buah' yang turun padang hanya pada musim pilihan raya dan menghilangkan diri selepas itu.
Pemimpin ini hanya tunjuk muka ketika musim pilihan raya dan tinggalkan kawasan itu selepas pilihan raya berakhir tanpa membawa apa-apa pembangunan," katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Linchang, Entawa, dekat sini Sabtu.
"Mereka (pemimpin pembangkang) berkokok di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Dewan Rakyat tetapi tiada pembangunan dibawa, itu sebabnya kita harus mendokong dan menyokong calon Barisan Nasional (BN) yang terbukti sentiasa turun padang, bukan hanya ketika pilihan raya sahaja," tambahnya.
Hadir sama, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Masir Kujat yang juga Anggota Parlimen Sri Aman dan juga penyandang kerusi DUN Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis.
Ahmad Zahid berkata kesinambungan pimpinan kerajaan pusat dan negeri akan memacu pembangunan berterusan di Sarawak.
Beliau menyeru penduduk Sarawak memberi mandat kepada Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dan BN Sarawak pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11) pada 7 Mei ini bagi meneruskan pelbagai rancangan pembangunan negeri.
"Peluang harus diberikan kepada Tok Nan (Adenan). Walaupun kurang dua tahun beliau menjadi Ketua Menteri Sarawak, lebih 50 projek, prinsip dan perancangan dilaksanakan. Ini membuktikan beliau seorang pemimpin yang komited," katanya.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga komited dalam membangunkan negeri Sarawak dengan memberi peruntukan dalam pelbagai projek pembangunan, termasuk pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang bernilai lebih RM16 bilion.
-- BERNAMA
Jumaat, 15 April 2016
ZAKIR NAIK ADAKAN KUNJUNGAN HORMAT KEPAPA TIMBALAN PERDANA MENTERI
Pendakwah terkenal dari India Dr Zakir Naik hari ini melakukan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pertemuan kira-kira 30 minit itu berlangsung di pejabat timbalan perdana menteri di Bangunan Perdana Putra, di sini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut memuat naik gambar pertemuan tersebut di laman Twitter miliknya.
Sebelum pertemuan itu, Dr Zakir menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra yang terletak kira-kira 200 meter dari Bangunan Perdana Putra.
Dr Zakir yang juga Tokoh Maal Hijrah 2013 kini dalam rangka jelajah ceramah umumnya di beberapa negeri termasuk Terengganu, Melaka dan Kuala Lumpur.
Sebelum ini, kehadirannya di Malaysia untuk menyampaikan ceramah agama telah didakwa oleh beberapa pihak sebagai menggugat ketenteraman awam dan menyentuh sensitiviti agama lain.
Pada Isnin lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan pembatalan syarahannya bertajuk 'Similarities Between Hinduism and Islam' di Melaka, Ahad ini, agar tidak menjejaskan ketenteraman awam dan sensitiviti agama.
Bagaimanapun, sehari selepas itu, Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan membenarkan Dr Zakir meneruskan ceramahnya itu yang dijadualkan di Universiti Teknikal Malaysia (UteM) di Melaka namun perlu menukar tajuk syarahannya.
Pengasas Islamic Research Foundation (IRF) itu, yang merupakan seorang doktor perubatan, sering menyampaikan ceramah mengenai Islam dan perbandingan agama di seluruh dunia.
Khamis, 14 April 2016
LARANGAN MASUK SARAWAK BUKAN HANYA KEPADA PEMBANGKANG
Kerajaan negeri Sarawak tidak memihak kepada mana-mana kelompok atau kecenderungan politik dalam melaksanakan larangan memasuki negeri itu, kata Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.
Beliau berkata insiden empat individu dilarang memasuki negeri itu sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) hari ini menunjukkan sekatan itu bukan dikenakan terhadap pemimpin pembangkang semata-mata.
Menurutnya individu yang dilarang oleh Jabatan Imigresen negeri untuk masuk ke negeri itu terbabit dalam perhimpunan 'baju merah' di Kuala Lumpur pada 16 Sept tahun lepas dan kebetulan mereka adalah ahli UMNO.
"Ini adalah jawapan kepada dakwaan Chong bahawa kami hanya menyekat ahli-ahli pembangkang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan kumpulan syarikat Rimbunan Hijau di sini.
Sebelum ini, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen mendakwa kerajaan negeri itu mengamalkan sikap berat sebelah kerana ia hanya melarang kemasukan pemimpin pembangkang ke negeri itu.
Dalam pada itu, Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu, Datuk Jamal Md Yunos, yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Selangor, bersama-sama tiga lagi individu dilarang memasuki negeri itu sejurus tiba di Kaunter Imigresen LTAK pada jam 11.30 pagi.
Turut dilarang ialah Pengerusi Pertubuhan Gerakan Martabat Pejuang Negara, Mejar (B) Razali Zakaria, Pengerusi Eratkan Perhubungan Antara Negeri Cetuskan Organisasi (EPANCO), Ariffin Abu Bakar dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Melayu Klang, Rahim Ibrahim.
Kesemua individu berkenaan dikatakan datang ke negeri itu bagi membantu jentera Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11) yang dijadual pada 7 Mei ini.BERNAMA
ARAB SAUDI SAHKAN SUMBANGAN DERMA KEPADA PM NAJIB DATANG DARI NEGARA ITU
Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir hari ini mengaku bahawa sumbangan derma kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, memang datang daripada negara itu.
"Kami sedar tentang derma itu dan ia memang benar-benar sumbangan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Dan kami juga sedar bahawa Peguam Negara Malaysia telah menjalankan siasatan teliti mengenai perkara itu dan mendapati tiada salah laku.
"Justeru, setahu kami, isu itu ditutup," katanya kepada wartawan Malaysia di sini Khamis.
Sebelum itu, Adel mengadakan pertemuan dua hala dengan Najib di luar Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-13 di sini.
Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, pada 26 Jan lepas, telah membersihkan Najib daripada sebarang salah laku berkaitan siasatan terhadap SRC International Sdn Bhd dan dana RM2.6 bilion yang dikatakan telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri.
Mohamed Apandi berkata siasatan menunjukkan bahawa jumlah yang dimasukkan ke dalam akaun ialah RM2.08 bilion, dan ia adalah sumbangan peribadi daripada keluarga diraja Saudi pada 2013, dan RM2.03 bilion kemudian telah dipulangkan kepada penderma pada tahun yang sama.BERNAMA
PILIHANRAYA NEGERI SARAWAK 7 MEI- SPR
ke- Pilihanraya umum negeri Sarawak akan diadakan pada 7 Mei dan hari penamaan calon pada 25 April 2016.
Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah mengumumkan tarikh itu selepas mengadakan mesyuarat khas di sini hari ini berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 11 April.
"Dengan ini SPR mengumumkan 14 April sebagai tarikh keluar writ iaitu hari ini, 15 April tarikh notis pilihan raya, 25 April hari penamaan calon, dan 7 Mei sebagai tarikh pengundian," katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu.
Katanya pilihan raya negeri (PRN-11)akan menggunakan senarai daftar pemilih induk 2015 yang telah dikemas kini sehingga 10 April 2016.
PRN-11 diadakan selepas Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubarkan dengan perkenan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud setelah dirujuk Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.
Mohd Hashim berkata 1,879 buah premis akan digunakan sebagai Pusat Mengundi yang mengandungi 2,959 saluran/tempat mengundi dan seramai 20,811 petugas pilihan raya akan dilantik untuk mengendalikan proses pilihan raya ini.
Beliau berkata SPR bersetuju melantik 82 Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi menjalankan pilihan raya di 82 kerusi DUN, di samping menubuhkan Pasukan Penguat kuasa Kempen Pilihan Raya khusus bagi memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen.
"Pilihan raya ini dianggar memerlukan belanjawan sebanyak RM135.6 juta," katanya.
Mohd Hashim berkata SPR juga melantik pemerhati tempatan untuk menjalankan perhatian perjalanan proses PRN bermula daripada hari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya diumumkan.
Beliau berkata para pemerhati itu dilantik dari kalangan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan mereka dibenarkan membuat pemerhatian seperti di pusat penamaan calon, pusat mengundi awal, pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan proses penjumlahan undi di pusat penjumlahan rasmi undi.
"Pemerhati rasmi yang dilantik akan diberikan pas pemerhati, baju dan topi yang perlu dipakai sepanjang membuat pemerhatian itu.
"Dalam hal ini, SPR tidak mengiktiraf mana-mana organisasi dan individu lain selain yang dilantik oleh SPR untuk memantau dan memerhati proses PRN Ke-11," katanya.
Apabila ditanya mengenai penentuan tarikh-tarikh penting itu, Mohd Hashim berkata pelbagai aspek diambil kira termasuk penggunaan premis dan juga 'hari-hari besar' di Sarawak supaya ia tidak bertindih.
Beliau berkata banyak tarikh-tarikh utama PRN disebarkan media namun ia hanya sekadar ramalan penganalisis politik.BERNAMA
Selasa, 12 April 2016
VETERAN UMNO GESA TUN M DIKENAKAN TINDAKAN UNDANG UNDANG
Veteran UMNO meminta kerajaan mengambil tindakan tegas mengikut Akta Hasutan terhadap Tun Dr Mahathir kerana perbuatannya yang cuba mendapatkan campur tangan kuasa asing dalam hal pentadbiran negara.
Setiausaha Veteran UMNO Datuk Mustapha Yaakub berkata tindakan bekas Perdana Menteri itu telah melampaui batas dan jelas menunjukkan beliau dalam keadaan terdesak untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Veteran UMNO tidak mahu kerajaan berkompromi dalam hal kestabilan negara dan tidak sewajarnya membenarkan mana-mana rakyat negara ini mensabotaj negara sendiri.
"Tidak harus ada pertimbangan dan tolak ansur demi maruah negara," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Dalam temu bual dengan akhbar Australia, The Weekend Australian, Dr Mahathir dilaporkan berkata bahawa harapan Najib untuk berundur adalah tipis sekiranya tidak mendapat tekanan pihak luar.
Mustapha berkata sikap Dr Mahathir membuktikan beliau sedang berhadapan dengan satu keadaan pertentangan jiwa di antara rasional dan emosional.
"Tun Mahathir sanggup menjilat ludahnya sendiri dan membelakangi prinsipnya yang suatu masa dahulu amat membenci campur tangan asing dalam hal pentadbiran negara ini.
"Jelas Tun Mahathir bersikap 'double standard'. Beliau tidak mahu kuasa asing campur tangan semasa pemerintahannya, tetapi beliau sendiri yang berusaha mendapatkan pengaruh kuasa asing untuk menjatuhkan Najib," katanya.BERNAMA
Langgan:
Ulasan (Atom)






