Sabtu, 19 Mac 2016

KERAJAAN BN SENTIASA LAKUKAN TERBAIK UNTUK RAKYAT

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata rakyat negara ini tidak perlu mempedulikan gerakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pembangkang menerusi 'deklarasi Mahathir' kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk rakyat. Perdana Menteri berkata kerajaan sentiasa menjaga kebajikan rakyat dengan melaksanakan pelbagai program yang dapat memenuhi kehendak selain memastikan semua akujanji pada manifesto pilihan raya umum lepas dapat dipenuhi. Beliau berkata apa yang penting bukan deklarasi atau surat tetapi tindakan yang boleh menguntungkan rakyat seperti projek perumahan mampu milik yang sedang dilaksanakan kerajaan. "Apa guna memekik sana, memekik sini? Melaung sana, melaung sini? Orang yang dulu maki hamun kita, kita pula dakap dia. Ini tidak patut. Apa yang patut adalah untuk kita jaga hati rakyat," katanya. Najib berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis penyerahan kunci Perumahan Rakyat 1Malaysia (Pri1ma) Pahang di Perumahan Makmur Sri Fajar Jaya, Jalan Kuantan-Gambang di sini Sabtu. Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib, Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. Najib yang juga Presiden UMNO percaya rakyat akan terus memberi sokongan kepada kerajaan jika kerajaan berkerja keras, tidak sombong dan bersikap rendah diri. Perdana Menteri sekali lagi berikrar akan terus beristiqamah dalam perjuangannya dengan fokus kepada pembangunan ekonomi negara kerana perkara itu memastikan peluang pekerjaan bertambah, meskipun dirinya 'diserang' daripada pelbagai sudut. "Sebab itu kita kena berusaha tidak membuat angkara atau kata-kata yang buat orang pandang serong pada Malaysia. Bila di luar, saya jumpa dengan ahli kongres Amerika Syarikat dari parti Republican atau Democrat. Mereka tidak burukkan Amerika walaupun dari parti berlainan. "Mereka tetap kata 'America is great' (Amerika hebat). Tapi puak-puak kita ini lain perangainya. Ada yang ke luar negara mengutuk kita. Kita boleh beza pendapat tapi dari segi nak kata Malaysia baik dan berjaya, kita kena (sama-sama) perjuangkannya kerana ini negara kita," katanya. Perdana Menteri turut mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan apa yang tersebar di internet mengenai dirinya kerana perkara itu lebih kepada politik persepsi. Sementara itu, Najib turut melahirkan rasa gembira kerana agenda perumahan yang merupakan satu daripada keutamaan kerajaan BN berada di landasan yang ditetapkan. Di Pahang sendiri, katanya, sebanyak 39,000 unit rumah PR1MA Pahang telah berjaya dibina sejak Pilihan Raya Umum ke-13 walaupun sasaran awal hanya sebanyak 19,000 unit. "Kata orang sebagai seorang insan perlu ada 3K yang penting iaitu kerja, kediaman dan kahwin. Kalau bab kahwin, itu memang tak dapat nak ditolong. Tetapi bab kerja dan kediaman adalah tanggungjawab kerajaan yang dipilih oleh rakyat," katanya. Beliau berkata rumah PR1MA di Perumahan Makmur Sri Fajar Jaya yang mempunyai tiga bilik dan dua bilik air berharga RM150,000 seunit merupakan pembelian aset yang menguntungkan rakyat.

Jumaat, 18 Mac 2016

ATM NAFI AMERIKA SYARIKAT BINA PENGKALAN TENTERA DI SABAH

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini menafikan khabar angin kononnya Amerika Syarikat sedang membina sebuah pangkalan tenteranya di Sabah. Panglima ATM Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata dalam satu kenyataan bahawa khabar angin itu "tidak benar". Beliau berkata Kementerian Pertahanan dan ATM tidak berhasrat membenarkan sebuah pangkalan tentera asing dibina di Malaysia. Pada Rabu lepas, sebuah portal dalam talian melaporkan bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Kemajuan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengemukakan pertanyaan di Dewan Rakyat di sini sama ada Putrajaya membenarkan Amerika Syarikat membina sebuah pangkalan tentera di Sabah. Menurutnya jika khabar angin itu benar, ini menunjukkan Malaysia tidak mampu mempertahankan dirinya.BERNAMA

PRN SARAWAK- ADENAN UMUM CALON DUN BALINGIAN DAN TELLIAN ESOK

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak Tan Sri Adenan Satem akan mengumumkan calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Tellian dan Balingian, esok. Pengumuman itu akan dibuat beliau semasa perasmian Program Sejiwa Senada Bahagian Mukah di Dataran Pehin Setia Raja. "Saya akan buat pengumuman itu esok," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Pemimpin Bersama Rakyat Balingian di sini hari ini. Majlis yang dihadiri lebih 3,000 orang itu turut dihadiri barisan pemimpin tertinggi parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). Pengumuman itu bakal menamatkan spekulasi tentang siapa yang bakal mewakili BN bagi kedua-dua kerusi berkenaan. ADUN Balingian sekarang, Yusibbnosh Balo dikatakan akan bertanding di Tellian, satu daripada 11 kerusi baharu selepas persempadanan semula tahun lepas. Bagi kerusi Balingian, dua pemimpin akar umbi PBB di kawasan itu Abdul Yakub Arbi dan Sulaiman Sahari, disebut-sebut bersaing sengit untuk menjadi calon. Sebelum ini, anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sayap Wanita Pusat PBB Faridah Osman juga disebut-sebut mahu menjadi calon di Balingian namun dijangka tidak berbuat demikian selepas dilantik menjadi Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri baru-baru ini. Menjawab soalan pemberita, Adenan yang juga Ketua Menteri Sarawak berkata, cadangan untuk menjadikan 22 Julai sebagai cuti umum akan dibawa ke kabinet pada akhir bulan ini. Tarikh tersebut adalah bagi memperingati hari kemerdekaan Sarawak dari koloni British.BERNAMA

My FARM AKAN DIBUKA DISETIAP IBU NEGERI

Pasar belian terus hasil pertanian, MyFarm Outlet akan dibuka di setiap ibu negeri bagi memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan barangan keperluan utama dengan harga murah. Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata kewujudan pasar itu juga dapat memberi peluang kepada usahawan muda melibatkan diri dalam sektor pemasaran pertanian. Katanya, pihaknya telah mengenal pasti lokasi sesuai bagi pembukaan 10 lagi MyFarm Outlet yang beroperasi setiap hari dari 10 pagi hingga 10 malam, menjelang November ini. "Konsepnya adalah penjualan barangan segar terus daripada ladang kepada pengguna. Di pasar ini, kita menjual tujuh kumpulan barangan keperluan utama iaitu ayam, ikan, daging, sayur-sayuran, buah-buahan, barangan hasil industri asas tani dan barangan sejuk beku," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini. Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan tinjauan operasi MyFarm Outlet Kasih di Presint 7, Putrajaya yang dibuka pada 1 Mac lepas dan merupakan projek perintis FAMA. Najib berkata pembukaan lebih banyak MyFarm Outlet adalah sebagai usaha kerajaan mengurangkan kos sara hidup rakyat seperti yang diumumkan beliau dalam Perutusan Khas Pengubahsuaian Bajet 2016 pada 28 Jan lepas. Mengulas lanjut mengenai harga barangan di pasar itu, Badruddin berkata MyFarm Outlet menawarkan barangan keperluan dengan harga lima hingga 20 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran bagi memberi pilihan kepada pengguna. "Kita memang ada pegawai yang akan memantau harga di MyFarm Outlets setiap minggu. Kita akan pastikan harga barangan di MyFarm Outlet lebih murah daripada pasaran," katanya. Ditanya adakah kewujudan pasar itu akan menjejaskan peserta pasar tani sedia ada, Badruddin berkata MyFarm Outlet beroperasi setiap hari yang membolehkan pengunjung mendapatkan 'barangan dapur' mereka setiap masa berbanding pasar tani yang hanya beroperasi sekali atau dua kali seminggu.BERNAMA

SPRM AKAN SIASAT LIM GUANG ENG

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuka kertas siasatan berhubung isu Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng membeli rumah jenis banglo pada harga rendah daripada harga pasaran serta didakwa mempunyai kaitan dengan isu penjualan tanah di negeri itu. Menurut sumber SPRM, kertas siasatan itu akan dibuka mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 berhubung dakwaan kononnya menerima suapan daripada pihak yang berkepentingan. "Kita telah menerima beberapa laporan berkenaan isu ini hari ini dan kita masih menunggu jika ada laporan lain yang dibuat. "Kalau aduan sebegini, memang kita akan buka kertas siasatan secepat mungkin dan kami akan siasat tidak kira siapa individu yang terlibat," katanya kepada Bernama hari ini. Selain itu, kata sumber itu, pihaknya juga akan memanggil Lim untuk memberi keterangan setelah mendapatkan keterangan daripada pengadu-pengadu serta saksi-saksi. "Saksi akan dipanggil untuk sahkan tohmahan yang diutarakan dan selepas itu baru kita akan panggil dia (Lim)," kata sumber itu. Akhbar tempatan hari ini melaporkan Lim didakwa membeli rumah di Jalan Pinhorn, Georgetown di Pulau Pinang dengan harga yang lebih rendah berbanding nilai harga pasaran semasa. Semalam, pada sidang Dewan Rakyat, Datuk Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) mendakwa rumah berkeluasan tanah 10,161 kaki persegi (943.98 meter persegi) didakwa dibeli Lim pada 25 Okt tahun lalu dengan harga RM2.8 juta. Menurut Shabudin, nilai pasaran harga rumah berkenaan ialah dalam lingkungan RM6 juta hingga RM6.5 juta. Lim dilaporkan telah menafikan dakwaan Shabudin itu.BERNAMA

Khamis, 17 Mac 2016

SPRM DIGESA SIASAT GUANG ENG

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menyiasat dakwaan penjualan beberapa lot tanah di Pulau Pinang yang dikatakan asalnya diperuntukkan untuk pembinaan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT). Datuk Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) mendakwa tanah itu dijual secara tender bagi pembinaan hospital swasta dan hotel. Beliau mendakwa ada sumber yang menyebut Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam penjualan tanah itu. "Lot 305, 306, 313, 314 dijual sedangkan tanah tersebut dicadangkan untuk PPRT...adakah penjualan ini mendapat kebenaran Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan...minta menteri jawab," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, Khamis. "Lebih menyedihkan lagi, apabila ia turut membabitkan isu pemilikan hartanah oleh YAB Bagan (Lim) pada Oktober 2015 yang boleh dikaitkan dengan isu penjualan tanah ini," katanya. Dalam pada itu, Shabudin juga mahu Jabatan Penilaian dan Pembangunan Harta (JPPH) menjelaskan sama ada penilaian semula telah dibuat dan turut meminta SPRM menyatakan laporan status kes pembelian hartanah berharga RM2.8 juta oleh Lim di Jalan Pinhorn, Pulau Pinang sedangkan nilai semasa rumah tersebut dikatakan lebih RM3 juta. Beliau mendakwa rumah tersebut sebelum itu disewa kepada Lim dengan kadar RM5,000 sebulan setelah beliau enggan tinggal di rumah yang disediakan kerajaan negeri atas alasan ada anai-anai. "Adakah benar, adakah patut kadar sewaan RM5,000 dengan jumlah nilai rumah lebih RM3 juta...satu persoalan. Rumah ini disewa lebih kurang tujuh tahun, pada Oktober 2015 rumah ini dijual kepada YAB Bagan dengan harga yang begitu murah iaitu cuma RM2.8 juta. Rumah yang dibeli tujuh tahun dulu ialah RM2.5 juta dan ia satu kawasan utama di George Town setelah diubahsuai pula," katanya. Sementara itu, Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional Tan Sri Shahrir Abdul Samad mencadangkan Shabudin dan pertubuhan bukan kerajaan membuat laporan polis mengenai perkara itu.BERNAMA

PM NAJIB ADA HAK UNTUK SAMAN MP TAIPING

Mahkamah Tinggi di sini Khamis memutuskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai hak di sisi undang-undang untuk menyaman anggota Parlimen Taiping Nga Kor Ming atas kapasiti peribadinya, berhubung gambar Najib dan isterinya berserta status dalam akaun Facebook. Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah S. Hassan Badjenid juga memutuskan kata-kata yang dirujuk kepada Najib itu adalah atas kapasiti peribadinya dan bukan rasmi. Beliau membuat keputusan itu selepas menolak bantahan awal Nga yang diwakili Gobind Singh Deo bahawa Najib tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi. "Saya berpandangan perkataan-perkataan yang dipersoalkan adalah merujuk kepada kapasiti peribadi plaintif pertama (Najib), oleh itu beliau ada locus standi untuk membawa saman ini," kata Siti Khadijah. Siti Khadijah berkata beliau tidak terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan pada 1 Mac lepas dalam kes saman fitnah oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob terhadap Utusan Melayu (M) Bhd yang memutuskan bahawa personaliti yang dikenali ramai dan memegang jawatan awam tidak boleh memfailkan saman fitnah terhadap media. "Kes di Mahkamah Rayuan boleh dibezakan dengan kes hari ini," kata Siti Khadijah dalam keputusannya selepas mendengar hujahan peguam Gobind Singh dan Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Najib dan Rosmah. Mahkamah menetapkan 11 April ini untuk mendengar permohonan Najib dan Rosmah supaya saman itu diputuskan melalui isu perundangan tanpa perbicaraan penuh dan permohonan Nga untuk membatalkan saman itu. Pada 11 Jun tahun lepas, Najib, atas kapasiti peribadinya dan Rosmah memfailkan saman itu terhadap Nga selepas mendakwa defendan memuat naik gambar Najib dan Rosmah berserta status dalam akaun Facebook atas nama Nga Kor Ming, pada 29 Mac tahun lepas. Pasangan itu mendakwa dalam status bergambar itu terpampang gambar mereka bersama dengan beberapa orang menteri kabinet Malaysia dan pegawai tertinggi Wisma Putra di dalam sebuah bilik hotel di China. Mereka mendakwa Nga menerbitkan perkataan-perkataan fitnah dalam akaun Facebooknya dengan memuat naik status memfitnah yang boleh diakses secara bebas oleh pengguna internet di seluruh dunia. Najib mendakwa perkataan-perkataan fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau menyalah guna kuasa dan mandat sebagai perdana menteri untuk kepentingan sendiri atau kepentingan isterinya dengan membenarkan Rosmah mencampuri urusan dan hal ehwal kerajaan. Rosmah pula mendakwa perkataan-perkataan fitnah itu membawa maksud beliau adalah seorang yang mementingkan diri sendiri kerana mempengaruhi suaminya selaku perdana menteri dan menyalah guna kuasa selain mempunyai kepentingan dalam sistem pentadbiran negara. Oleh itu, mereka menuntut ganti rugi am, ganti rugi tambahan dan teladan, faedah, kos dan lain-lain perintah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.