Khamis, 17 Mac 2016

PM NAJIB ADA HAK UNTUK SAMAN MP TAIPING

Mahkamah Tinggi di sini Khamis memutuskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai hak di sisi undang-undang untuk menyaman anggota Parlimen Taiping Nga Kor Ming atas kapasiti peribadinya, berhubung gambar Najib dan isterinya berserta status dalam akaun Facebook. Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah S. Hassan Badjenid juga memutuskan kata-kata yang dirujuk kepada Najib itu adalah atas kapasiti peribadinya dan bukan rasmi. Beliau membuat keputusan itu selepas menolak bantahan awal Nga yang diwakili Gobind Singh Deo bahawa Najib tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi. "Saya berpandangan perkataan-perkataan yang dipersoalkan adalah merujuk kepada kapasiti peribadi plaintif pertama (Najib), oleh itu beliau ada locus standi untuk membawa saman ini," kata Siti Khadijah. Siti Khadijah berkata beliau tidak terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan pada 1 Mac lepas dalam kes saman fitnah oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob terhadap Utusan Melayu (M) Bhd yang memutuskan bahawa personaliti yang dikenali ramai dan memegang jawatan awam tidak boleh memfailkan saman fitnah terhadap media. "Kes di Mahkamah Rayuan boleh dibezakan dengan kes hari ini," kata Siti Khadijah dalam keputusannya selepas mendengar hujahan peguam Gobind Singh dan Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Najib dan Rosmah. Mahkamah menetapkan 11 April ini untuk mendengar permohonan Najib dan Rosmah supaya saman itu diputuskan melalui isu perundangan tanpa perbicaraan penuh dan permohonan Nga untuk membatalkan saman itu. Pada 11 Jun tahun lepas, Najib, atas kapasiti peribadinya dan Rosmah memfailkan saman itu terhadap Nga selepas mendakwa defendan memuat naik gambar Najib dan Rosmah berserta status dalam akaun Facebook atas nama Nga Kor Ming, pada 29 Mac tahun lepas. Pasangan itu mendakwa dalam status bergambar itu terpampang gambar mereka bersama dengan beberapa orang menteri kabinet Malaysia dan pegawai tertinggi Wisma Putra di dalam sebuah bilik hotel di China. Mereka mendakwa Nga menerbitkan perkataan-perkataan fitnah dalam akaun Facebooknya dengan memuat naik status memfitnah yang boleh diakses secara bebas oleh pengguna internet di seluruh dunia. Najib mendakwa perkataan-perkataan fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau menyalah guna kuasa dan mandat sebagai perdana menteri untuk kepentingan sendiri atau kepentingan isterinya dengan membenarkan Rosmah mencampuri urusan dan hal ehwal kerajaan. Rosmah pula mendakwa perkataan-perkataan fitnah itu membawa maksud beliau adalah seorang yang mementingkan diri sendiri kerana mempengaruhi suaminya selaku perdana menteri dan menyalah guna kuasa selain mempunyai kepentingan dalam sistem pentadbiran negara. Oleh itu, mereka menuntut ganti rugi am, ganti rugi tambahan dan teladan, faedah, kos dan lain-lain perintah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan