Ahad, 6 Mac 2016
Perjuangan UMNO lebih utama dari individu-Annuar Musa
Perkembangan politik mutakhir masa kini telah merangsang perpaduan lebih padu dan menyemarakkan iltizam dalam kalangan anggota UMNO untuk meletakkan perjuangan parti lebih utama daripada kerenah beberapa individu yang kecewa.
Justeru, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa meminta semua anggota UMNO supaya memggunakan sepenuhnya mesyuarat agung cawangan masing-masing untuk terus memperkasa semangat juang serta membincangkan isu-isu berkaitan usaha membela nasib rakyat.
"Tindakan sebegitu bukan saja dinanti-nantikan oleh rakyat tetapi juga memberi makna lebih besar kepada sebuah perjuangan, " katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata tindakan beberapa anggota UMNO dan bekas pimpinan parti itu yang bersekongkol dengan pembangkang cuba menjelmakan wajah 'Demi Rakyat' dan 'Menyelamatkan Malaysia', "namun nawaitu sebenar terlalu nyata untuk mereka sembunyikan."
Annuar berkata walaupun tindakan mereka itu satu penghinaan terhadap kebijaksanaan anggota UMNO dan atas hakikat itu, semua anggota UMNO perlu terus fokus kepada amanah rakyat dan peranan parti dalam membela nasib rakyat.
"Walaupun UMNO luka dan sedih melihat beberapa pemimpin yang dijulang selama ini akhirnya kini dicemuh dan dibenci oleh ahli akar umbi namun apakan daya kerana pemmimpin berkenaan memilih jalan yang sukar diterima," katanya.
Pada Jumaat lepas, bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir adalah antara 58 individu yang menandatangani 'Deklarasi Rakyat' menyokong penyingkiran Najib sebagai perdana menteri.
Acara menandatangani deklarasi itu, yang diketuai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, turut disertai Lim Kit Siang daripada DAP, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dari PKR, dan bekas presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik.
Deklarasi Rakyat tidak jejas sokongan pengundi PRN Serawak
Tindakan kumpulan yang menandatangani deklarasi rakyat tidak akan menjejaskan sokongan pengundi kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak tahun ini.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata beliau yakin rakyat Sarawak cukup matang dan tahu bahawa kerajaan di bawah kepimpinan BN mampu melaksanakan mandat yang diberi serta membawa kemajuan kepada negeri itu.
"Apa yang dia (bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad) hendak lakukan, saya pun tidak tahu. Dan ia tidak akan menjejaskan (BN pada PRN Sarawak)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pecah tanah surau komuniti Acheh dan sambutan Maulidur Rasul masyarakat Acheh dan Melayu peringkat kebangsaan di Kampung Baru, di sini hari ini.
Tengku Adnan berkata tindakan Dr Mahathir bersekongkol dengan pemimpin-pemimpin pembangkang yang sebelum ini didakwanya "tidak boleh pakai" , turut menimbulkan kekeliruan.
Ditanya sama ada Majlis Tertinggi UMNO akan bermesyuarat mengenai tindakan yang akan diambil terhadap bekas pemimpinnya yang turut menandatangani deklarasi itu, Tengku Adnan berkata UMNO tidak akan mengadakan sebarang mesyuarat.
"Kenapa kita (UMNO) hendak bermesyuarat. Kepada UMNO ini tidak menjadi kudis. Kita akan buat cara kitalah iaitu meneruskan mandat yang diberikan oleh rakyat kepada kerajaan BN yang sah untuk terus mentadbir negara ini," katanya.
Tengku Adnan berkata: " Kita tidak perlu gusar dan bimbang, kita perlu percaya bahawa sebagai sebuah kerajaan, kita bertanggungjawwab kepada rakyat. Jadi kita akan melaksanakannya."
Pada Jumaat lepas, bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir adalah antara 58 orang yang menandatangani deklarasi rakyat menyokong penyingkiran Najib sebagai perdana menteri.
Acara menandatangani deklarasi itu, yang diketuai Dr Mahathir, turut disertai Lim Kit Siang daripada DAP, Menteri Besar Selangor Datuk Mohamed Azmin Ali daripada PKR, dan bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.BERNAMA
Tun M dan Muhyiddin lakukan kesilapan amat besar- Najib
Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin "bersepakat" dengan pembangkang dilihat oleh UMNO sebagai satu kesilapan amat besar, kata Presidennya Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib, yang juga Perdana Menteri itu berkata tindakan kedua bekas pemimpin kanan UMNO itu turut mendatangkan kemarahan dan kekecewaan rata-rata pemimpin dan ahli UMNO.
"Saya tengok rata-rata di kalangan pemimpin UMNO, mereka sangat marah dan amat kecewa (dengan) tindakan Tun Dr Mahathir untuk sepakat dengan pembangkang.
"Malah sedutan ucapan Tun Dr Mahathir diviralkan, antaranya (pernah) menyelar Lim Kit Siang sebagai pemimpin rasis dan DAP chauvinis.
"(Selain itu), Tan Sri Muhyiddin dan Tun Mahathir (pernah) menyelar dan mengutuk Kit Siang dan DAP dengan jelas.
"Sebab itulah, pemimpin UMNO tidak boleh terima. Mereka tahu pendirian DAP selama ini, jadi apa yang dilakukan (adalah) satu kesilapan amat besar," kata Najib kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai tindakan dua pemimpin itu yang "bersepakat" dengan pembangkang menandatangani 'Deklarasi Rakyat' Jumaat lepas.
Muhyiddin dan juga bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir adalah antara 50 orang yang menandatangani deklarasi itu yang menyokong penyingkiran Najib, diketuai Dr Mahathir, bekas perdana menteri.
Turut memberi sokongan adalah Penasihat DAP Kit Siang, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.
Ketika ditanya sama ada pemimpin UMNO yang terlibat boleh dikenakan tindakan, Najib berkata: "Terpulang kepada Majlis Tertinggi (MT) dan Jawatankuasa Disiplin.
"Kita, tiap seorang pemimpin di mana jua peringkat, tertakluk kepada perlembagaan dan disiplin parti," kata Najib.
Ditanya adakah ia amaran terakhir untuk Muhyiddin, Najib berkata: "Biar MT putuskan. Kami percaya badan tertinggi ialah Majlis Tertinggi."
Mengenai Badan Perhubungan UMNO Kedah yang mahukan Muhyiddin dan Mukhriz turut dikenakan tindakan, Najib berkata beliau tidak mahu membuat keputusan sendirian dan menyerahkan kepada MT.
"Serah pada MT. Saya tidak mahu buat keputusan sendirian. Kita amal tanggungjawab bersama," kata Perdana Menteri.
Apapun, Najib berkata kerajaan akan terus menumpukan kepada pembangunan negara dan juga khidmat kepada rakyat.
"Bagi kami, tahap keyakinan bergantung pada pilihan raya.
"Buat ketika ini, kerajaan akan diteruskan kerana kita mempunyai mandat dan bilangan di Parlimen. Parti juga di belakang kerajaan," katanya ketika ditanya sama ada beliau yakin rakyat masih di belakang UMNO.
Terdahulu, Najib dalam rangka lawatan kerja sehari di Johor Baharu, merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Galleria@Kotaraya.BERNAMA
Tindakan Tun M berlawan dengan kesetiaan parti- Mahdzir Khalid
bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai kumpulan lebih 50 orang memeterai deklarasi menyokong penyingkiran Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri merupakan satu cabaran politik yang perlu dihadapi dalam pilihan raya umum akan datang.
Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata walaupun Dr Mahathir menjelaskan beliau tidak menyertai mana-mana parti pembangkang, namun beliau telah pergi ke pejabat PKR dan duduk sebaris bersama pemimpin pembangkang daripada PKR dan DAP.
"Tindakannya itu adalah berlawanan dengan sifat kesetiaan, hormat menghormati dan kesepaduan yang wujud dalam UMNO sejak dulu lagi.
"Daripada Perdana Menteri pertama hingga PM Najib sekarang, setiap proses pertukaran itu ada tertibnya, namun tindakan Tun Mahathir yang mengajak pembangkang (menjatuhkan Najib) sedangkan selama ini mereka dianggap musuh politik UMNO adalah sesuatu yang langsung tidak boleh diterima.
"Jika inilah gerakannya, maka kita akan berdepan dengan kumpulan yang sama dalam pilihan raya nanti namun saya yakin dengan kekuatan jentera parti UMNO serta Barisan Nasional yang ada kita mampu menghadapinya," katanya mengulas tindakan Dr Mahathir bekerjasama dengan pembangkang dalam kempen Anti-Najib.
Terdahulu, Menteri Pendidikan itu merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Bariah di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata proses pelantikan Perdana Menteri adalah melalui sistem demokrasi berparlimen dan ia telah dilakukan menerusi pilihan raya umum yang sah dan ia perlu dihormati semua pihak.
"Usaha Tun Mahathir itu adalah di luar kebiasaan...pemimpin UMNO yang didapati turut menandatangani deklarasi itu boleh diambil tindakan mengikut perlembagaan parti.
"Saya sebagai pemimpin UMNO dari Kedah, tetap teguh menyokong Perdana Menteri untuk terus mentadbir negara dan bersama-sama membantu Perdana Menteri untuk meneruskan agenda pembangunan negara," kataya.
Rabu, 29 Julai 2015
Muhyiddin nasihat penyokong tidak lakukan perkara yang memudaratkan parti
Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan penyokong-penyokongnya supaya tidak melakukan perkara yang boleh memudaratkan parti dan negara.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata beliau menghargai sokongan yang ditunjukkan kepadanya oleh semua pihak termasuk netizen dan berharap mereka mengutamakan kepentingan negara.
"Saya dapat rasakan perasaan kecewa dan dukacita mereka tetapi apa pun saya berikan nasihat supaya kita harus lebih utamakan kepentingan negara," katanya kepada pemberita di kediamannya di sini, hari ini.
Mengulas mengenai penggugurannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan daripada Kabinet, Muhyiddin berkata beliau dimaklumkan oleh Pejabat Perdana Menteri supaya bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 11 pagi semalam.
Pada masa itu, katanya beliau berada di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan untuk merasmikan sebuah sekolah swasta.
"Saya hanya dapat jumpa beliau (Najib) pada 12.15 tengah hari...saya tanya apa tujuan saya dijemput, adakah berkaitan rombakan jemaah menteri, beliau angguk.
"Adakah ada apa-apa beliau nak cakap kepada saya, beliau rasa susah nak cakap...saya tanya adakah bermakna saya tidak disenaraikan (dalam Kabinet), beliau (angguk) dan saya cakap terima kasih," katanya.
Muhyiddin berkata beliau menerima keputusan itu kerana ia merupakan prerogatif perdana menteri.
"Bagi saya, itu hak beliau (Najib) sebagai ahli politik yang dah lama berpengalaman, itu hakikat yang saya tak boleh nafikan...saya akur," katanya.
Sementara itu, Muhyiddin berkata beliau dapat melelapkan mata malam tadi walaupun agak lewat kerana menerima kunjungan daripada pelbagai pihak termasuk Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Katanya kunjungan itu sekadar menyatakan perasaan simpati dan bukannya bertujuan merancang sesuatu terhadap kerajaan.
PM Najib berhak untuk rombak Kabinet- Mukhriz
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai hak untuk melakukan rombakan Kabinet dan semua pihak perlu menerima perubahan yang dilakukannya, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.
Beliau melahirkan keyakinan bahawa perdana menteri telah pun memikirkan 'semasak-masaknya' tentang apa yang terbaik untuk kerajaan dan politik.
"Perdana menteri mempunyai hak untuk membuat sebarang rombakan (Kabinet) dan beliau telah menggunakan kuasa beliau untuk melakukan rombakan semalam. Kita mesti terima apa-apa sekali pun perubahan," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.
Dalam rombakan Kabinet semalam, Najib menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan.
Beliau melantik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri baharu, selain mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Dalam Negeri.
Selain itu, perdana menteri turut melantik tujuh muka baharu sebagai menteri dalam barisan Kabinetnya dan menggugurkan empat menteri serta satu timbalan menteri daripada jawatan mereka.
Beliau turut membawa masuk beberapa muka baharu sebagai Timbalan Menteri.
Mengenai pertemuan dengan Muhyiddin di kediamannya semalam, Mukhriz berkata ia adalah kunjungan biasa untuk mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin di atas jasa-jasanya terhadap Kedah selama ini.
"Sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan, banyak sekolah dan pelajar-pelajar di Kedah menerima faedah daripada penyaluran peruntukan yang diluluskan oleh Muhyiddin.
"Atas sebab itu, saya rasa terpanggil untuk sekurang-kurangnya berjumpa dengan beliau (Muhyiddin) dan mengucapkan terima kasih banyak daripada kerajaan negeri Kedah di atas semua budi baik beliau," katanya.
Rombakan semalam turut menyaksikan dua pemimpin dari Kedah iaitu bekas Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid dilantik sebagai Menteri Pendidikan manakala Anggota Parlimen Kubang Pasu, Datuk Seri Johari Baharom dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertahanan.
Pelantikan Mahdzir sebagai Menteri Pendidikan, yang dianggap jawatan kanan dalam Kabinet, merupakan satu penghormatan kepada Kedah, kata Mukhriz sambil mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri.
"Ia adalah kementerian yang amat mustahak," katanya dan mengucapkan tahniah kepada Mahdzir yang juga bekas Menteri Besar Kedah.
Ditanya sama ada rombakan Kabinet semalam akan menimbulkan masalah kepada UMNO, Mukhriz berkata beliau yakin Najib selaku Presiden parti telah membuat penilaian mendalam tentangnya.
"Saya rasa Presiden sudah tentu menilai sedalamnya mengenai reaksi dan persepsi rakyat terhadap rombakan ini, kerana tentunya kita berusaha untuk mengukuhkan kedudukan kita menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)," katanya.
Menurutnya Najib mungkin melakukan kajian tertentu bagi mengukuhkan rasional di sebalik keputusan melakukan rombakan Kabinet itu.
Mengenai mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO Jumaat ini, Mukhriz berkata beliau difahamkan sesi penerangan tentang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan diadakan selain kemungkinan adanya perbincangan mengenai rombakan Kabinet.BERNAMA
PAS harap kabinet baru dapat jalan tugas dengan adil
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini berharap barisan Kabinet baharu dapat terus menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan adil dan telus.
Beliau berkata adalah terlalu awal bagi PAS untuk menyatakan pendapat berhubung barisan Kabinet itu yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
"Kita tak boleh kata bersetuju atau tidak (dengan barisan Kabinet baharu)... kita tunggu sejauh mana mereka dapat laksanakan tugas khususnya bagi isu melibatkan rakyat dan negara," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat harian Jawatankuasa PAS Pusat di ibu pejabat PAS di sini.
Najib hari ini mengumumkan Kabinet baharunya dengan melantik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digugurkan.
Dalam pada itu, Abdul Hadi mengingatkan semua anggota PAS supaya jangan melibatkan diri dengan Gerakan Harapan Baru (GHB) jika tidak mahu tindakan diambil terhadap mereka selain keanggotaan mereka digugurkan.
"Kita tunggu laporan lengkap daripada negeri-negeri sebelum mengambil tindakan, kita tidak boleh ambil tindakan berdasarkan maklumat yang dilaporkan di media sahaja," katanya.
Beliau berkata pimpinan PAS Pusat yang dipilih pada muktamar parti Jun lepas masih mendapat sokongan akar umbi berdasarkan pertemuan beliau dengan kepimpinan di beberapa negeri.
"Kita mendapat respons yang sangat baik dengan lebih 80 peratus pimpinan akar umbi menyatakan sokongan kepada pimpinan pusat yang ada," katanya.
Langgan:
Ulasan (Atom)





