Rabu, 29 Julai 2015

PM Najib berhak untuk rombak Kabinet- Mukhriz

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai hak untuk melakukan rombakan Kabinet dan semua pihak perlu menerima perubahan yang dilakukannya, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir. Beliau melahirkan keyakinan bahawa perdana menteri telah pun memikirkan 'semasak-masaknya' tentang apa yang terbaik untuk kerajaan dan politik. "Perdana menteri mempunyai hak untuk membuat sebarang rombakan (Kabinet) dan beliau telah menggunakan kuasa beliau untuk melakukan rombakan semalam. Kita mesti terima apa-apa sekali pun perubahan," katanya kepada pemberita di sini, Rabu. Dalam rombakan Kabinet semalam, Najib menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan. Beliau melantik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri baharu, selain mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Dalam Negeri. Selain itu, perdana menteri turut melantik tujuh muka baharu sebagai menteri dalam barisan Kabinetnya dan menggugurkan empat menteri serta satu timbalan menteri daripada jawatan mereka. Beliau turut membawa masuk beberapa muka baharu sebagai Timbalan Menteri. Mengenai pertemuan dengan Muhyiddin di kediamannya semalam, Mukhriz berkata ia adalah kunjungan biasa untuk mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin di atas jasa-jasanya terhadap Kedah selama ini. "Sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan, banyak sekolah dan pelajar-pelajar di Kedah menerima faedah daripada penyaluran peruntukan yang diluluskan oleh Muhyiddin. "Atas sebab itu, saya rasa terpanggil untuk sekurang-kurangnya berjumpa dengan beliau (Muhyiddin) dan mengucapkan terima kasih banyak daripada kerajaan negeri Kedah di atas semua budi baik beliau," katanya. Rombakan semalam turut menyaksikan dua pemimpin dari Kedah iaitu bekas Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid dilantik sebagai Menteri Pendidikan manakala Anggota Parlimen Kubang Pasu, Datuk Seri Johari Baharom dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertahanan. Pelantikan Mahdzir sebagai Menteri Pendidikan, yang dianggap jawatan kanan dalam Kabinet, merupakan satu penghormatan kepada Kedah, kata Mukhriz sambil mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri. "Ia adalah kementerian yang amat mustahak," katanya dan mengucapkan tahniah kepada Mahdzir yang juga bekas Menteri Besar Kedah. Ditanya sama ada rombakan Kabinet semalam akan menimbulkan masalah kepada UMNO, Mukhriz berkata beliau yakin Najib selaku Presiden parti telah membuat penilaian mendalam tentangnya. "Saya rasa Presiden sudah tentu menilai sedalamnya mengenai reaksi dan persepsi rakyat terhadap rombakan ini, kerana tentunya kita berusaha untuk mengukuhkan kedudukan kita menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)," katanya. Menurutnya Najib mungkin melakukan kajian tertentu bagi mengukuhkan rasional di sebalik keputusan melakukan rombakan Kabinet itu. Mengenai mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO Jumaat ini, Mukhriz berkata beliau difahamkan sesi penerangan tentang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan diadakan selain kemungkinan adanya perbincangan mengenai rombakan Kabinet.BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan