Ahad, 12 Oktober 2014
Kerajaan akan siasat kesilapan siaran berita di RTM- Shabery Cheek
Beberapa kesilapan teknikal semasa siaran berita Radio Televisyen Malaysia (RTM) di TV1 mendapat perhatian Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang mengarahkan kementeriannya agar menyiasat insiden tersebut secara terperinci.
Beliau berkata kesilapan itu akan diteliti sama ada ia berpunca daripada kelemahan pihak teknikal atau tidak disengajakan kerana selaku penyiar nasional, insiden itu tidak sepatutnya berlaku.
"Saya minta supaya ada satu sistem menghukum mereka yang melakukan kesalahan sama ada ia berbentuk kecuaian atau sesuatu yang boleh menjatuhkan imej RTM," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Deepavali 2014 di Bukit Jalil di sini pada Ahad malam.
Kesilapan itu dikesan berlaku ketika siaran langsung berita di TV1, Sabtu.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Shabery berkata beliau sedia berbincang lebih lanjut dengan penasihat kerajaan dalam hal ehwal sosial dan kebudayaan, Tan Sri Dr Rais Yatim mengenai cadangan kementerian untuk menjadikan saluran Bernama TV sebagai saluran yang menawarkan sumber berita berbahasa Inggeris tahun depan.
"Orang sekarang tidak lagi bercakap tentang 'broadcasting' tetapi 'narrowcasting' yang bermakna setiap saluran itu ada pengkhususan seperti saluran berita, hiburan, sukan dan sebagainya yang fokus menggunakan sesuatu bahasa," katanya.
Rais, yang juga bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, hari ini berkata stesen televisyen tempatan perlu memastikan wujud ruang dalam perjuangan memartabatkan bahasa kebangsaan.
Kerajaan Negeri boleh guna bajet 2015 sebagai panduan- Ahmad Maslan
Kerajaan negeri boleh menggunakan Bajet 2015, yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Jumaat lepas, sebagai asas dan garis panduan dalam menyediakan bajet negeri masing-masing.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata lima perkara penting yang terkandung dalam Bajet 2015 adalah bersifat menyeluruh untuk kesejahteraan rakyat di pelbagai lapisan.
Menurutnya lima perkara tersebut ialah mengurangkan kos sara hidup, pekerjaan, pemilikan perumahan, pendidikan dan kebajikan.
"Lima keperluan itu perlu diberi tumpuan oleh bajet yang bakal dibentangkan oleh kerajaan negeri termasuk agenda memperkasakan Bumiputera," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) kepada penjawat awam di sini hari ini.
Mengenai kegusaran rakyat dalam berdepan pelaksanaan CBP bermula 1 April tahun depan, beliau berkata kerajaan akan mengeluarkan buku garis panduan kawalan harga untuk mengelak sebarang penipuan harga barangan.BERNAMA
Rabu, 13 Ogos 2014
Khalid dedah surat pemecatan Exco Selangor
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata surat pemecatan 5 exco terbabit yang berkuatkuasa semalam adalah sah dan sudah mendapat perkenan Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam tempoh dua jam.
Khalid berkata, beliau menulis surat kepada Sultan selepas mengetahui pendirian 5 exco terbabit pada jam 2 petang semalam.
Sultan kemudian membalas surat Khalid secara bertulis dan membenarkan pemecatan itu dibuat kira-kira jam 5 petang.
"Beta tiada halangan jika Yang Amat Berhormat (YAB) menamatkan khidmat mereka," kata Khalid ketika membacakan surat jawapan balas Sultan Selangor kepadanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SUK) di Shah Alam, hari ini
Exco yang dpecat diarah kosongkan pejabat
Enam Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) daripada DAP dan PKR diarah mengosongkan pejabat masing-masing ekoran pemecatan mereka mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, Datuk Mohamed Khusrin Munawi berkata bagaimanapun buat masa ini tiada tempoh masa tertentu diberikan kepada kesemua Exco terlibat.
"Arahan pemecatan mereka telah diperkenankan Sultan Selangor dan mulai 12 Ogos (semalam) mereka tidak lagi dibenarkan untuk meneruskan tugas.
"Buat masa ini, tiada arahan dikeluarkan bila sepatutnya mereka harus mengosongkan pejabat masing-masing, tetapi mereka dibenarkan masuk ke pejabat bagi mengemaskan barang persendirian mengikut masa mereka," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Ketika diminta mengulas mengenai beberapa Exco daripada kedua-dua parti itu yang kelihatan hadir dan meneruskan tugas di pejabat masing-masing di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini, Mohamed Khusrin berkata kehadiran Exco berkenaan bagaimanapun tidak melibatkan tugasan rasmi.
"Mungkin dia datang untuk kemas barang atau jumpa orang... (jumpa orang) itu memang tugas dia selalu di Dewan Negeri Selangor ini," katanya.
Semalam, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah menulis surat bagi meminta perkenan Sultan Selangor supaya keenam-enam Exco daripada PKR dan DAP yang tidak menyokong pentadbirannya digugurkan serta-merta.
Tiga Exco daripada DAP ialah Datuk Teng Chang Khim, V. Ganabatirau dan Ean Yong Hian Wah sementara anggota Exco daripada PKR ialah Elizabeth Wong Keat Ping, Rodziah Ismail dan Dr Daroyah Alwi. - Bernama
Sultan perkenan pecat Exco Selangor
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mendedahkan surat perkenan daripada Sultan Selangor kepada beliau untuk memecat lima Exco PKR dan DAP, semalam.
Abdul Khalid berkata surat balas daripada Sultan Selangor itu diperolehinya dua jam selepas beliau menulis kepada Tuanku berhubung kenyataan bersama lima bekas Exco itu yang enggan bekerjasama dengannya.
"Semalam jam 2 petang saya tulis surat kepada Sultan selangor selepas semua Exco itu tulis kenyataan bersama untuk tidak bersama-sama dalam pentadbiran kerajaan negeri.
"Sultan Selangor telah balas secara bertulis supaya Exco berkenaan tidak bertugas lagi," katanya pada sidang media selepas mempengerusi mesyuarat mingguan Exco, di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian membidas kenyataan lima Exco dipecat itu yang mendakwa Abdul Khalid tidak memperolehi perkenan Sultan Selangor untuk mengugurkan tiga wakil DAP dan dua wakil PKR.
Lima Exco terbabit ialah Datuk Teng Chang Khim, Ean Yong Hian Wah, Elizabeth Wong, Ganabatirau Veraman dan Dr Daroyah Alwi.
Dalam pada itu, mesyuarat mingguan Exco hari ini dihadiri oleh empat Exco Selangor Pas dan tiga pegawai ex-officio.
Antara Exco Pas Selangor yang hadir ialah Iskandar Abdul Samad, Dr Halimah Ali, Dr Ahmad Yunus Hairi dan Salehin Mukhyi.
Manakala pegawai ex-officio pula ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi; Penasihat Undang-undang, Datuk Zauyah Be T.Loth Khan dan Pegawai Kewangan, Datuk Noordin Sulaiman.
Sementara itu, Abdul Khalid menegaskan lima Exco dipecat itu tidak dibenarkan meneruskan khidmat mereka selepas kenyataan semalam bercanggah dengan 10 akujanji dan sumpah kesetiaan di hadapan Sultan Selangor semasa mereka mengangkat sumpah sebagai Exco.
Selasa, 12 Ogos 2014
Pertemuan Anwar dengan Hadi semalam gagal
Pertemuan antara Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Kuala Terengganu semalam gagal mencapai kata sepakat.
Itulah apa yang disebarkan melalui laman sosial WhatsApp sekarang ini yang dikatakan ditulis oleh seorang AJK PAS Pusat tentang mesyuarat yang diadakan di sebuah hotel dekat Kuala Ibai, Kuala Terengganu semalam.
"Pertemuan DSAI dgn TGHH semalam hancur. Tiada kompromi. Dan senario Zuhdi nampaknya akan dipakai," tulis seorang AJK PAS pusat melalui kumpulan WhatsApp yang kini disebar merata-rata.
Namun The Malaysian Insider tidak dapat mengesahkan kenyataan itu dari penulis asalnya.
DSAI adalah singkatan untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim manakala TGHH adalah singkatan kepada Tuan Guru Haji Hadi.
Sebelum ini, Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr Zuhdi Marzuki dalam senarionya menulis, PAS boleh bergabung dengan Umno dan Khalid disamping seorang dua dari PKR atau DAP untuk membentuk kerajaan baru di Selangor.
PAS mempunyai 15 Adun, BN 12 dan bersama Khalid, mereka membentuk 28 ahli iaitu separuh dari 56 ahli dalam Dewan Negeri Selangor.
Sehingga kini, hanya itulah maklumat tentang mesyuarat semalam yang keluar manakala pihak yang terlibat dalam mesyuarat itu enggan membuka mulut masing-masing.
Mesyuarat itu diadakan di sebuah hotel dekat Kuala Ibai dengan dihadiri oleh dua dari pihak PKR dan tiga dari pihak PAS.
Setiausaha PKR Datuk Saifudin Nasution Ismail menyertai Anwar manakala Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyertai Abdul Hadi.
Mustafa telah mengesahkan mesyuarat itu semalam kepada Bernama.
Semalam juga Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yassin berkata, kesemua 12 Adun Umno akan menyokong Khalid sebagai menteri besar.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar pula berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno akan mengikut apa jua arahan pemimpin atasan mereka.
"Kami hanya turut perintah menyokong Khalid. Kita Umno ni ada parti, jadi kami akan ikut apa jua keputusan pucuk pimpinan parti.
"Ini budaya yang Umno buat, yang tak tahu ikut arahan parti ini Anwar sahaja," katanya.
Ekoran kenyataan itu, DAP hari ini mendesak rakannya dalam Pakatan itu iaitu PAS menyatakan pendirian.
"Jika PAS berkata mereka tidak akan bersama Umno, ini akan membantu menjelaskan bahawa PAS bersetuju menggantikan Khalid sebagai menteri besar Selangor, tetapi menunggu 17 Ogos untuk memutuskan samada untuk menerima calon PKR atau penggantinya.
"Jika PAS gagal untuk menjelaskan hal ini, ia hanya akan menghakis sokongan sokongan popular untuk PR dan merosakkan keyakinan pengundi bukan sahaj di Selangor tetapi seluruh negara," kata Lim Guan Eng dalam kenyataannya.
Sebelum ini, Abdul Hadi berkata, PAS menyokong Khalid kekal sebagai menteri besar. Ia kemudiannya disokong Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat dan diperkukuhkan lagi dengan pengesahan oleh Majlis Syura Ulama.
Namun selepas Khalid dipecat oleh PKR, tidak ada sebarang pendirian rasmi oleh PAS lagi samada mahu menyokong Khalid atau menyokong calon lain untuk menjadi MB Selangor. Petikan The MalaysianInsider.
Khalid pecat enam Exco dari DAP dan PKR
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah menghantar surat kepada Sultan Selangor pada Selasa bagi memohon perkenan untuk memecat enam anggota Exco kerajaan negeri dari DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang tidak menyokong pentadbirannya.
Mengumumkan demikian Abdul Khalid berkata arahan pemecatan itu akan berkuatkuasa serta merta selepas mendapat perkenan Sultan Sharafuddin Idris Shah.
"Exco DAP dan PKR hari ini sudah tandatangani satu surat supaya diadakan satu blok (berpakat) bertujuan untuk mengurangkan kecekapan pentadbiran kerajaan negeri.
"Oleh sebab itu, saya telah minta dan tulis surat kepada baginda Sultan agar anggota Exco ini tidak teruskan kerja mereka sebagai Exco," katanya kepada pemberita di sini.
Tiga anggota Exco dari DAP ialah Datuk Teng Chang Khim, V.Ganabatirau dan Ean Yong Hian Wah sementara anggota Exco dari PKR ialah Elizabeth Wong Keat Ping, Rodziah Ismail dan Dr Daroyah Alwi.
Abdul Khalid berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada kesemua Exco yang terlibat kecuali Rodziah yang kini berada di luar negara atas urusan kerja.
Mengulas lanjut, Menteri Besar berkata pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan anggota Exco dari PAS bagi membincangkan mengenai pentadbiran kerajaan Selangor.
"Melalui perbincangan ini, saya berharap pentadbiran Selangor dapat berjalan dengan mantap dan semua program pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan," katanya.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai dakwaan beliau ada menghantar surat untuk menyertai PAS, Abdul Khalid menafikannya.
Enam anggota Exco terlibat hari ini dalam kenyataan bersama berkata mereka akan terus menjalankan tugas masing-masing tetapi menegaskan tidak akan berjumpa dengan Abdul Khalid kecuali pada mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
Selain itu keenam-enam exco tersebut dilaporkan berkata, dalam urusan melibatkan mereka, kedudukan dan fungsi Abdul Khalid hanyalah dalam kapasiti peralihan sementara menunggu seorang menteri besar daripada Pakatan Rakyat dilantik.
"Abdul Khalid dan MMKN juga tidak boleh membuat sebarang keputusan tanpa melalui proses undian.
"Sebarang keputusan MMKN perlulah diundi supaya fungsi Abdul Khalid dihadkan kepada kapasiti peralihan," kata mereka.
Langgan:
Ulasan (Atom)






