Selasa, 12 Ogos 2014

Pertemuan Anwar dengan Hadi semalam gagal

Pertemuan antara Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Kuala Terengganu semalam gagal mencapai kata sepakat. Itulah apa yang disebarkan melalui laman sosial WhatsApp sekarang ini yang dikatakan ditulis oleh seorang AJK PAS Pusat tentang mesyuarat yang diadakan di sebuah hotel dekat Kuala Ibai, Kuala Terengganu semalam. "Pertemuan DSAI dgn TGHH semalam hancur. Tiada kompromi. Dan senario Zuhdi nampaknya akan dipakai," tulis seorang AJK PAS pusat melalui kumpulan WhatsApp yang kini disebar merata-rata. Namun The Malaysian Insider tidak dapat mengesahkan kenyataan itu dari penulis asalnya. DSAI adalah singkatan untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim manakala TGHH adalah singkatan kepada Tuan Guru Haji Hadi. Sebelum ini, Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr Zuhdi Marzuki dalam senarionya menulis, PAS boleh bergabung dengan Umno dan Khalid disamping seorang dua dari PKR atau DAP untuk membentuk kerajaan baru di Selangor. PAS mempunyai 15 Adun, BN 12 dan bersama Khalid, mereka membentuk 28 ahli iaitu separuh dari 56 ahli dalam Dewan Negeri Selangor. Sehingga kini, hanya itulah maklumat tentang mesyuarat semalam yang keluar manakala pihak yang terlibat dalam mesyuarat itu enggan membuka mulut masing-masing. Mesyuarat itu diadakan di sebuah hotel dekat Kuala Ibai dengan dihadiri oleh dua dari pihak PKR dan tiga dari pihak PAS. Setiausaha PKR Datuk Saifudin Nasution Ismail menyertai Anwar manakala Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyertai Abdul Hadi. Mustafa telah mengesahkan mesyuarat itu semalam kepada Bernama. Semalam juga Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yassin berkata, kesemua 12 Adun Umno akan menyokong Khalid sebagai menteri besar. Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor ‎Datuk Seri Noh Omar pula berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno ‎akan mengikut apa jua arahan pemimpin atasan ‎mereka. "‎Kami hanya turut perintah menyokong Khalid. Kita Umno ni ada parti, jadi kami akan ikut apa jua keputusan pucuk pimpinan parti. "Ini budaya yang Umno buat, yang tak tahu ikut arahan parti ini Anwar sahaja," katanya. Ekoran kenyataan itu, DAP hari ini mendesak rakannya dalam Pakatan itu iaitu PAS menyatakan pendirian. "Jika PAS berkata mereka tidak akan bersama Umno, ini akan membantu menjelaskan bahawa PAS bersetuju menggantikan Khalid sebagai menteri besar Selangor, tetapi menunggu 17 Ogos untuk memutuskan samada untuk menerima calon PKR atau penggantinya. "Jika PAS gagal untuk menjelaskan hal ini, ia hanya akan menghakis sokongan sokongan popular untuk PR dan merosakkan keyakinan pengundi bukan sahaj di Selangor tetapi seluruh negara," kata Lim Guan Eng dalam kenyataannya. Sebelum ini, Abdul Hadi berkata, PAS menyokong Khalid kekal sebagai menteri besar. Ia kemudiannya disokong Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat dan diperkukuhkan lagi dengan pengesahan oleh Majlis Syura Ulama. Namun selepas Khalid dipecat oleh PKR, tidak ada sebarang pendirian rasmi oleh PAS lagi samada mahu menyokong Khalid atau menyokong calon lain untuk menjadi MB Selangor. Petikan The MalaysianInsider.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan