Isnin, 11 Ogos 2014

Semua Exco PAS Selangor terus jalankan tugas seperti biasa

Keempat-empat Exco PAS Kerajaan Selangor akan terus menjalankan tugas mereka seperti biasa di bawah pentadbiran Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim, demikian tegas Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali. Mustafa berkata, ini kerana kerajaan negeri masih lagi wujud dan berfungsi seperti biasa, sebelum menunggu pengumuman terbaru daripada PAS Pusat. "Kerajaan masih ada, jadi mereka hendaklah menjalankan tugas sebagaimana biasa sehingga ada keputusan baru," katanya kepada Harakahdaily. Beliau berkata demikian bagi mengulas kedudukan kesemua Exco PAS selepas Lembaga Disiplin PKR memecat Abdul Khalid kelmarin. PAS mempunyai empat Exco dalam kerajaan Selangor iaitu, Pengerusi Perumahan Pengurusan dan Peneroka Bandar Iskandar Samad (Adun Chempaka), Pengerusi Hal Ehwal Islam, Pemodenan Pertanian Pembangunan Desa Sallehen Mukhyi (Adun Sabak), Pengerusi Pendidikan, Pendidikan Tinggi, Pembangunan Modal Insan Dr Halimah Ali (Adun Selat Klang) dan Pengerusi Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Dr Ahmad Yunus (Adun Sijangkang). Sementara itu, Mustafa mengingatkan kepada semua peringkat kepimpinan parti, ahli dan para penyokong supaya bertenang dalam menghadapi konflik politik yang kini melanda Selangor. Katanya, PAS masih bersama Pakatan Rakyat dan menangani krisis ini secara berhemah, cermat dan bijaksana bersama-sama dengan kepimpinan Pakatan Rakyat yang lain.

BN sokong Khalid kekal sebagai MB

Barisan Nasional (BN) menyokong Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikekalkan sebagai Menteri Besar Selangor, tanpa syarat dan ikhlas, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata beliau telah berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN bagi mendapatkan hala tuju berhubung kemelut kepimpinan di Selangor. "Jadi atas beberapa dasar, sebab dan prinsip, BN menyokong MB Selangor (Abdul Khalid). "Kita juga tidak mengambil kira fahaman politik dan sebagainya, kita juga lihat tiada kewajaran perubahan pimpinan sebagaimana yang hendak dilakukan oleh Pakatan Rakyat di negeri itu ," katanya ketika diminta mengulas situasi terkini di Selangor selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pelancongan kali ke-11 di sini hari ini. Muhyiddin berkata sokongan itu juga adalah tidak bersyarat dan ikhlas kerana apa yang ingin dilihat ialah keadaan yang stabil di negeri itu. "Kalau anda tanya apa yang kita akan dapat dengan menyokong beliau (Abdul Khalid) kita pun tak tahu apa yang kita akan dapat," katanya. Muhyiddin berkata yang penting ialah soal kesinambungan kepimpinan dan nasib rakyat di negeri itu. Beliau berkata semua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Selangor juga akan menyatakan sokongan sekiranya usul undi tidak percaya dikemukakan terhadap Abdul Khalid. "Selangor sebuah negeri yang penting dan atas sebab itu kita berpendapat kalau tiada perubahan kepimpinan, walau pun Khalid bukan daripada parti BN tetapi itu lebih baik untuk keadaan yang ada sekarang," katanya. Beliau berkata dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, Abdul Khalid juga memberikan sokongan dan kerjasama berhubung masalah air dan penstrukturan semula air di Selangor serta projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2). "Jadi projek itu pada peringkat ini masih boleh diteruskan, itu perkara utama untuk mengelakkan krisis air bagi kami kerajaan persekutuan dan semangat kerjasama yang sudah sedia terjalin itu perlu diteruskan," katanya. Muhyiddin berkata, apa yang dibimbangkan ialah jika berlaku perubahan kepimpinan sudah tentu persefahaman dan perjanjian yang ditandatangani berhubung masalah air mungkin akan terjejas. "Bagi kami dalam keadaan itu siapa yang elok kita sokong...bagi Kerajaan Pusat ialah menentukan nasib rakyat baik di Selangor dan persekutuan tidak terjejas dan terus dibela dengan perjanjian yang telah disepakati. "Ikut bacaan saya kalau ada perubahan maka ada yang akan pinda itu...ini...dan ia akan bawa kesan besar kepada masalah air serta soal-soal berkaitan kebajikan rakyat di Selangor dan Wilayah Persekutuan," katanya. Ditanya sama ada boleh berlaku perubahan dalam perjanjian yang telah ditangani sebelum ini jika berlaku perubahan pentadbiran, Muhyiddin berharap perjanjian yang ditandatangani itu dihormati. "Tetapi jika ada perubahan kerajaan saya juga tidak boleh jangkakan apa akan berlaku dan itu turut menjadi kebimbangan kita juga," katanya. Mengenai sama ada akan berlaku pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor, Muhyiddin berkata perkara itu sukar diramal dan tidak tahu apa yang akan dilakukan oleh Pakatan Rakyat.

Sultan perkenan saya teruskan tugas sebagai MB

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan kepada beliau untuk meneruskan tugas sebagai menteri besar. Bercakap pada sidang media di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, Abdul Khalid juga menegaskan beliau akan mengadakan pertemuan dengan semua Exco Kerajaan negeri Selangor dalam masa terdekat. "Saya telah memperjelaskan bahawa di sebalik pemecatan saya sebagai ahi PKR, saya masih memperolehi kepercayaan majoriti Ahli Dewan Negeri. Justeru itu DYMM Tuanku berpuas hati dengan penjelasan yang telah disembahkan dan selanjutnya DYMM Tuanku telah perkenan untuk saya terus memegang jawatan sebagai Menteri Besar Selangor," ujar beliau. Sementara itu, Abdul Khalid turut memberitahu, beliau tidak menolak untuk menyertai mana-mana parti politik termasuk Pas selepas beliau dipecat daripada keahlian seumur hidupnya daripada PKR. "Sehingga ada perkembangan baharu, saya masih kekal sebagai Menteri Besar Selangor dan akan menjalankan tugas seperti biasa," tambah beliau lagi. Menurut Abdul Khalid lagi, beliau perlu mendapatkan sokongan sekurang-kurangnya empat orang Exco Selangor untuk terus menerajui kerajaan negeri itu. Sehingga kini, Abdul Khalid berkata hanya empat Exco Selangor dari Pas telah menyatakan sokongan terhadap beliau untuk menerajui kerajaan negeri Selangor. "Menurut artikel 53 (2) b Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, Exco selain menteri besar mesti mendapat sokongan sekurang-kurang empat ahli atau maksimum 10 orang. "Jika memenuhi syarat itu, barulah saya boleh meneruskan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri," katanya lagi.

Ahad, 10 Ogos 2014

Exco DAP kekal dalam kerajaan negeri Selangor

Kesemua tiga Exco DAP di Selangor akan kekal dalam pentadbiran kerajaan negeri sehingga proses peralihan kuasa dan pelantikan Menteri Besar Selangor baharu itu selesai dilaksanakan. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, langkah parti itu mengekalkan wakilnya adalah untuk memastikan pentadbiran kerajaan negeri Selangor berjalan lancar dan berterusan seperti biasa. "Semua tiga Exco DAP di Selangor kekal dalam jawatan mereka dalam tempoh peralihan sehingga Menteri Besar Selangor baharu dilantik. "Pengaturan peralihan kuasa itu perlu untuk memastikan pentadbiran Selangor berterusan sehingga menteri besar baharu dilantik," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini. Langkah itu dibuat selepas Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong mengumumkan pemecatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari parti itu serta-merta semalam. Penyingkiran Abdul Khalid dibuat pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR selepas meneliti dan mengadakan siasatan berkenaan kes disiplin dan tatatertib Adun Pelabuhan itu. Kee Kwong menjelaskan, Abdul Khalid didapati mengingkari keputusan MPP yang bermesyuarat pada 21 Julai lalu yang sebulat suara memilih Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor baharu. Dalam pada itu, Guan Eng berkata DAP memberi sokongan sepenuhnya kepada cadangan PKR untuk menclaonkan Wan Azizah bagi menggantikan Abdul Khalid untuk mengetuai pentadbiran kerajaan negeri Selangor. "Kesemua 15 Adun DAP di Selangor telah menyatakan sokongan sepenuhnya kepada Wan Azizah untuk menggalas jawatan itu. "Kerajaan PR Selangor juga akan kekal dan berterusan sebagai kerajaan yang stabil dan sah bersama dengan 43 Adun PR di negeri itu berikutan penyingkiran Abdul Khalid dari PKR," katanya lagi.

Rakyat Selangor jadi mangsa kerakusan kuasa PKR

Kerakusan kuasa Pakatan Rakyat di Selangor menyebabkan negeri itu terumbang-ambing sehingga rakyat menjadi mangsa, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau berkata pakatan itu tidak harus lari daripada tanggungjawab menyelesaikan krisis politik yang berlaku dengan cara baik kerana ia melibatkan kepentingan rakyat Selangor. "Ini adalah masalah mereka yang kini menjadi krisis dan membebankan (rakyat). Bagi kita, soal rakyat lebih diutamakan. Saya tidak fikir rakyat akan rasa seronok (jika ia berterusan). "Seharusnya ada tindakan (penyelesaian) segera, kita tidak mahu masuk campur urusan dalaman. Mereka patut tengok apa yang rakyat akan hadapi. Jangan jadikan krisis itu beban kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Bentong di sini Ahad. Muhyiddin mengulas kemelut politik di Selangor yang kian meruncing sehingga Parti Keadilan Rakyat (PKR) memutuskan untuk memecat Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada parti kerana didakwa mengingkari beberapa keputusan parti. Ditanya mengenai kemungkinan pilihan raya negeri Selangor diadakan susulan krisis itu, Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, berkata situasi di negeri itu akan dipantau sebelum memutuskan tindakan seterusnya. "Kita mesti harus bersedia. Bukan sebab kita menangguk di air keruh...(tetapi) susah nak ramal, dalam keadaan begini yang tak menentu. "Sebagai pihak (pembangkang) di Selangor, kita sentiasa buat apa-apa persiapan yang perlu, baik untuk menghadapi pilihan raya kecil atau pilihan raya umum. Dalam keadaan sebegini kita belum pasti," katanya. Muhyiddin berkata setakat ini belum ada sebarang perbincangan mengenai langkah menyelesaikan kemelut di Selangor yang melibatkan pihak BN, termasuk dari pihak Abdul Khalid. Melahirkan rasa dukacita atas krisis politik itu, Muhyiddin meminta rakyat Selangor supaya mengambil iktibar atas apa yang berlaku yang antara lain boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi negeri. Ditanya sama ada krisis perebutan kuasa di Selangor akan menjejaskan perjanjian antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri, Muhyiddin berkata projek berkaitan air masih berjalan dan perlu melalui beberapa fasa lagi sebelum ia disiapkan. "Ada beberapa fasa lagi kerana ini projek besar dan mengambil masa. Banyak lagi kerjasama yang diperlukan melibatkan kerajaan pusat dan kerajaan negeri untuk menentukan ia siap dalam masa (yang ditetapkan). Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno menyarankan pewujudan pelan tindakan parti di setiap negeri untuk mencetus perubahan dan meningkatkan penerimaan dan sokongan di peringkat akar umbi. "Umno tidak boleh bertindak seperti biasa kerana kita sentiasa cabaran getir. Apa yang penting, bila siap (pelan tindakan), bagaimana ia hendak dilaksanakan supaya ada keadaan yang boleh mencetuskan 'wow factor" baharu dan dilihat pengundi inilah apa yang mereka mahu. "Umno perlu menerajui perubahan dan tidak dilihat sama dari dulu hingga sekarang. Jika tiada perubahan atau masih ditakuk lama, sokongan tidak akan hadir mahupun bertambah," katanya. Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, dalam ucapannya berkata Umno negeri merancang untuk mewujudkan pelan tindakan bagi mengenal pasti persepsi masyarakat di akar umbi dan meneliti kaedah baharu yang sesuai untuk terus meraih sokongan pengundi. -- BERNAMA

Sabtu, 9 Ogos 2014

Wan Azizah akui tidak pengalaman tadbir negeri

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang dicalonkan partinya tuntuk jawatan Menteri Besar Selangor, mengakui tidak mempunyai pengalaman secukupnya untuk mentadbir sebuah kerajaan negeri. Namun, katanya pertukaran menteri besar perlu dilakukan di Selangor ketika ini bagi menambah baik semua dasar kerajaan negeri di samping mengekalkan dasar lama yang memberi manfaat kepada rakyat. "Bagi saya, pertukaran menteri besar tidak penting, yang lebih penting adalah amanah yang dipegang kita," katanya dalam satu ceramah mengenai isu-isu semasa di negeri Selangor di sini, Sabtu malam. Pada 21 Julai lepas, Majlis Pimpinan Pusat PKR sebulat suara memilih Dr Wan Azizah sebagai calon menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor yang baharu. Dr Wan Azizah, isteri kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut menepis dakwaan pihak tertentu bahawa pencalonannya itu bersifat nepotisme. "Ini bukan nepotisme sebab saya pernah dilantik oleh Anwar mengetuai gerakan reformasi semasa suami saya berada di penjara pada 1998," katanya. Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata Abdul Khalid yang dipecat daripada PKR berkuat kuasa hari ini, boleh disingkir daripada jawatan menteri besar sekiranya 29 Anggota Dewan Undangan Negeri Selangor sebulat suara membuat akuan berkanun bagi menyatakan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan beliau. Ini boleh dilakukan di luar DUN Selangor berbanding usul undi tidak percaya yang terpaksa dilakukan dalam DUN, katanya pada sesi ceramah itu. DUN Selangor mempunyai 56 kerusi.BERNAMA

Isu pecat dari parti- Khalid akan mengadap Sultan

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim maklum berhubung isu pemecatannya daripada PKR hari ini dan akan mengadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah walaupun menganggap keputusan itu cacat dan tidak sah. PKR memecatnya hari ini selepas mengingkari keputusan parti untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor. "Saya menerima keputusan Parti Keadilan Rakyat untuk membatalkan keahlian saya dalam parti walaupun keputusan tersebut adalah salah dan cacat dari segi undang-undang. "Seperti kenyataan saya sebelum ini, parti sendiri keliru terhadap pertuduhan yang dikemukakan kepada saya. Malah, PKR gagal menyatakan perkara yang saya lakukan melanggar Perlembagaan PKR," katanya dalam satu kenyataan. Menteri besar penggal kedua itu juga berkata dia tidak menerima sebarang jawapan kepada permintaannya untuk butiran lebih terperinci mengenai proses disiplin dan penangguhan perbicaraannya oleh lembaga disiplin ke 15 Ogos. "Lembaga Disiplin tetap meneruskan pendengaran tanpa terlebih dahulu mendengar penjelasan daripada saya. Saya tidak diberi peluang dan proses yang adil untuk menjawab semua tuduhan terhadap saya mengikut tatacara yang teratur dan adil. "Saya percaya ada tindakan sabotaj dari pihak tertinggi parti," kata Khalid, yang juga ahli dewan undangan negeri Pelabuhan Klang dan ahli Parlimen Bandar Tun Razak. Peguam berkata Khalid masih menteri besar kerana dia masih seorang wakil rakyat di dalam dewan undangan negeri yang mempunyai 56 kerusi dan jawatannya merupakan pelantikan yang sah menurut perlembagaan. Saya akan mengadap DYMM Sultan Selangor untuk memaklumkan kepada baginda perkembangan terbaru ini, seterusnya mendengar pandangan baginda yang boleh dikongsi. "Sehingga isu ini diselesaikan mengikut prosedur yang betul, mengikut peruntukan undang-undang yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Negeri, saya akan meneruskan khidmat terbaik kepada rakyat sebagai Menteri Besar mengikut kemampuan saya," katanya sambil berterima kasih kepada semua yang menyokongnya dalam masa sukar. - See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/khalid-maklum-dipecat-pkr-akan-mengadap-sultan-selangor#sthash.3KzRWah7.dpuf