Sabtu, 9 Ogos 2014

Isu pecat dari parti- Khalid akan mengadap Sultan

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim maklum berhubung isu pemecatannya daripada PKR hari ini dan akan mengadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah walaupun menganggap keputusan itu cacat dan tidak sah. PKR memecatnya hari ini selepas mengingkari keputusan parti untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor. "Saya menerima keputusan Parti Keadilan Rakyat untuk membatalkan keahlian saya dalam parti walaupun keputusan tersebut adalah salah dan cacat dari segi undang-undang. "Seperti kenyataan saya sebelum ini, parti sendiri keliru terhadap pertuduhan yang dikemukakan kepada saya. Malah, PKR gagal menyatakan perkara yang saya lakukan melanggar Perlembagaan PKR," katanya dalam satu kenyataan. Menteri besar penggal kedua itu juga berkata dia tidak menerima sebarang jawapan kepada permintaannya untuk butiran lebih terperinci mengenai proses disiplin dan penangguhan perbicaraannya oleh lembaga disiplin ke 15 Ogos. "Lembaga Disiplin tetap meneruskan pendengaran tanpa terlebih dahulu mendengar penjelasan daripada saya. Saya tidak diberi peluang dan proses yang adil untuk menjawab semua tuduhan terhadap saya mengikut tatacara yang teratur dan adil. "Saya percaya ada tindakan sabotaj dari pihak tertinggi parti," kata Khalid, yang juga ahli dewan undangan negeri Pelabuhan Klang dan ahli Parlimen Bandar Tun Razak. Peguam berkata Khalid masih menteri besar kerana dia masih seorang wakil rakyat di dalam dewan undangan negeri yang mempunyai 56 kerusi dan jawatannya merupakan pelantikan yang sah menurut perlembagaan. Saya akan mengadap DYMM Sultan Selangor untuk memaklumkan kepada baginda perkembangan terbaru ini, seterusnya mendengar pandangan baginda yang boleh dikongsi. "Sehingga isu ini diselesaikan mengikut prosedur yang betul, mengikut peruntukan undang-undang yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Negeri, saya akan meneruskan khidmat terbaik kepada rakyat sebagai Menteri Besar mengikut kemampuan saya," katanya sambil berterima kasih kepada semua yang menyokongnya dalam masa sukar. - See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/khalid-maklum-dipecat-pkr-akan-mengadap-sultan-selangor#sthash.3KzRWah7.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan