Selasa, 18 Februari 2014
Khairy dedah perangai buruk Pengerusi Hindraf P WaythaMoortyh...
Selepas umum letak jawatan sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri minggu lalu, P. Waytha Moorthy yang juga Pengerusi Hindraf sudah memulakan serangan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau mengadakan sidang media ringkas pada Selasa semata-mata meminta Najib meletakkan jawatan sebagai perdana menteri atas alasan gagal menunaikan janjinya kepada masyarakat India yang miskin.
“Beliau sudah hilang kuasa moral untuk memimpin negara,” kata Waytha Moorthy yang kemudian meninggalkan
P Waytha Moorthy umum lepaskan semua jawatan dalam kerajaan berkuatkuasa Isnin
Waytha Moorthy salahkan Najib
sidang media tanpa melayan sebarang soalan daripada pemberita dan bercakap berdasarkan kenyataan yang disediakan.
KJ Tweet ttg WyathamoorthyWaytha Moorthy menuduh Najib menipu rakyat Malaysia apabila mengatakan “Saya tidak berbincang dengannya mengenai peletakan jawatan.”.
Timbalan Pengerusi Hindraf, V Sambulingam memberitahu pemberita, satu lagi sidang media akan diadakan pada Sabtu di mana Waytha Moorthy akan menjawab soalan pemberita.
Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi laman Twitternya, mengecam kenyataan pemimpin Hindraf itu yang tidak sepatutnya menyalahkan Perdana Menteri kerana kegagalan beliau membawa perubahan terhadap masyarakat India.
Katanya, semua keputusan dalam Kabinet dibuat secara konsensus tetapi Waytha Moorthy menuntut untuk bekerja bersendirian.
Ketua Pemuda UMNO itu mendedahkan bekas timbalan menteri itu mahu semua peruntukan kerajaan berkaitan masyarakat India diletakkan di bawah bidang kuasanya.
“Wytha Moorth mahu kawalan penuh ke atas wang peruntukkan dan membelakangkan semua kementerian dan agensi berkaitan. Bila hasrat tidak dipenuhi, beliau letak jawatan dan salahkan Perdana Menteri,” ujarnya.
Khairy berkata, beliau mengenali pemimpin Hindraf itu dan enggan mendedahkan perkara ini namun beliau tiada pilihan apabila Wytha Moorthy menyalahkan Najib.
Beliau menjelaskan, banyak perkara dibangkitkan pemimpin Hindraf itu kepada Perdana Menteri sudah diselesaikan.
Dalam pada itu, ada pula pihak berpendapat, tindakan Wyha Moorthy itu kemungkinan berkait dengan kes abangnya Uthayakumar yang kekal dijatuhi hukuman penjara dua tahun enam bulan kerana kesalahan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan pada 11 Disember 2007.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa mengekalkan keputusan hukuman Mahkamah Sesyen dan menolak rayuan Uthayakumar.-bnbbc.my
Sultan Selangor larang kerabat campurtangan PRK DUN Kajang
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah melarang semua kerabat Diraja Selangor daripada campur tangan, melibatkan diri atau membiarkan mana-mana pihak menggunakan kedudukan mereka untuk kepentingan mana-mana parti politik dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.
Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Muhamad Munir Bani berkata baginda juga berharap semua parti dan ahli politik tidak mengaitkan pihak istana dalam kempen pilihan raya kecil itu.
“Titah larangan ini dikeluarkan berikutan terdapatnya laporan akhbar sama ada di media cetak atau media elektronik beserta gambar pemimpin parti tertentu bersama dengan ahli Kerabat Diraja Selangor dengan komen yang mempamerkan kononnya penglibatan ahli Kerabat Diraja Selangor dalam kempen pilihan raya berkenaan.
“Titah ini dikeluarkan bagi mengelakkan sebarang persepsi negatif rakyat mengenai penglibatan pihak istana dalam arena politik yang seharusnya tidak berlaku dan perlu dielakkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini Selasa.
Muhamad Munir berkata baginda sultan turut menegaskan bahawa pihak istana akan kekal sebagai satu institusi bebas yang tidak condong kepada mana-mana parti politik dan hanya berlandaskan kepada peruntukan undang-undang serta kuasa yang termaktub di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dan undang-undang yang berkaitan.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 11 Mac untuk penamaan calon dan pengundian pada 23 Mac bagi pilihan raya kecil itu.
Kerusi DUN Kajang kosong selepas penyandangnya Lee Chin Cheh daripada PKR meletak jawatan pada 27 Jan lepas.
Tidak adil P Waythamoorthy menyalahkan salahkan PM...
Ketua Pemuda Umno Malaysia Khairy Jamaluddin berkata adalah tidak adil bagi P Waythamoorthy menyalahkan Datuk Seri Najib Tun Razak kerana kegagalan bekas senator dan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu melaksanakan perubahan.
Menteri Belia dan Sukan itu dalam tulisan di twitternya berkata Waythamoorthy tidak bertindak sebagai peserta pasukan dan tidak melaksanakan apa yang diperjuangkannya.
Beliau berkata Waythamoorthy mendesak supaya semua bajet kerajaan untuk masyarakat India diletakkan di bawah budi bicaranya kerana beliau mahu mengawal wang, dengan mengetepikan agensi dan kementerian.
“Bila beliau tidak mendapat ini, beliau berhenti dan menyalahkan Perdana Menteri,” kata Khairy.
Beliau berkata bila Waythamoorthy membawa hal-hal tertentu ke perhatian Najib, segalanya diselesaikan.
Khairy berkata sekalipun ketiadaan Waythamoorthy, kerajaan tetap komited memajukan masyarakat India dan menyelesaikan isu seperti pendidikan dan kemiskinan.
Minggu lepas, Waythamoorthy melepaskan semua jawatannya, dengan mendakwa kerajaan tidak melakukan perubahan sosio-ekonomi untuk membantu masyarakat miskin India.
Sabtu, 15 Februari 2014
Anwar ahli politik putar belit-Tun M
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memainkan peranan penting menjayakan Op Lalang pada 1987 menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Sambil menafikan tuduhan Anwar bahawa beliau bertanggungjawab sepenuhnya dalam operasi yang menyaksikan 108 pemimpin politik dan aktivis ditahan, Dr Mahathir berkata sebagai seorang anggota Kabinet ketika itu, Anwar perlu bertanggungjawab.
“..kecuali kalau beliau berkata, saya meletak jawatan kerana tidak bersetuju. Dia tidak pernah berkata seperti itu. Beliau setuju, sokong semua termasuk ISA,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar pemikiran Kassim Ahmad “Suatu Penilaian” anjuran Jawatankuasa Sahabat Pena Pak Kassim di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Dr Mahathir juga menyifatkan Ketua Umum PKR itu sebagai ‘ahli putar belit’ dan bukan pemikir ideal, dan PKR ditubuhkan semata-mata untuk mencapai cita-citanya.
Katanya, Anwar sentiasa mempotretkan dirinya sebagai manusia yang tidak pernah bersalah dan berdosa, demi kepentingan peribadi dan karier politik.
“Dia punya parti itu bukan Parti Keadilan tetapi Parti KeAnwaran, semuanya untuk Anwar dan keluarga dia, bukan untuk bangsa, agama dan lain-lain. Malah bukan untuk ideologi.
“Dia memang ahli putar belit, ahli (parti) menafikan apa yang dia kata dulu dan memberi imej baharu seolah-olah dia ini tak pernah berdosa, tak pernah salah dan selalunya betul. Kalau Anwar betul, hari ini dia jadi Perdana Menteri,” kata Dr Mahathir.
Beliau berkata Anwar mempunyai kemahiran untuk mempengaruhi orang ramai dengan cara berilmiah, tetapi pada hakikatnya beliau bukan seorang pemikir atau pemimpin yang boleh memimpin negara ini.
“Dia bukan pemikir, tetapi dia pandai berpidato. Dia pandai bercakap untuk meyakinkan orang tentang kebenaran dirinya. Orang yang menggunakan perkataan untuk kepentingan, bukan menggunakan perkataan untuk kebenaran. Inilah Anwar.
“Bila dia cakap, bunyi cukup baik. Sehingga saya pun yakin. Dia menggunakan akal fikirannya untuk memutar belit dengan cara berilmiah,” katanya.
Rabu, 12 Februari 2014
Adenan Satem ganti Taib Mahmud
Tan Sri Adenan Satem yang dicadangkan sebagai Ketua Menteri Sarawak baharu menggantikan Tan Sri Abdul Taib Mahmud disifatkan sebagai keputusan yang baik dengan pengalamannya yang luas dalam bidang pentadbiran, baik di peringkat negeri mahupun pusat.
Pemimpin-pemimpin parti Barisan Nasional (BN) turut menyifatkan Adenan mampu merapatkan lagi hubungan antara Sarawak dengan kerajaan pusat.
Bagi bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau yakin Adenan dapat menggunakan segala pengalamannya berkhidmat dengan kerajaan negeri dan persekutuan bagi tugas baharu itu nanti.
Adenan, Menteri di Pejabat Ketua Menteri dan Menteri Tugas-tugas Khas Sarawak dan baru menyambut hari lahirnya yang ke-70 pada 27 Jan lepas, merupakan seorang pemimpin dengan latar belakang yang berwarna-warni.
Beliau yang pernah bertugas sebagai seorang wartawan, guru dan juga penasihat perundangan, pernah dilantik sebagai menteri kabinet Persekutuan pada 2004 iaitu sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.
Dr Mahathir turut menasihati calon-calon yang tidak terpilih mengisi jawatan itu supaya terus setia kepada Ketua Menteri yang baharu.
"Jangan sesama mereka berkelahi dan berpecah. Nanti akan jadi lemah. Yang menang lemah, yang kalah pun lemah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar dan Forum Buku Perdana di sini, Rabu.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas pengumuman Abdul Taib yang akan berundur sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 28 Feb ini, dan menamakan Adenan sebagai pengganti.
Ditanya desas-desus pengunduran Taib adalah untuk mengambil alih jawatan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Mahathir berkata: "Tiada yang lebih layak daripada Taib."
Di KOTA KINABALU, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman mengucapkan tahniah kepada Adenan dan melahirkan keyakinannya bahawa dengan pengalaman luas Adenan, Sarawak akan terus maju dan makmur dan membawa pembangunan berterusan kepada negeri itu.
Dalam kenyataannya, Musa berkata di bawah Adenan, kepimpinan Barisan Nasional negeri akan terus kukuh dan mengekalkan kestabnilan politik dan ekonomi di Sarawak.
Beliau juga memuji Taib kerana menjadi pemimpin berwawasan dan membawa pembangunan di Sarawak sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai ketua menteri.
Taib benar-benar seorang negarawan, yang mendedikasikan hampir keseluruhan hidupnya berkhidmat kepada rakyat dan membawa pembangunan sosio ekonomi kepada negeri. Saya berdoa moga beliau sentiasa sihat dan semua yang terbaik dalam kehidupan beliau seterusnya, kata Musa.
Di JOHOR BAHARU, Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Wee Ka Siong berkata Adenan adalah orang yang tepat sebagai ketua menteri Sarawak yang baharu, untuk terus mengukuhkan hubungan di antara Sarawak dan kerajaan persekutuan dengan pengalamannya yang luas di peringkat negeri dan persekutuan.
Setiausaha Agung MIC A.Prakash Rao pula berkata peralihan kepimpinan itu diharap akan membuka lembaran baharu kepada rakyat Sarawak khususnya dari aspek pembangunan infrastrukur dan kemajuan ekonomi.
"Kebiasaannya apabila seseorang pemimpin baharu mengambil alih, dia selalunya akan mempunyai idea dan perancangan baharu untuk dilaksanakan. Begitu juga dengan Adenan yang pastinya mempunyai idea baharu untuk mentadbir urus Sarawak.
"Kalau ada kelemahan atau kekurangan sebelum ini dalam pentadbiran, sekarang ini masalah itu akan menjadi tanggungjawab Adenan dan saya percaya dengan pengalamannya dia akan dapat menjadikan Sarawak lebih maju," katanya ketika dihubungi Bernama.
Sambil mengucapkan tahniah dan syabas kepada Adenan di atas pemilihan itu, Prakash Rao berkata pemimpin berpengalaman seperti Adenan pastinya akan mempunyai formula untuk mengukuhkan lagi kedudukan Barisan Nasional di Sarawak.
--BERNAMA
Bila Yusuf Qaradawi puji PM Najib..
Ilmuan Islam terkemuka Prof Dr Syeikh Yusuf Abdullah al-Qaradawi mengutuskan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana pelbagai sumbangan dan tindakan penting beliau untuk masyarakat Islam di seluruh dunia.
Ini termasuk lawatan Najib ke Gaza, pertemuannya dengan penduduk Palestin, pendirian beliau dalam isu Syria dan Mesir serta usaha perdana menteri untuk membantu umat Islam di Filipina dan Thailand.
Penghargaan presiden Kesatuan Ilmuan Islam Antarabangsa (IUMS) itu disampaikan kepada Najib oleh wakil khasnya Dr Ahmad Amer Ali, yang juga anggota jawatankuasa IUMS, pada pertemuan mereka di pejabat perdana menteri di sini Rabu.
Dr Ahmad tiba di bangunan Perdana Putra pada pukul 2.45 petang dengan diiringi bekas Timbalan Presiden PAS Dr Nasharuddin Mat Isa bagi menyerahkan surat al-Qaradawi kepada Najib.
Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan itu, Dr Ahmad berkata al-Qaradawi memuji kunjungan Najib ke Gaza untuk menunjukkan sokongan beliau kepada rakyat Palestin dan menyuarakan keyakinannya bahawa perdana menteri mampu memainkan peranan penting dalam menyatupadukan umat Islam di Asia Tenggara.
Dr Ahmad berkata al-Qaradawi juga memuji pendekatan Wasatiyah yang menjadi amalan Malaysia dan penubuhan Institut Wasatiyah Malaysia.
Katanya ulama Mesir itu masih ingat layanan baik yang beliau terima ketika berkunjung ke Malaysia untuk menerima anugerah “Tokoh Maal Hijrah 2009″.
Dr Ahmad berkata al-Qaradawi berharap dapat berkunjung ke negara ini sekali lagi dalam tempoh terdekat, mungkin bulan depan.
Sementara itu, Nasharuddin berkata beliau difahamkan Dr Ahmad, yang merupakan sahabatnya, menyampaikan sendiri surat yang diutus al-Qaradawi kepada perdana menteri dalam pertemuan itu.
Kata Nasharuddin beliau difahamkan antara kandungan surat yang dibawa Dr Ahmad itu ialah keyakinan al-Qaradawi terhadap kemampuan perdana menteri dan parti pemerintah dalam mewujudkan penyatuan dan perpaduan ummah di Malaysia serta di seluruh dunia Islam.
“Saya difahamkan, secara spesifik, al-Qaradawi juga memuji lawatan Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan ke Malaysia baru-baru ini yang menyaksikan banyak kerjasama dan persefahaman dalam pelbagai isu dicapai.
“Al-Qaradawi ada menyebut bahawa Malaysia dan Turki sebenarnya adalah model negara Islam yang sederhana, yang sepatutnya menjadi contoh kepada dunia Islam keseluruhannya,” kata beliau.
Nasharuddin berkata beliau berpendapat kenyataan al-Qaradawi berhubung penyatuan dan perpaduan ummah di negara ini serta di peringkat antarabangsa, adalah saranan yang bernas dan perlu mendapat respons semua pihak
Ahad, 9 Februari 2014
Abang Johari pilihan rakyat Serawak...
Keputusan kaukus Parti Pesaka Bumiputera Bersatu(PBB) memberi kuasa penuh kepada Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud menamakan penggantinya adalah tidak relevan, kata seorang pemerhati politik.
Pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak, Dr Jeniri Amir berkata ini kerana Taib yang juga Presiden PBB sewajarnya memilih pemimpin paling kanan dalam parti sebagai pengganti.
"Berdasarkan kekananan dalam parti, Timbalan Presidennya Datuk Amar Abang Johari Tun Openg (gambar) paling layak untuk memimpin negeri," kata Jeniri dalam temu bual dengan Bernama, di Kuching hari ini.
Jeniri berkata jika Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan atau bekas Menteri Pertanian Datuk Seri Effendi Norwawi dipilih, keputusan itu akan melukakan hati pemimpin kanan parti dan boleh mencetuskan rasa tidak puas hati serta mungkin perpecahan dalam PBB.
Berdasarkan keadaan itu juga adalah bijak bagi Taib menamakan Abang Johari sebagai penggantinya bagi mengelakkan perpecahan dalam parti dan Barisan Nasional (BN) di peringkat negeri, katanya.
Jeniri berkata selain mempunyai rekod cemerlang sebagai menteri di Sarawak dan timbalan presiden PBB, Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan dan Perumahan negeri, merupakan pilihan rakyat kerana beliau dianggap kawan semua kaum.
Beliau juga membuktikan popularitinya apabila menewaskan Menteri Tugas-tugas Khas Sarawak dan Ketua Penerangan PBB Datuk Seri Adenan Satem bagi jawatan timbalan presiden dalam satu pemilihan parti.
Mengenai Adenan sebagai ketua menteri yang baharu, Jeniri berkata pemimpin itu merupakan sekutu yang dipercayai oleh Abdul Taib.
"Adenan pemimpin yang bijak tetapi negeri dan parti memerlukan pemimpin yang sihat. Saya bukan menentang Adenan sebagai ketua menteri, tetapi kesihatannya tidak mengizinkan beliau memegang jawatan itu," katanya.
Jeniri juga percaya Taib akan bersara pada hujung bulan ini memandangkan ramai berpandangan beliau sudah terlalu lama memegang jawatan itu.
Jeniri juga tidak menyokong idea Taib melantik sama ada Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu atau Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar sebagai pemangku ketua menteri.
"Langkah itu agak janggal. Beliau sepatutnya memberi ruang secukupnya kepada ketua menteri yang baharu bersedia menghadapi pilihan raya negeri pada 2016," katanya.
Taib, 78, mengumumkan hasrat untuk berundur sebagai Ketua Menteri Sarawak semalam ketika mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PBB namun semasa mesyuarat parti komponen BN negeri hari ini beliau tidak menyatakan tarikh untuk berbuat demikian.
Sementara itu, Awang Tengah, seorang daripada tiga nama yang disebut oleh Taib, masih dianggap oleh rakyat sebagai "junior" untuk memegang jawatan tersebut manakala Jabu pula dikatakan sudah terkeluar daripada senarai.
Seorang bekas anggota MT PBB berkata perkara itu mungkin disebabkan Jabu daripada sayap Pesaka, namun ada kemungkinan Taib menamakan beliau selaku "individu berkecuali" untuk memangku jawatan ketua menteri ketika Taib bercuti selama tiga bulan.
Sebagai pemangku ketua menteri, Jabu akan mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong agar Taib dilantik menjadi Yang Dipertua Negeri yang baharu apabila penggal perkhidmatan Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng tamat pada 28 Februari ini, katanya.
"Susulan itu pilihan raya kecil untuk kerusi Balingian perlu diadakan kerana Taib mesti melepaskan kerusi dewan undangan negeri tersebut jika mahu dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak yang baharu.
"Effendi pula perlu bertanding di kerusi itu kerana ketika ini beliau bukan anggota dewan undangan negeri (Adun) jika Taib mahu beliau jadi ketua menteri yang baharu," kata bekas anggota MT PBB itu lagi.
Effendi yang bersara daripada politik pada 2008 merupakan Adun di Sarawak dari 1991 hingga 1999, anggota parlimen Rejang (1999-2006) dan senator (2006-2012). - Bernama,
Langgan:
Ulasan (Atom)






