Rabu, 12 Januari 2011

RM65,000 untuk juara



Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan pemberian insentif saham amanah serta wang tunai berjumlah RM65,000 setiap seorang kepada 25 pemain dan jurulatih bola sepak kebangsaan yang menjuarai Piala AFF Suzuki pada bulan lepas.

Setiap pemain dan jurulatih diberikan unit Amanah Saham Wawasan 2020 berjumlah RM50,000 yang bagaimanapun tidak boleh dikeluarkan sehingga tempoh 10 tahun, kata Perdana Menteri ketika meraikan skuad itu di kediaman rasminya, Seri Perdana, di sini hari ini.

Pada majlis yang turut dihadiri menteri-menteri kabinet, Najib berkata imbuhan wang tunai RM10,000 adalah daripada kerajaan dan RM5,000 lagi melalui Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) daripada Majlis Sukan Negara.

Katanya Kementerian Belia dan Sukan akan memperuntukkan RM500,000 kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menaik taraf kemudahan gimnasium dan membina bilik sauna di Wisma FAM di Kelana Jaya bagi kemudahan pemain.

Malaysia menjuarai Piala AFF Suzuki buat julung kalinya dengan menumpaskan Indonesia dengan agregat 4-2 setelah menang 3-0 di sini dan kalah 2-1 di Jakarta.

Najib juga berkata kerajaan akan bekerjasama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sekiranya mahu menghantar pemain-pemain untuk menjalani latihan dengan mana-mana kelab bola sepak di luar negara.

“Untuk pembangunan di masa depan, kerajaan akan memberikan kerjasama dan sokongan yang sebaik-baiknya kepada FAM untuk memajukan bola sepak di negara ini.

“Kerajaan akan menaja latihan pemain-pemain kita dengan kelab-kelab ternama di luar negara sebagai persediaan pemain. Terserahlah kepada FAM untuk menentukan di mana, siapa dan sebagainya. FAM perlulah juga berunding dengan KBS dan MSN,” katanya.

Mengenai kejayaan sulung skuad negara memenangi Piala AFF Suzuki, Najib berkata ia perlu dijadikan contoh oleh semua rakyat Malaysia khususnya generasi muda.

“Ia bukanlah sebarang kejayaan kerana ia suatu kejayaan yang mencetus satu semangat patriotisme yan luar biasa di kalangan rakyat.

“Tidak ada satu peristiwa lain ataupun kejohanan lain yang boleh dianggap setanding dengan apa yang telah dilalui dalam peristiwa yang membolehkan kita menjulang Piala Suzuki AFF ini. Suasana di Stadium Nasional Bukit Jalil boleh dikatakan sebagai ‘electrifying’ (bersemangat), walaupun saya tidak berada bersama tetapi saya dapat saksikan jaringan yang menarik pemain Malaysia melalui YouTube,” katanya.

Perdana Menteri turut mengimbau saat-saat manis beliau duduk di atas jalan raya bersama rakyat di Jalan Bukit Bintang ketika menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua antara Malaysia dan Vietnam.

“Saya sendiri mencatat sejarah peribadi, belum pernah ada Perdana Menteri duduk di atas jalan raya bersama-sama rakyat untuk menyaksikan perlawanan bola... dan saya berbangga. Bila kita (Malaysia) menang hari itu, rasa macam hendak menitiskan air mata.

“Saya dapat selami kekuatan mental pemain ketika itu begitu juga dengan semangat yang ditunjukkan oleh peminat-peminat. Saya dapat saksikan perubahan besar dalam bola sepak Malaysia,” katanya.

Najib menyeru semua pemain supaya terus berusaha untuk mengekalkan kecemerlangan yang telah ditunjukkan pada Piala AFF Suzuki dengan meningkatkan prestasi.

Tumpuan skuad bola sepak kebangsaan kini, katanya, adalah untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik di London pada 2012 dan berusaha untuk menjadi kuasa besar sukan bola sepak di rantau Asia.

Tidak ada hasil debat dengan Anwar- PM


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata tidak ada hasilnya jika beliau terima pelawaan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berdebat mengenai program 100 hari PR perintah Putrajaya.

"Kalau hendak debat kita mesti ada sesuatu hasil dari debat itu, saya tidak nampak ada hasil,"katanya menjawab soalan Agendadaily ketika diserbu wartawan selepas meraikan skuad Harimau Malaya di kediamannya Seri Perdana Putrajaya.


Sementara itu, di majlis berkenaan, Najib juga mengumumkan ganjaran bernilai RM65 ribu ringgit untuk setiap pemain dan jurulatih skuad Harimau Malaya yang menang Piala Suzuki baru-baru ini.

Kesemua mereka terima unit ASW2020 bernilai RM50 ribu setiap seorang. Selain itu,insentif khas kerajaan RM10ribu tunai pada setiap pemain, juga RM5ribu tunai dari skim insentif MSN.

Selasa, 11 Januari 2011

6 Timbalan Menteri MCA jadi bapa angkat di Tenang



MCA melantik enam Timbalan Menteri dari parti tersebut sebagai ‘bapa angkat’ bagi meraih sokongan pengundi Cina pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Tenang di Labis, Johor hujung bulan ini.

Presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata pelantikan tersebut sebagai komitmen parti itu bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN).

“Kami akan memastikan pemimpin-pemimpin parti, baik dari peringkat pusat, negeri atau akar umbi, berusaha bertungkus lumus bagi memastikan calon Barisan Nasional (BN) dapat mempertahankan kerusi DUN,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Pusat parti itu di Wisma MCA hari ini.

Enam Timbalan Menteri tersebut ialah Datuk Wee Ka Siong (Timbalan Menteri Pelajaran), Datuk Donald Lim Siang Chai (Timbalan Menteri Kewangan), Datuk Lee Chee Leong (Timbalan Menteri Dalam Negeri), Gan Ping Sieu (Timbalan Menteri Belia dan Sukan), Chua Tee Yeong (Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani), dan Heng Seai Kie (Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu ditetapkan pada 22 Jan ini, dan jika ada pertandingan, pengundian akan diadakan pada 30 Jan.

Mengenai isu yang dibincangkan pada mesyuarat itu, Chua berkata pihaknya mendapat aduan mengenai sikap segelintir guru besar dan guru yang menghalang atau enggan membenarkan pelajar mengambil mata pelajaran bahasa Mandarin bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau berkata tenaga pengajar seharusnya berusaha memudahkan hasrat pelajar untuk mengambil mata pelajaran tersebut.

Mengenai novel Interlok, Chua berkata pihak yang membidas novel itu sepatutnya mengambil kira mesej tersirat dalam karya tersebut.

“Kita mesti melihat buku ini dalam perspektif yang betul…ia adalah sebuah novel sejarah…dan ditulis pada 1910.

“Sesetengah perkataan mungkin sensitif dalam konteks masa kini, namun buku ini sememangnya memaparkan satu mesej yang amat penting, cara bagaimana ia menggalakkan keharmonian antara kaum dan bagaimana rakyat berbilang bangsa
bekerjasama,” katanya.

Beliau mengulas desakan golongan tertentu yang mahukan novel karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain itu tidak dijadikan novel sastera bagi tingkatan lima, kononnya kerana mempunyai unsur menghina kaum India di negara ini.

Program 100 hari pembangkang: Satu lagi projek tipu



Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyelar pakatan pembangkang yang sentiasa melontarkan janji-janji manis kepada rakyat setiap kali mendengar pilihan raya akan diadakan dengan harapan agar masyarakat tertarik dengan program mereka.

Katanya, apa yang dimanifestokan oleh mereka melalui janji-janji pada Pilihan Raya Umum 2008 pun tidak tertunai tetapi sekarang dijanjikan dengan agenda lain lagi.

“Contohnya di Selangor, pembangkang janji mahu memberikan elaun RM100 bagi tiap-tiap pengundi yang berumur 60 tahun ke atas tapi sehingga sekarang mereka tidak dapat tunaikan,” katanya kepada UMNO-Online.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan mengulas berkaitan agenda pakatan pembangkang yang mengemukakan tawaran dalam Program 100 hari mengandungi sembilan perkara termasuk pengurusan negara, ekonomi dan pendidikan yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari jika menang pada pilihan raya umum (PRU) Ke-13.

“Janji-janji mereka tidak pernah ditunaikan misalnya mereka mahu memberikan elektriciti dan air percuma tetapi jelas bahawa apa yang terjadi Selangor membuktikan bahawa khazanah mereka berkurangan kerana mudah untuk disuarakan tetapi sukar untuk dilaksanakan.

“Begitu juga apabila mereka berjanji mahu memberikan elaun tambahan kepada guru-guru kelas fardu ain (kafa) sebanyak RM50 juga belum ditunaikan oleh mana-mana negeri yang dipegang oleh pembangkang sedangkan pihak JAKIM peruntukan sebanyak RM500 setiap bulan dan telah dinaikkan melepasi garis kemiskinan,” katanya.

Tegas beliau lagi, apa yang dijanjikan oleh mereka (pembangkang) belum dapat dilaksanakan termasuklah kerajaan Pulau Pinang juga.

“Mereka menjanjikan elaun khusus untuk rakyat yang berada dalam kumpulan di bawah garis kemiskinan; apa yang ternyata mereka hanya dapat memberikan RM100 sekali, itu pun wang daripada kutipan judi dan ahli-ahli UMNO serta orang Melayu Pulau Pinang terpaksa mengembalikan semula wang itu.”

Tambahnya, kalau difikirkan RM100 setahun ertinya kurang daripada RM10 sebulan sedangkan janji-janji mereka itu pelbagai.

“Begitu juga janji konon nak telus dalam tender atas alasan dalam BN tidak telus tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya iaitu di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang hanya memberikan kepada orang-orang mereka saja dan tidak dibuka sepenuhnya selain diberikan kepada mereka yang ada hubungan dengan yang ada kepimpinan parti politik mereka.”

Katanya, apa yang telah dibentangkan dan sedang dilaksanakan oleh pembangkang membuktikan mereka adalah populis sedangkan kerajaan BN adalah realis, merupakan kerajaan yang bertanggungjawab, iaitu tidak membuat janji yang tidak boleh ditunaikan, yang bertentangan dengan pelan 100 hari pakatan pembangkang.

“Di Sarawak juga mereka turut menaburkan janji kononnya mahu memberikan jawatan , ketua menteri, kuasa autonomi, jawatan timbalan ketua menteri kerana mahukan sokongan untuk pilihan raya nanti sedangkan ramai pemimpin PKR sendiri telah keluar kerana mereka sedar bahawa ini hanyalah janji-janji kosong.

“Saya fikir rakyat Malaysia harus sedar jangan digula-gulakan dengan janji-janji kosong kerana mereka tidak dapat dan tidak ada keupayaan untuk melaksanakan apa yang dijanjikan apabila mendapat kuasa.”

Ummi Hafilda saman Anwar



Ummi Hafilda Ali (gambar) akan memfailkan saman berjumlah RM700 juta terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; peguam Karpal Singh dan Pas, Khamis ini.

Menurut Ummi Hafilda, saman terhadap Anwar berjumlah RM300 juta dibuat atas dakwaan salah guna kuasa selaku Timbalan Perdana Menteri pada 1997 yang mengarahkan dia ditangkap dan didera bagi mendapatkan pengakuan palsu.

Beliau memberitahu, saman ke atas Karpal pula berjumlah RM200 juta kerana melanggar kepercayaannya selaku anak guam selepas beliau dan bekas pemandu Anwar, Azizan Abu Bakar bertemu Karpal pada tahun yang sama untuk mendedahkan perilaku buruk Anwar.

“Beliau (Karpal) gembira dengan pendedahan itu dan mendesak di Parlimen agar Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengambil tindakan. Tetapi apabila tindakan diambil, beliau pusing 360 darjah untuk membela Anwar pula sehingga saya menjadi mangsa keadaan.

“Saya ambil tindakan saman ini setelah hilang sabar dengan Anwar dan konco-konconya yang kian angkuh,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ummi Hafilda menambah, saman RM100 juta pula dibuatnya terhadap Dr. Wan Azizah kerana Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tahu apa yang berlaku tetapi tidak mahu mendedahkan kebenaran menyebabkan dia difitnah terlibat dengan konspirasi yang menjatuhkan imejnya.

Katanya, Pas pula disaman RM100 juta kerana mereka pernah menghantar Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohamad Sabu bertemunya juga pada 1997 untuk mendapatkan cerita sebenar.

“Apabila sudah tahu segalanya, beliau merupakan orang pertama menggelar Anwar sebagai peliwat di Parlimen. Alih-alih, setelah segalanya terbongkar, Pas dan Mohamad Sabu sokong Anwar pula,” tegasnya.

Ditanya mengapa baru sekarang tindakan saman itu dibuat, beliau memberitahu, selama ini masih terdapat pertimbangan dalam dirinya berhubung penglibatan darah daging sendiri, Azmin Ali dengan PKR.

“Emak saya juga menasihatkan supaya bersabar dan menyerahkan kepada Tuhan selain sentiasa mendoakan agar Azmin bertaubat.

“Tetapi setelah Azmin dan PKR kian melampau termasuk mahu menghapuskan ketuanan Melayu, saya rasa cukuplah. Apa hendak jadi, jadilah. Saya mengisytiharkan mereka sebagai musuh dan perlu ditentang habis-habisan,” katanya.

Debat: Jangan masuk perangkap Anwar



Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz mencabar ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berdebat dengannya mengenai Apco Worldwide sebelum membuat cabaran berdebat dengan Perdana Menteri.

Nazri berkata demikian bagi mengulas kenyataan Anwar, ketua umum PKR, yang mencabar Datuk Seri Najib Razak berdebat mengenai "Pelan 100 Hari" Pakatan Rakyat berikutan kenyataan Najib yang membidas pelan itu sebagai bersifat populis dan tidak bertanggungjawab kerana tidak disertakan dengan punca kewangan bagi melaksanakannya.

"Jangan jadi pengecut. Suruh dia jawab isu Apco dulu dan debat dengan saya dulu," kata Nazri dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama.

Anwar sebelum ini mendakwa mempunyai dokumen bahawa Apco Worldwide (APCO), sebuah syarikat perhubungan awam antarabangsa mempunyai kaitan dengan penubuhan
gagasan 1Malaysia dan kempen 'One Israel', walaupun kerajaan mendedahkan dokumen ang menafikan dakwaannya tersebut.

Berikutan kegagalan Anwar untuk mengemukakan bukti mengenai dakwaannya di persidangan Dewan Rakyat pada penggal yang lalu, beliau telah digantung daripada menghadiri persidangan itu untuk enam bulan selepas Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen mendapati beliau berbohong.

Sementara itu, Menteri Penerangan Datuk Seri Rais Yatim berkata tindakan Anwar mencabar PM hanyalah gimik lama dan hanya mahukan publisiti.

"Saya tidak fikir PM akan jatuh dalam perangkap ini. Anwar dalam keadaan tersepit akan mengambil apa sahaja peluang untuk menyanggah data dan informasi ataupun usaha Perdana Menteri dalam apa-apa hal.

"PM melahirkan hujah yang menyakinkan dalam apa yang dilaksanakannya dalam tempoh setahun lebih. Kita sudah yakin bahawa informasi itu boleh dipertahankan," katanya kepada pemberita selepas bertemu petugas Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) di Kuala Lumpur, semalam.

Rais berkata semasa Anwar memegang jawatan Menteri Kewangan, lonjakan saham tidak pernah mencapai 1,500 mata, dan kini pendapatan orang kampung pun semakin meningkat dengan kenaikan harga getah sehingga RM12 sekilogram baru-baru ini.

Ahli parlimen Bebas Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali pula berkata Najib tidak perlu melayan kehendak Anwar kerana Anwar bukan seorang pakar ekonomi atau pakar kewangan, malah tidak ada pengalaman dan juga kelulusan.

"Tak perlu PM masuk perangkap politik Anwar. Anwar hanya berlagak pandai dan dia adalah pakar putar alam," dakwanya.

Apa yang penting ialah Perdana Menteri dan kerajaan memberikan penerangan kepada rakyat mengenai apa jua rasa tidak puas hati yang tercetus, terutama kos sara hidup yang semakin meningkat, kata presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) itu.

Sementara itu Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Shamsul Amri Baharudin berkata cabaran Anwar untuk berdebat dengan Najib mengenai polisi ekonomi, dilihat sebagai satu usaha terdesak.

Katanya, Anwar tidak perlu untuk berdebat memandangkan rakyat kini lebih cenderung menonton majlis yang berbentuk forum perdana.

- Bernama

Rabu, 5 Januari 2011

Cabar kewibawaan Sultan- Desak Khalid letak jawatan



Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) diketuai Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) mendesak Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletak jawatan berikutan tindakannya yang didakwa mencabar kewibawaan Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah.

Pengerusi GAPS, Hamidzun Khairuddin berkata tindakan Abdul Khalid bersama beberapa barisan exco kerajaan negeri yang berterusan mempolemikkan isu pelantikan Datuk Mohamad Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor telah mengundang rasa tidak puas hati rakyat hingga menyebabkan mereka kini hilang keyakinan terhadap kepimpinan menteri besar itu.

“Dan dengan itu kami mendesak Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan barisan Exco yang menyokong beliau iaitu Yaakop Sapari, Xavier Jayakumar, Teresa Kok, Rodziah Ismail dan Halimah Ali agar bukan berhenti mempolemikkan dan mempolitikkan isu pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai SUK, malah meletak jawatan dengan kadar segera” katanya.

Gesaan itu dibuat ketika berucap selepas mengadakan perhimpunan aman menyerahkan memorandum bantahan terhadap Menteri Besar yang diterima oleh Setiausaha Eksekutif Pejabat Menteri Besar, Dr Razali Bolhi di perkarangan Bangunan Sultan Abdul Aziz di sini, hari ini.

Perhimpunan aman yang bermula dari Dataran Shah Alam itu turut disertai Pertubuhan Pribumi Melayu Malaysia (Perkasa) yang diketuai Presidennya Datuk Ibrahim Ali, wakil pemimpin MCA dan MIC serta lebih 1000 rakyat Selangor daripada pelbagai kaum.

Kontroversi pelantikan SUK baru itu tercetus apabila kerajaan Parti keadilan Rakyat (PKR) Selangor menolak pelantikan Mohamad Khusrin seterusnya tidak membenarkan beliau mengangkat sumpah menyimpan rahsia bagi memulakan tugasnya secara rasmi sejak mengambil alih jawatan itu berkuatkuasa 1 Jan lepas.

Hamidzun berkata, pihaknya bersama NGO lain dan rakyat Selangor yang cintakan keadilan akan terus mengadakan perhimpunan dan bantahan sehingga desakan supaya Abdul Khalid meletak jawatan berjaya.

“Semua pihak menyedari dalam sistem demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan yang dimalkan di negara ini telah memberikan kuasa kepada baginda untuk memperkenan mana-mana pelantikan tiga jawatan penting pentadbiran negeri iaitu SUK, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri,” katanya.

Antara lain memorandum tersebut turut mendesak Menteri Besar bersama barisan exco yang menyokong beliau agar berhenti mempolemik dan mempolitikkan pelantikan Mohamad Khusrin serta meminta Abdul Khalid bersikap profesional dengan melayan semua kakitangan awam Selangor dengan baik.

“Semua kakitangan awam merupakan tulang belakang utama kepada kemajuan, keamanan dan kesejahteraan negeri Selangor,” katanya.

Terdahulu Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali ketika berucap di Dataran Shah Alam berkata tindakan Perkasa menyertai perarakan itu tidak berpaksikan kepentingan politik sebaliknya atas dasar menjunjung prinsip kedaulatan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor serta Perlembagaan Persekutuan, apatah lagi ia membabitkan kedudukan Raja Melayu.

Katanya, apa yang dilakukan Sultan Selangor adalah tidak bertentangan dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor serta mengikut peruntukan sedia ada dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Jadi, rakyat kena faham, jangan emosi dan jangan membantah atas tanggungjawab politik. Sebaliknya bertindaklah atas lunas undang-undang,” katanya.

Bagi Ketua Pemuda UMNO Negeri Selangor, Ungku Salleh Ungku Jamal pula melihat tindakan mempolemikkan isu perlantikan SUK hanyalah untuk mencabar wibawa dan kedudukan Institusi Raja-Raja Melayu terutamanya DYMM Sultan Selangor.

“Kita harus menyedari bahawa Menteri Besar telah sembah derhaka kepada DYMM Sultan Selangor dan menipu seluruh rakyat Negeri Selangor dengan mengubah, memutar belitkan dan memanipulasi titah perintah DYMM Sultan Selangor seperti yang diterangkan semula oleh Yang Setia Setiausaha Sulit DYMM Sultan Selangor dalam kenyataan Istana Selangor bertarikh 4hb Jan 2011,” ujarnya.

Perhimpunan aman yang bermula pukul 3 petang, yang diawasi anggota polis itu berakhir kira-kira sejam kemudian. -MediaUMNO