Selasa, 11 Januari 2011

Program 100 hari pembangkang: Satu lagi projek tipu



Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyelar pakatan pembangkang yang sentiasa melontarkan janji-janji manis kepada rakyat setiap kali mendengar pilihan raya akan diadakan dengan harapan agar masyarakat tertarik dengan program mereka.

Katanya, apa yang dimanifestokan oleh mereka melalui janji-janji pada Pilihan Raya Umum 2008 pun tidak tertunai tetapi sekarang dijanjikan dengan agenda lain lagi.

“Contohnya di Selangor, pembangkang janji mahu memberikan elaun RM100 bagi tiap-tiap pengundi yang berumur 60 tahun ke atas tapi sehingga sekarang mereka tidak dapat tunaikan,” katanya kepada UMNO-Online.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan mengulas berkaitan agenda pakatan pembangkang yang mengemukakan tawaran dalam Program 100 hari mengandungi sembilan perkara termasuk pengurusan negara, ekonomi dan pendidikan yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari jika menang pada pilihan raya umum (PRU) Ke-13.

“Janji-janji mereka tidak pernah ditunaikan misalnya mereka mahu memberikan elektriciti dan air percuma tetapi jelas bahawa apa yang terjadi Selangor membuktikan bahawa khazanah mereka berkurangan kerana mudah untuk disuarakan tetapi sukar untuk dilaksanakan.

“Begitu juga apabila mereka berjanji mahu memberikan elaun tambahan kepada guru-guru kelas fardu ain (kafa) sebanyak RM50 juga belum ditunaikan oleh mana-mana negeri yang dipegang oleh pembangkang sedangkan pihak JAKIM peruntukan sebanyak RM500 setiap bulan dan telah dinaikkan melepasi garis kemiskinan,” katanya.

Tegas beliau lagi, apa yang dijanjikan oleh mereka (pembangkang) belum dapat dilaksanakan termasuklah kerajaan Pulau Pinang juga.

“Mereka menjanjikan elaun khusus untuk rakyat yang berada dalam kumpulan di bawah garis kemiskinan; apa yang ternyata mereka hanya dapat memberikan RM100 sekali, itu pun wang daripada kutipan judi dan ahli-ahli UMNO serta orang Melayu Pulau Pinang terpaksa mengembalikan semula wang itu.”

Tambahnya, kalau difikirkan RM100 setahun ertinya kurang daripada RM10 sebulan sedangkan janji-janji mereka itu pelbagai.

“Begitu juga janji konon nak telus dalam tender atas alasan dalam BN tidak telus tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya iaitu di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang hanya memberikan kepada orang-orang mereka saja dan tidak dibuka sepenuhnya selain diberikan kepada mereka yang ada hubungan dengan yang ada kepimpinan parti politik mereka.”

Katanya, apa yang telah dibentangkan dan sedang dilaksanakan oleh pembangkang membuktikan mereka adalah populis sedangkan kerajaan BN adalah realis, merupakan kerajaan yang bertanggungjawab, iaitu tidak membuat janji yang tidak boleh ditunaikan, yang bertentangan dengan pelan 100 hari pakatan pembangkang.

“Di Sarawak juga mereka turut menaburkan janji kononnya mahu memberikan jawatan , ketua menteri, kuasa autonomi, jawatan timbalan ketua menteri kerana mahukan sokongan untuk pilihan raya nanti sedangkan ramai pemimpin PKR sendiri telah keluar kerana mereka sedar bahawa ini hanyalah janji-janji kosong.

“Saya fikir rakyat Malaysia harus sedar jangan digula-gulakan dengan janji-janji kosong kerana mereka tidak dapat dan tidak ada keupayaan untuk melaksanakan apa yang dijanjikan apabila mendapat kuasa.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan