Rabu, 25 Ogos 2010

Duit raya kakitangan awam RM500



Lebih 1.24 juta petugas awam dan 590,000 pesara kerajaan mendapat durian runtuh apabila kerajaan hari ini mengumumkan akan membayar Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata dalam satu kenyataan hari ini bahawa bayaran itu adalah untuk petugas dalam Gred 1 hingga 54 dan pesara kerajaan dan akan dibuat sebelum 1 Syawal.

“Keputusan ini diambil setelah mengambil kira kebajikan kakitangan awam dan pesara Kerajaan terutamanya bagi meringankan beban kos persediaan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri,” kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Menurut beliau bayaran itu melibatkan perbelanjaan sebanyak RM934.6 juta iaitu RM639.6 juta bagi petugas awam dan RM295 juta bagi pesara. — Bernama

UMNO Perjuang Gaji Minimum Anak Tempatan



UMNO akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Sumber Manusia bagi membolehkan pelaksanaan gaji minimum melibatkan pekerja sektor swasta dapat dilaksanakan dengan segera khususnya melibatkan pekerja daripada sektor perkilangan.

Ketua Penerangannya, Datuk Ahmad Maslan berkata, perbincangan yang akan dilakukan dalam tempoh terdekat ini diadakan sebagai salah satu langkah yang diambil untuk memastikan setiap golongan pekerja sektor berkenaan menerima gaji yang mencukupi selaras dengan taraf hidup pada masa ini.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima, sebilangan besar pekerja sektor perkilangan di negara ini menerima purata gaji pokok sebanyak RM500 sebulan yang ditetapkan oleh majikan mereka sejak 35 tahun lalu.

Jelasnya, jumlah gaji pokok itu disifatkannya terlalu rendah dan berada di bawah paras pendapatan garis kemiskinan sebanyak RM700 sebulan.

“Kalau gaji RM500 sebulan adalah tidak cukup, mereka (pekerja) nak makan apa, sedangkan syarikat mereka bekerja mencatatkan keuntungan jutaan ringgit. Kita fahami keluhan daripada pekerja tempatan dari pelbagai sektor termasuklah perkilangan yang rata-rata mereka menerima gaji asas yang begitu rendah dan tidak setimpal dengan kos hidup pasa masa kini.

“Kita mahu taraf pendapatan yang lebih baik. Sehubungan itu, kita akan sampaikan keluhan dan rungutan kepada Menteri Sumber Manusia (Datuk Dr. S. Subramaniam) supaya kebajikan para pekerja ini diberikan perhatian yang sewajarnya,” katanya yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa dan ramah mesra bersama kira-kira 1400 pekerja kilang anjuran Sekretariat Pekerja Muda Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di kawasan Kuala Langat dan Sepang di Bandar Sungai Emas, di sini, malam tadi.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Pengerusi Sekretariat Pekerja Muda Pemuda UMNO, Nazir Hussin Akhtar Hussin serta Pengerusi Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Barat Semenanjung Malaysia (KSIEWBSM), Wan Noorul Azhar Mohd. Hanafiah.

Pada masa yang sama, Ahmad turut menerima memorandum daripada Wan Noorul Azhar yang mewakili KSIEWBSM yang menuntut Kerajaan Pusat supaya mengambil tindakan serta langkah-langkah yang perlu bagi memastikan kebajikan pekerja daripada sektor berkenaan terbela.

Antara kandungan memorandum tersebut ialah meminta kerajaan agar melaksanakan segera gaji minimum kepada pekerja sektor berkenaan, kebajikan pekerja dari segi manfaat pekerjaan termasuk cuti, jam bekerja dan sebagainya.

Dalam pada itu, Wan Noorul Azhar ketika ditemui menyatakan pihaknya meminta agar kerajaan Pusat agar dapat mencari jalan membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi para pekerja mengenai perkara itu termasuklah meminta pihak majikan supaya mematuhi peraturan sedia ada.

Beliau mendakwa ada pihak majikan didapati tidak mematuhi uudang-undang seperti tidak membenarkan para pekerja sektor perkilangan menubuhkan kesatuan sekerja peringkat kebangsaan yang jelasnya melanggar Seksyen 4 (1)(2)(3) Akta Hubungan Industri 1967.

“Kita pihak pekerja mahu kerajaan supaya melibat perkara ini dan memberikan kata dua kepada pihak majikan agar mematuhi undang-undang sedia ada. Jika pihak pengilang boleh ada persatuan pusat mereka iaitu Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), kenapa kami pekerja dihalang.

“Sebaliknya kami hanya dibenarkan menubuhkan kesatuan sekerja di peringkat kilang sahaja. Malah, ada tuntutan kami tidak dipenuhi,” ujarnya. -MediaUMNO

Umat Islam Malaysia berhadapan cabaran besar - Tun M



Nama pemimpin negara yang beragama Islam mesti disebut dalam doa khutbah Jumaat kerana Islam merupakan agama yang berkuasa di negara ini, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata umat Islam di negara ini sedang berhadapan dengan cabaran terbesar terutama dalam keadaan umat yang berpecah belah, yang mungkin mengakibatkan Islam kehilangan kuasanya di negara ini.

"Saya bukan racis yang nak bangkitkan perasaan marah di kalangan umat Islam tetapi ada hak kita yang harus dihormati pihak lain. Penghormatan hanya akan diperoleh apabila kita berkuasa.

"Hari ini walaupun Islam menuntut kita bersaudara tapi kita berpecah, sehingga tahap mungkin hilang kuasa," katanya ketika berucap merasmikan majlis berbuka puasa dan penyampaian Anugerah Sri Cemerlang Kelab Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Universiti di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau merujuk kepada insiden penggunaan nama Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di beberapa masjid di negeri itu baru-baru ini.

azan islam call to prayerDr Mahathir yang juga Yang Dipertua Perkim mengingatkan umat Islam agar memikirkan semula tanggungjawab kepada agama, sekalipun tanggungjawab kepada bangsa sudah tidak lagi menjadi keutamaan.

Katanya walaupun jumlah umat Islam di negara ini ramai, tidak mustahil Islam akan kehilangan tempatnya sebagai agama rasmi sekiranya sikap berpecah-belah masih diteruskan.

"Jumlah ramai ini tidak bermakna kalau sudah berpecah belah dan bermusuh antara mereka. Apabila bermusuh, pihak lain berpeluang gunakan permusuhan sesama Islam ini untuk mengutarakan kedudukan mereka, bahkan untuk berkuasa dalam negara.

"Jangan fikir tidak mungkin satu hari nanti khutbah sebut ketua negara bukan Islam kerana mereka telah berkuasa dan kita sudah jadi puak yang kecil, berpecah belah dan tidak berkuasa," katanya.

NONEBeliau berkata sudah ramai umat Islam di negara ini yang tidak mengamalkan tingkah laku dan cara hidup seperti yang dituntut dalam Al-Quran dan hadis.

Justeru katanya kuasa umat Islam hanya dapat dikekalkan sekiranya umat Islam itu sendiri yang berusaha menyelamatkan agama mereka.

"Berkuasa hari ni tidak bermakna kekal berkuasa di masa depan. Jangan fikir pegangan kita akan terus kekal. Ia akan terhakis juga bila kita sudah miskin dan daif. Islam tak suruh kita berpecah-belah, tapi suruh kita bersaudara. Tanya kepada diri adakah kita benar-benar berpegang kepada ajaran Islam tentng persaudaraan ini," katanya.- Bernama

Isnin, 23 Ogos 2010

Tidak Wajar Tinggalkan Doa Untuk Agong Dalam Khutbah Jumaat: Jakim



Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berpendapat tindakan meninggalkan doa untuk Yang di-Pertuan Agong selaku ketua negara dan raja-raja, adalah tidak wajar kerana mendoakan pemimpin negara merupakan satu amalan mulia.

Ketua Pengarahnya Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata khatib yang bertugas perlu membaca teks yang disediakan oleh panel teks khutbah Jumaat dan diperakukan pihak berkuasa agama negeri.

"Tindakan mengubah isi kandungan khutbah perlu dielakkan agar tidak menimbulkan sebarang implikasi buruk kepada masyarakat Islam.

"Jakim juga menyeru kepada semua pihak agar tidak mempolitikkan institusi agama, khususnya masjid yang sangat mulia di sisi Islam.

"Tindakan itu akan memberi kesan negatif seperti menimbulkan perpecahan dan kegelisahan di kalangan umat," katanya dalam satu kenyataan pada hari Isnin.

Beliau mengulas laporan akhbar berhubung penggunaan nama Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam bacaan doa khutbah Jumaat bagi menggantikan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di beberapa masjid di negeri itu baru-baru ini.

Wan Mohamad juga menasihatkan semua pihak supaya bertenang dan membiarkan perkara itu disiasat pihak berkuasa dengan lebih terperinci bagi mengetahui perkara sebenar sebelum sebarang tindakan boleh diambil.

Mengenai tindakan mendoakan kesejahteraan kepada orang bukan Islam, beliau berkata berdasarkan maslahah umat Islam, amalan itu tidak salah, tetapi mesti dilakukan pada waktu dan tempat yang bersesuaian.BERNAMA

Ahad, 22 Ogos 2010

Doa Untuk Guan Eng Berlaku Lagi



Kejadian khatib menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin kepada nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng, dalam doa khutbah kedua solat Jumaat terus berlaku walaupun pelbagai pihak sudah menyatakan bantahan.

Kelmarin, insiden berlaku di Masjid Kubang Buaya, Bagan, di sini, dan lebih mengejutkan adalah khatibnya ialah Zakaria Ahmad, iaitu individu yang turut membacakan doa tanpa menyebut nama Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya menggantikan nama Guan Eng dalam beberapa kes sebelum ini.

Beberapa saksi yang menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan mendakwa mendengar Zakaria yang juga adik kepada Mufti Pulau Pinang, Datuk Hassan Ahmad membacakan doa seperti berikut:

“Ya Allah Ya Tuhanku, Kau Selamatkanlah Pemimpin Kami Yang Amat Berhormat Lim Guan Eng dan rakan kepimpinan kerajaan negeri Pulau Pinang.”

Bagaimanapun, Zakaria tidak ada mendoakan kesejahteraan Tuanku Mizan sebagai Ketua Agama Islam Pulau Pinang dan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas yang sepatutnya dibacakan dalam doa kedua solat Jumaat.

Berang dan marah dengan tindakan khatib itu, tiga saksi yang mendengar doa berkenaan, Mohd Shahril Harun, Mohd Radzi Hussain serta Muhammad Fahmie Omar, membuat laporan di Balai Polis Butterworth sambil ditemani pemimpin Pemuda UMNO Pulau Pinang, kira-kira jam 11.30 pagi.

Hadir sama, Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Naina Merican dan Naib Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Shaik Hussein Mydin.

Satu lagi laporan dibuat oleh Kariah Masjid Padang Menora, Tasek Gelugor, kira-kira jam 2.30 petang semalam oleh Suid Saad. Laporan itu merujuk kepada khutbah Jumaat di masjid berkenaan pada 26 Jun lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakub, ketika dihubungi, mengesahkan pihaknya sudah menerima laporan kejadian itu dan sudah memulakan siasatan.
“Tetapi kami belum mengklasifikasikan kes terbabit untuk disiasat mengikut seksyen mana kerana memerlukan kajian mendalam terlebih dulu,” katanya.-Umno online.

NOTA KAKI: Peristiwa yang menyedihkan umat Islam negara ini, apa lagi berlaku di bulan Ramadan yang mulai dan inilah akibatnya apabila perasaan taksub telah menguasai diri dan sudah hilang pertimbangan yang sewajarnya.

Inilah akibatnya kalau umat Islam sanggup bercakaran sesama sendiri kerana tamakkan kuasa sehingga sanggup bersekongkol dengan agama lain asalkan matlamat politik sempit akan tercapai.

Agama sudah tidak dijadikan pertimbangan dan kuasa mula menjadi perhitungan. Dari gelaran seorang khalifah Islam,kini mimbar masjid sudah mula dipanjatnya. Apa lagi selepas ini, kalau orang Melayu dan Islam masih terus bercakaran dan tamakkan kuasa.Inilah akibatnya!

Sabtu, 21 Ogos 2010

Pembangkang Semakin Galak Membuat Janji- Najib



Kecenderungan pihak pembangkang yang semakin galak membuat janji ketika ini lebih dilihat kepada usaha mereka sekadar untuk memancing undi pada pilihan raya umum akan datang, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata pihak pembangkang akan semakin menjadi-jadi membuat janji apabila pilihan raya umum dilihat semakin hampir.

"Mereka akan buat apa-apa janji ini dan semakin dekat dengan pilihan raya, semakin banyaklah janji yang mereka akan tabur," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian kuih raya Angkatan Tentera Malaysia di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kecenderungan pihak pembangkang yang dilihat semakin galak membuat janji untuk rakyat.

Antara yang terbaru ialah kenyataan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa sasaran pakatan pembangkang ialah supaya setiap isi rumah menikmati pendapatan RM4,000 sebulan dalam tempoh lima tahun apabila gabungan pembangkang mengambil alih pentadbiran kerajaan pusat.

Najib berkata rakyat perlu bijak menilai setiap janji yang dibuat sama ada ia adalah janji yang berpijak di bumi yang nyata atau hanya sekadar fantasi semata-mata.

"Dalam sistem demokrasi, tiada ubatnya (menangani pelbagai janji sedemikian) melainkan kemampuan rakyat untuk membuat penilaian berdasarkan pemikiran matang dan rasional. (Janji yang dibuat) Itu perkara biasa... pada pilihan raya dulu pun macam-macam janji dibuat, pada kali ini mereka tambah lagilah janji-janji mereka.

"Sebab itulah kita (kerajaan Barisan Nasional) tetap dengan perancangan kita yang realistik seperti Model Baru Ekonomi, seperti NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) dan sebagainya yang kita percaya satu perancangan yang disokong dengan fakta dan kajian yang mendalam," kata Najib.

Perdana Menteri berkata pihak pembangkang tidak pernah meneliti setiap janji yang dibuat itu sama ada ia boleh dilaksanakan atau tidak kerana apa yang penting mereka hanya inginkan sokongan rakyat untuk mendapat kuasa memerintah.

"Yang penting sekali mereka janji sesuatu yang menyeronokkan pengundi untuk menyokong mereka, ini semua strategi politik mereka sahaja," katanya.

Ditanya kecenderungan pihak pembangkang membuat pelbagai janji itu sebagai petanda pilihan raya umum ke-13 akan dilaksanakan tahun depan, Najib berkata: "Wallahualam...".

Najib kemudiannya turut menghadiri majlis mengacau dan penyampaian bubur lambuk secara percuma kepada orang ramai anjuran akhbar Kosmo!, Wanita Umno dan beberapa badan bukan kerajaan di Dataran Pekan di sini.-Bernama.

Sumbangan untuk fakir miskin di Masjid Al Zakirin





Masjid Al Zakirin, Taman Wilayah menjadi tuan rumah bagi program penyampaian Sumbangan kepada fakir miskin, masjid dan surau sekitar kawasan Parlimen Batu, anjuran UMNO bahgian berkenaan.

Majlis disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar
Datuk Raja Nong Chik diadakan sebelum majlis berbuka puasa yang turut diertai oleh penduduk setemat dan 150 penerima bantuan hari raya.

Turut hadir, Ketua Umno bahagian Batu, Datuk Yahaya dan barisan jawatankuasa UMNO Bahagian serta Datuk Nordin, Pengerusi Masjid Al Zakirin dan barisan jawatankuasa.