Rabu, 25 Ogos 2010

UMNO Perjuang Gaji Minimum Anak Tempatan



UMNO akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Sumber Manusia bagi membolehkan pelaksanaan gaji minimum melibatkan pekerja sektor swasta dapat dilaksanakan dengan segera khususnya melibatkan pekerja daripada sektor perkilangan.

Ketua Penerangannya, Datuk Ahmad Maslan berkata, perbincangan yang akan dilakukan dalam tempoh terdekat ini diadakan sebagai salah satu langkah yang diambil untuk memastikan setiap golongan pekerja sektor berkenaan menerima gaji yang mencukupi selaras dengan taraf hidup pada masa ini.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima, sebilangan besar pekerja sektor perkilangan di negara ini menerima purata gaji pokok sebanyak RM500 sebulan yang ditetapkan oleh majikan mereka sejak 35 tahun lalu.

Jelasnya, jumlah gaji pokok itu disifatkannya terlalu rendah dan berada di bawah paras pendapatan garis kemiskinan sebanyak RM700 sebulan.

“Kalau gaji RM500 sebulan adalah tidak cukup, mereka (pekerja) nak makan apa, sedangkan syarikat mereka bekerja mencatatkan keuntungan jutaan ringgit. Kita fahami keluhan daripada pekerja tempatan dari pelbagai sektor termasuklah perkilangan yang rata-rata mereka menerima gaji asas yang begitu rendah dan tidak setimpal dengan kos hidup pasa masa kini.

“Kita mahu taraf pendapatan yang lebih baik. Sehubungan itu, kita akan sampaikan keluhan dan rungutan kepada Menteri Sumber Manusia (Datuk Dr. S. Subramaniam) supaya kebajikan para pekerja ini diberikan perhatian yang sewajarnya,” katanya yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa dan ramah mesra bersama kira-kira 1400 pekerja kilang anjuran Sekretariat Pekerja Muda Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di kawasan Kuala Langat dan Sepang di Bandar Sungai Emas, di sini, malam tadi.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Pengerusi Sekretariat Pekerja Muda Pemuda UMNO, Nazir Hussin Akhtar Hussin serta Pengerusi Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Barat Semenanjung Malaysia (KSIEWBSM), Wan Noorul Azhar Mohd. Hanafiah.

Pada masa yang sama, Ahmad turut menerima memorandum daripada Wan Noorul Azhar yang mewakili KSIEWBSM yang menuntut Kerajaan Pusat supaya mengambil tindakan serta langkah-langkah yang perlu bagi memastikan kebajikan pekerja daripada sektor berkenaan terbela.

Antara kandungan memorandum tersebut ialah meminta kerajaan agar melaksanakan segera gaji minimum kepada pekerja sektor berkenaan, kebajikan pekerja dari segi manfaat pekerjaan termasuk cuti, jam bekerja dan sebagainya.

Dalam pada itu, Wan Noorul Azhar ketika ditemui menyatakan pihaknya meminta agar kerajaan Pusat agar dapat mencari jalan membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi para pekerja mengenai perkara itu termasuklah meminta pihak majikan supaya mematuhi peraturan sedia ada.

Beliau mendakwa ada pihak majikan didapati tidak mematuhi uudang-undang seperti tidak membenarkan para pekerja sektor perkilangan menubuhkan kesatuan sekerja peringkat kebangsaan yang jelasnya melanggar Seksyen 4 (1)(2)(3) Akta Hubungan Industri 1967.

“Kita pihak pekerja mahu kerajaan supaya melibat perkara ini dan memberikan kata dua kepada pihak majikan agar mematuhi undang-undang sedia ada. Jika pihak pengilang boleh ada persatuan pusat mereka iaitu Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), kenapa kami pekerja dihalang.

“Sebaliknya kami hanya dibenarkan menubuhkan kesatuan sekerja di peringkat kilang sahaja. Malah, ada tuntutan kami tidak dipenuhi,” ujarnya. -MediaUMNO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan