Selasa, 29 Jun 2010

Belum masa bincang kerusi di Sabah- PM


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa menegaskan belum sampai masanya memutuskan sama ada pengagihan kerusi Barisan Nasional (BN) di Sabah dikekalkan status-quo nya ataupun tidak menjelang pilihan raya seterusnya.

"Belum sampai masanya kita buat apa-apa keputusan, kenapa orang nak melatah dan terlalu banyak riak pada masa sekarang.

"Saya belum membuat sebarang keputusan tentang apapun ... Serahkan pada saya untuk memutuskan apa yang terbaik bagi Sabah. Pada masa ini, kita jangan terlalu teruja tentang apapun," katanya ketika ditanya sama ada beliau mempertimbangkan untuk sebarang perubahan dari segi politik di Sabah.

"Terlalu banyak politiking dalaman tapi walau apapun ia, nasihat saya ialah tumpukan untuk berkhidmat kepada rakyat... Kita mesti tunjuk, kita sebuah parti yang prihatin dengan rakyat di Sabah, itu yang penting sekali," katanya kepada pemberita selepas program tinjauan mesra beliau ke Pasar Lido, dekat sini.

Najib ditanya demikian berikutan baru-baru ini, terdapat pergeseran sesama parti-parti komponen BN di Sabah apabila ada yang meminta supaya kerusi tertentu diberikan kepada parti mereka pada pilihan raya akan datang.

-- BERNAMA

Shahidan nafi perdaya ulama


Bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini menafikan dakwaan kononnya beliau telah memperdaya empat orang “ulama” untuk menyertai Umno tanpa pengetahuan mereka.

Katanya, dakwaan yang dipetik oleh sebuah laman akhbar web Harakahdaily adalah satu pembohongan yang cuba mengelirukan orang ramai dan memburukkan Umno kerana keempat-empat lelaki yang mendakwa mereka adalah ulama, sebenarnya tidak diundang untuk menghadiri majlis penyerahan borang keanggotaan Umno kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.

“Saya terkejut dengan dakwaan berkenaan kerana mereka datang ke majlis kita tanpa dijemput dan hanya dibawa oleh seorang ustaz yang merupakan orang kuat Umno”, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau yang juga penganjur majlis penyerahan borang keanggotaan 40 ulama untuk menyertai Umno itu berkata, apa yang berlaku sebenarnya ialah ustaz berkenaan yang juga kenalan beliau itu telah memaklumkan bahawa anaknya bersama tiga lagi rakan penuntut di sebuah universiti di Jordan ingin turut serta dalam majlis itu kerana hendak berjabat tangan dengan Perdana Menteri.

“Pada mulanya saya menghalang kerana ia adalah majlis khas, bagaimanapun mereka beria-ia untuk menyertai dan berjumpa dengan Najib dan saya terpaksa akur,” kata beliau.

Harakahdaily memetik Hosni Mubarak Abdul Hamid bersama rakan-rakannya konon telah dijemput menghadiri majlis itu bagi bertemu dengan Perdana Menteri dan bukannya hendak menyertai Umno.

Hosni, 27, mendakwa beliau dan tiga lagi rakannya diminta beratur menyambut Najib sebelum gambar mereka diambil bertalu-talu oleh jurugambar dan akhbar-akhbar tempatan, kemudiannya mendakwa kononnya mereka telah menyertai Umno.

Shahidan berkata, beliau tidak pernah berjumpa dengan empat “ulama” itu dan akan membuat laporan polis terhadap berita yang disifatkan sebagai fitnah itu. — Bernama

Lagi ADUN PKR keluar parti


Meskipun Parti Keadilan Rakyat (PKR) selesai mengadakan sesi pemukiman dengan melakukan rombakan kecil di sebalik desas-desus wujudnya desakan mahu Tan Sri Khalid Ibrahim digugurkan, hari ini wujud spekulasi baru mendakwa empat ADUN parti itu akan keluar kerana beliau masih kekal sebagai Menteri Besar Selangor.

Desas-desus baru ini mendakwa empat ADUN iaitu Haniza Mohd Talha dari kawasan Taman Medan, Nik Nazmi Nik Ahmad (Seri Setia), Amirudin Shari (Batu Caves) dan Suhaimi Shafie (Sri Muda) sudah memutuskan untuk meninggalkan PKR.

Khabar angin mendakwa keempat-empat mereka akan keluar PKR sebagai tanda protes pucuk kepimpinan memutuskan untuk mengekalkan Khalid (gambar) sebagai menteri besar.

Khabar angin ini mula tersebar sejak pagi tadi.

Selain SMS, beberapa panggilan yang diterima The Malaysian Insider mendakwa keempat-empat wakil rakyat berkenaan mahu meletakkan jawatan kerana tidak berpuas hati Khalid, menteri besar penggal pertama, dikekalkan.

SMS itu berbunyi “empat ADUN PKR Selangor dikhabarkan akan meletak jawatan kerana tidak bersetuju Khalid kekal sebagai MB.”

Nik Nazmi merupakan bekas setiausaha politik Khalid. Beliau digantikan oleh setiausaha politik Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkuat kuasa bulan depan.

Amirudin memberitahu The Malaysian Insider, beliau dan rakan-rakannya menghormati keputusan pucuk kepimpinan untuk mengekalkan Khalid sebagai menteri besar.

“Tidak, tidak... sebelum saudara tanya saya jawab soal dulu, tidak. Setakat ini tiada apa-apa, kami kekal dengan PKR,” kata Amirudin sebaik sahaja dihubungi The Malaysian Insider.

“Semuanya sudah bersetuju, kami menghormati Azmin Ali dilantik sebagai Pengerusi PKR Selangor manakala Tan Sri Khalid kekal sebagai Menteri Besar Selangor... ini diumumkan pada pertemuan Majlis Pimpinan Pusat semalam dan semua terima” kata Amirudin sambil menambah, beliau dan Nik Nazmi makan malam tadi bersama dan tidak membincangkan apa-apa, kononnya “akan keluar PKR.”

“Saya tidak tahu mengapa secara tiba-tiba benda ini wujud balik,” kata Amirudin lagi.

Menerusi ruangan twitter, Nik Nazmi berkata: “saya baru terima panggilan daripada pemberita, bertanya sama ada saya salah seorang daripada empat ADUN berkenaan yang mahu meletakkan jawatan.”

“Satu lagi penipuan besar,” katanya.

Dalam pada itu, Suhaimi juga melahirkan pandangan yang sama dengan berkata tidak tahu-menahu apa-apa cerita sebenar.

“Ini kali kedua saya mendengar benda yang sama.

“Saya menafikan... perang saraf biasanya macam inilah,” kata beliau.

Di akhir sesi pemukiman dan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR petang semalam, Naib Presiden Azmin Ali dilantik sebagai Pengerusi Selangor manakala Datuk Zaid Ibrahim dilantik meneraju Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan.

Pelantikan itu berkuat kuasa petang semalam.

Wan Azizah ketika membuat kenyataan itu berkata pelantikan Azmin adalah bagi menggantikan Khalid yang juga Menteri Besar Selangor.

“(Tindakan) ini setelah dipohon oleh Tan Sri yang mahu menumpukan tenaga beliau kepada pentadbiran negeri Selangor berkuat kuasa serta-merta,” katanya semalam.

Sebelum ini Azmin mengetuai PKR Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, Khalid yang turut hadir pada sidang akhbar tersebut menafikan tindakannya berundur daripada mengetuai PKR Selangor disebabkan tekanan daripada pihak tertentu seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.

Khalid dan Azmin menjadi tumpuan selepas timbulnya desas-desus mengatakan wujud gerakan daripada sekumpulan puak di dalam PKR Selangor yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan menteri besar.

Kumpulan itu juga dikatakan mahu mendesak Khalid agar melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar.sumber Malaysianinsider.

Krisis PKR Selangor buka mata rakyat


Pergolakan yang sedang berlaku dalam kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Selangor harus membuka mata rakyat negeri itu bahawa kepimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak diterima oleh anggota partinya sendiri, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata sejak beberapa bulan kebelakangan ini banyak isu yang timbul dalam parti itu.

"Di kalangan pimpinan PKR pun tak ada kesepakatan dalam soal ini hingga nampak mengganggu pentadbiran negeri dan yang menjadi masalahnya rakyat yang rugi.

"Haruslah ia menjadi iktibar kepada rakyat. Yang pasti rakyat di Selangor mahukan pembangunan, pentadbiran yang lancar, negeri yang dikatakan termaju ini akan jadi merosot kemajuannya, hanya kerana tidak ada kemampuan parti ini mentadbir sehingga menjadi beban yang merugikan rakyat," katanya.

Muhyiddin diminta mengulas mengenai tindakan PKR melantik Mohamed Azmin Ali sebagai Ketua PKR Selangor menggantikan Abdul Khalid semalam.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam mengumumkan bahawa Mohamed Azmin, yang juga naib presiden PKR dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Selangor manakala Datuk Zaid Ibrahim dilantik meneraju MPN Wilayah Persekutuan, berkuatkuasa serta merta.

"(Tindakan) ini setelah dipohon oleh Tan Sri (Khalid) yang mahu menumpukan tenaga beliau kepada pentadbiran negeri Selangor berkuatkuasa serta-merta," kata Wan Azizah kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR, di Shah Alam.

Sebelum ini Mohamed Azmin mengetuai PKR Wilayah Persekutuan.BERNAMA

Jumaat, 25 Jun 2010

Felda saman akhbar Keadilan


Pengurusan Felda akan menyaman akhbar Suara Keadilan dan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat termasuk Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memfitnah lembaga tersebut sudah muflis.

Felda juga akan menyaman beberapa pemimpin lain iaitu ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Datuk Zaid Ibrahim, Timbalan Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa PKR Datuk Dr Tan Kee Kuang, Pengerusi Biro Felda Suhaimi Said dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Wahid Endut dari PAS.

Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan.

“Kita akan saman Suara Keadilan dan pemimpin yang mengatakan bahawa Felda bankrup. Felda ada aset RM12.2 bilion difitnah bankrup.

“Kita akan saman mereka, mungkin ratusan juta. Kita masih dalam perbincangan untuk menentukan berapa jumlah untuk menyaman mereka.

“Tindakan mereka memfitnah Felda memberikan kesan kepada warga Felda termasuk kakitangan dan peneroka. Kenyataan fitnah yang dikeluarkan itu adalah tidak tepat dan berniat jahat,” kata beliau pada sidang media di Dewan Perdana Felda di sini hari ini.

Turut akan disaman pemilik permit, penulis dan Ketua Pengarang Suara Keadilan.

Beliau berkata tuduhan Felda bankrup adalah keterlaluan selain mendakwa pembangkang mempunyai motif tertentu.

“Mungkin mereka (Pakatan Rakyat) kata Felda bankrup kerana ia diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan mahu menyerang beliau.

“Selain itu, mungkin kerana Felda ini adalah kubu kuat Barisan Nasional (BN) sebab itu mereka sengaja memfitnah semata-mata untuk memecahkan kubu ini.

“Mungkin juga mereka dengki melihat organisasi ini berkembang dengan baik sejak mula beroperasi kira-kira 54 tahun lalu,” katanya.

Ahmad berkata, walaupun tunai Felda merosot RM2.73 bilion daripada RM4.08 bilion pada 2004 kepada RM1.35 bilion tahun lalu tetapi aset semasa dan tetap Felda melonjak RM6.2 bilion daripada RM9.17 bilion kepada RM15.37 bilion pada tempoh yang sama.

“Dengan jumlah itu tentunya tidak memberikan gambaran bahawa Felda bankrup. Selain itu Felda adalah antara pemilik ladang yang terbesar di dunia.

“Felda juga memiliki 340,000 hektar ladang yang menghasilkan keuntungan bersih purata RM1.1 bilion setahun sepanjang enam tahun yang lalu.

“Felda juga mempunyai pelaburan di luar negara seperti Indonesia, Afrika Selatan, China, Turki, Amerika Syarikat, Kanada, Pakistan, Australia, Thailand, Perancis, India dan Arab Saudi.

“Kedudukan kewangan Felda sekarang sangat kukuh,” katanya.

>NOTA KAKI: Langkah yang diambil Felda adalah tindakan wajar untuk mengajar pihak yang sentiasa menyebar fitnah yang selama ini yang menyebar pelbagai tuduhan terhadap kerajaan dan parti UMNO.

Walaupun sering menuduh media kerajaan yang ada agenda tersendiri, dengan tindakan yang tidak bertanggungjawan ini membuktikan ahkbar parti itu lebih tidak bertanggunjawab dan sanggup menyebar fitnah semata-mata untuk mencari populariti.

Belajar la bertanggunfjawab dan jangan sama seka
li merosakan kebebasan media yang menjadi amalam di negara ini. Tahniah Felda.

Selasa, 22 Jun 2010

Zahid kecam Anwar isu keselamatan


Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelar Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memanipulasikan soal keselamatan dengan mendakwa kononnya kerajaan sengaja mempolitikkan isu ancaman Jemaah Islamiah (JI).

Katanya sebagai bekas timbalan perdana menteri, Anwar seharusnya sedia maklum mengenai ancaman kumpulan berkenaan kerana ia juga sudah menular sejak beliau memegang jawatan itu.

“Bila berada di pihak pembangkang sekarang, jangan manipulasikan isu ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini ketika diminta mengulas dakwaan Anwar kononnya isu JI sengaja ditimbulkan oleh kerajaan untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu lain yang timbul ketika ini.

Pada 14 Jun lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata 10 warga asing ditahan kerana disyaki terbabit dengan kegiatan kumpulan JI sejak awal tahun ini. — Bernama

Isnin, 21 Jun 2010

Nilai aset Felda RM6.2 b - Ahmad Maslan



Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata nilai aset semasa dan tetap FELDA antara 2004 hingga 2009 meningkat RM6.2 bilion walaupun rizab tunainya menurun RM2.73 bilion dalam tempoh yang sama.

Beliau berkata bahawa pada tahun 2004, FELDA mencatatkan nilai pemilikan aset berjumlah RM9.17 bilion manakala pada 2009, meningkat kepada RM15.37 bilion.

"Bagaimanapun kedudukan rizab tunai FELDA sedikit merosot iaitu sebanyak RM2.73 bilion bagi tempoh yang sama," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini pada Isnin sebagai mengulas laporan sebuah akhbar pembangkang pada Isnin bahawa rizab tunai FELDA telah jatuh merundum.

Ahmad berkata rizab tunai FELDA merosot ekoran pelbagai perbelanjaan seperti RM2.41 bilion yang digunakan untuk pembangunan sosio-ekonomi.